Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Datuk Dr Hassan Ahmad menyatakan kesediaanya memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu - yang merancang mengadakan perhimpunan besar ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) - bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaraan sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

hassan ahmad "Kalau tidak ada orang (tokoh lain), bolehlah," kata tokoh pejuang bahasa itu, yang juga bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, tambah Dr Hassan, butiran lanjut bantahan sekretariat itu, serta jawatan rasmi beliau dalam sekretariat itu belum diputuskan.

Beliau menambah, keputusan berhubung kedua-dua perkara itu bergantung kepada hasil pertemuan sulungnya dengan jawatankuasa pelaksananya - yang dikepalai pengarahnya Hasni Abas - Rabu depan.

Penghujung bulan lalu, sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang sepakat menganjurkan demonstrasi besar - digelar "Himpunan 100 Ribu Selamatkan Bahasa Melayu" - bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Hasni Jumaat lalu berkata, memorandum tersebut antaranya, memohon campur tangan baginda sebagai ketua negara bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dua subjek itu.

Umno harus sokong

Sementara itu, Dr Hassan ketika diminta mengulas pelaksanaan dasar kontroversi yang diperkenalkan tujuh tahun lalu itu berkata:

"Saya ini sudah menyampah. (Kerajaan) timbulkan masalah... kerajaan pandai buat masalah tetapi tidak pandai selesai masalah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Dulu semasa keputusan (memperkenalkan PPSMI) dibuat, tidak minta pandangan orang lain."

Mengulas lanjut, beliau yang juga pengerusi Yayasan Karyawan berkata, desakan bagi memansuhkan PPSMI "harus datang dari dalam Umno" sebagai parti terbesar orang Melayu dalam gabungan BN.

Tambahnya, sekarang merupakan masa yang tepat untuk menyuarakannya bantahan itu memandangkang pemilihan agung parti itu (Mac depan) hanya tinggal dua bulan lagi.

Dr Hassan turut menyuarakan rasa kecewanya kerana dalam Umno sekarang ini, banyak pemimpin dan ahli-ahlinya, lebih bersikap mengikut sahaja keputusan yang dibuat.

Pertemuan esok

Parti-parti pembangkang juga digesa lebih aktif menyuarakan bantahan itu.

"Kalau PAS (membantah), kuat suaranya. Kalau PKR bersuara, kuat," kata Dr Hassan.

Hasni ketika dihubungi, mengesahkan pertemuan beliau dengan Dr Hassan bagi membincangkan bantahan terhadap pelaksanaan PPSMI.

Menurutnya lagi, pertemuan itu yang asalnya dijadualkan esok, terpaksa ditunda ke hari Khamis depan memandangkan ada ahli jawatankuasa yang tidak dapat hadir pada masa yang telah ditetapkan.

Mengulas perkembangan terkini penyertaan terhadap kempen itu, Husni berkata, 13 NGO dan sayap Pemuda pembangkang - PAS dan PKR - telah pun menyatakan kesediaan mereka terlibat dalam bantahan itu.

NGO terbabit, antaranya, Kesatuan pekerja DBP,Persatuan Linguistik Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia dan Angkatan Sains Islam Malaysia (Asasi)

ADS