BERITA

SPR edar 1,302 undi pos hari ini

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Jan 2009, 6:56 pagi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula mengedarkan 1,302 kertas undi pos hari ini bagi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, Sabtu depan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,001 kertas undi dikeluarkan kepada polis, 27 anggota tentera, tujuh pelajar yang menuntut di luar negara dan 267 kepada petugas pilihan raya, lapor Bernama .

Anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), manakala anggota tentera pula mengundi di 23 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Jalan Pusara pada 12 Jan.

"Polis dan tentera telah mengambil kertas undi pos tersebut di pejabat pengurus pilihan raya hari ini dan proses pengundian pada Isnin ini.

"Sebahagian kertas undi pos telah diserahkan kepada Pejabat Pos untuk dihantar kepada petugas-petugas pilihan raya dan pelajar di luar negara mengikut alamat yang diberikan," pengarah pilihanraya negeri Mohd Noor Daud dilaporkan berkata.

Tambahnya, kesemua kertas undi pos berkenaan perlu dikembalikan semula kepada SPR sebelum pukul 5 petang 17 Januari ini.

Pilihanraya itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.