Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Farid: Saya tidak pernah ketepikan Razali...

Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menafikan beliau telah mengenepikan Datuk RazalI Ismail selepas bekas ahli parlimen Kuala Terengganu itu, kalah dalam pertandingan jawatan naib ketua bahagian.

“Selepas beliau kalah, saya terus melantiknya sebagai ahli jawatankuasa (AJK) tambahan dan diberi peranan sebagai pengerusi biro pembelaan rakyat.

razali ismail “Saya meminta beliau (foto) merancang pembangunan semula Wakaf Mempelam, salah satu kerusi dewan undangan negeri (DUN) Parlimen Kuala Terengganu.

“Tidak betul Umno mengetepikan beliau, kita tidak ketepikan beliau,” katanya dalam sidang media di bangunan Umno bahagian di Gong Kapas, Kuala Terengganu petang tadi.

Dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan 17 Januari ini, Wan Ahmad Farid menghadapi saingan tiga penjuru dengan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam .

Ketika ditanya mengenai tindakan adik ipar Razali, Azmi Lob Yusof yang menjadi penyokong kepada calon PAS, bekas timbalan menteri dalam negeri itu berkata, Azmi pernah menjadi Adun PAS kerusi Bandar.

Oleh itu, katanya, beliau tidak merasa hairan jika Azmi menjadi penyokong kepada Abdul Wahid.

wan ahmad farid Wan Ahmad Farid (foto) juga meminta pengundi memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat kepada rakyat Kuala Terengganu.

'Beri saya peluang'

“Tolong saya untuk tolong mereka, bantu saya untuk bantu mereka.

“Bila saya berjumpa dengan pengundi, saya kata, berilah peluang kepada saya. Dan jika saya tidak boleh membantu mereka, hukumlah saya dalam pilihanraya berikutnya.

“Ini bukan pilihanraya terakhir di Malaysia, ada lagi pilihanraya akan datang,” katanya.

Menurutnya, beliau mahu menjadi wakil rakyat yang boleh menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, beliau cuba bertemu seramai pengundi dan berharap mereka boleh menerima beliau seadanya.

“Saya dapat memberi keyakinan kepada mereka walaupun dengan cara yang berbeza.

“Saya tidak pernah menjadi wakil rakyat , saya tidak ada kawasan dan tidak ada pengalaman,” katanya.

Wan Ahmad Farid juga mendakwa, ada usaha pihak tertentu yang berusaha membuat serangan peribadi terhadapnya.

Ketika ditanya pihak mana yang membuat serangan peribadi tersebut, beliau berkata: "Saya baca dalam internet dan blog.”

ADS