BERITA

Projek kelas F 'bukan rasuah BN'

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 11 Jan 2009, 8:51 pagi

Datuk Seri Mohd Najib Razak menafikan pemberian projek kepada 583 kontraktor kelas F di Terengganu pagi tadi sebagai rasuah politik demi memenangkan BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

"Ia bukan rasuah, apa yang kita (kerajaan BN) buat sehari dua ini adalah sebahagian pakej rangsangan fiskal saya umum (dulu)," kata timbalan perdana menteri.

Mohd Najib mengumumkan pengagihan kontrak projek kecil berjumlah RM15.8 juta di Kuala Terengganu - sebahagian RM900 juta peruntukan tahun ini untuk kontraktor kelas F di seluruh negara daripada pakej RM7 bilion yang diumumkan di Dewan Rakyat, November lepas.

"(Pengagihan) itu bukan pembelian undi tetapi pelaksanaan projek yang telah dirancang sebelum (bekas ahli parlimen) Datuk Razali Ismail meninggal dunia.

"Pemberian projek kepada kontraktor kelas F terbabit adalah sebahagian rangsangan fiskal pembangunan ekonomi seluruh negara," katanya petang ini selepas menyampaikan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran di pantai timur.

Mohd Najib diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa pagi ini bahawa projek-projek pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan sewaktu pilihanraya kecil ini sebagai taktik lama untuk merasuah pengundi.

Pagi tadi, beliau merasmikan majlis pelancaran pengundian Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) daerah Kuala Terengganu untuk tahun ini di Wisma Darul Iman.

Setiap projek bernilai RM30,000 hingga RM200,000 diberikan kepada semua 583 kontraktor kelas F yang hadir melalui undian berkomputer.

Pada pilihanraya kecil parlimen Sabtu depan, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersaing dengan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Azam.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.