Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) tetap dengan pendiriannya yang mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan berhubung isu pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Kita akan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan undang-undang," kata Setiausaha Satu Gapena, profesor madya Zainal Abidin Borhan.

Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berhubung tindakan Gapena itu masih belum diputuskan.

Sebaliknya, kata Zainal, perkara itu akan dibincangkan lanjut dalam satu pertemuan khas bersama NGO-NGO Melayu lain di ibu pejabat gabungan itu di Kuala Lumpur malam ini.

Bulan lalu, gabungan itu merancang mengambil tindakan undang- undang terhadap Kementerian Pelajaran sekiranya program yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu itu diteruskan.

Ketua Satunya, Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein dilaporkan berkata, tindakan itu kelak merupakan kemuncak kekecewaan Gapena, cendekiawan dan pencinta bahasa Melayu selepas desakan demi desakan yang dibuat, tidak mendapat maklum balas sewajarnya dari kerajaan.

Perlaksaaan program itu juga didakwa jelas mencabul Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan yang termaktub berhubung status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pandangan berbeza

Berhubung ancaman keras Gapenan itu, Kementerian Pelajaran dua minggu lalu meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang untuk Jemaah Menteri meneliti status pelaksanaan program itu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, reaksi dan pandangan yang berbeza-beza dari pelbagai pihak berhubung PPSMI memerlukan penelitian lebih mendalam bagi memperolehi keputusan terbaik.

Bagaimanapun, sehingga 31 Disember lalu - tarikh akhir yang diberikan Gapena - kerajaan tidak membuat sebarang keputusan berhubung status pelaksanaan program tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Zainal berkata, pertemuan malam ini akan turut membincangkan perkara-perkara lain untuk memastikan bahasa Melayu digunakan kembali dalam pengajaran kedua-dua matapelajaran.

Mengulas lanjut pertemuan itu, Zainal berkata, kesemua NGO Melayu - antaranya Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Angkatan Beliau Islam Malaysia (Abim), Majlis Permuafakan Ummah (Perwaris) - dijemput sama untuk memberikan pandangan dalam perbincangan itu

Bagaimanapun, tambah Zainal, parti-parti politik tidak diundang ikut serta dalam perbincangan itu.

Perhimpunan raksasa

"Perkara ini (PPSIM) jangan dipolitikkan. Parti politik biarlah dengan cara mereka (menangani isu ini)," katanya.

Diminta mengulas cadangan beberapa lagi NGO Melayu, yang diterajui Kesatuan Pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ingin menganjurkan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bagi membantah perlaksaan PPSMI Mac ini, Zainal berkata:

"Apa sahaja tindakan untuk mengembalikan bahasa Melayu dalam pendidikan (pada dasarnya) kita sokong."

Jika diundang, tambah beliau, Gapena bersedia turut sama hadir memberikan sokongan dalam perhimpunan raksasa itu nanti.

Demonstrasi besar itu digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu", untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Pengarah jawatankuasanya, Hasni Abas, Jumaat lalu berkata, berkata memorandum tersebut antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

ADS