BERITA

21 ditahan di perhimpunan anti-perang

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Jan 2009, 3:33 petang

Polis menahan 21 orang termasuk ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa pemimpin PSM, di perhimpunan nyalaan lilin anti-perang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam ini.

Upacara itu dianjurkan oleh Gabungan Anti-Perang sebagai tanda sokongan kepada mangsa perang di Palestin dan Sri Lanka.

Kira-kira 100 anggota polis kelihatan di situ bagi mengawal dan menyuraikan orang ramai.

Polis mengarah orang ramai bersurai dan 21 orang ditahan kerana gagal meninggalkan kawasan tersebut.

Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis Dang Wangi.

Antara mereka yang ditahan ialah pemimpin Parti Sosialis Malaysia, Dr Nasir Hashim dan S Arutchelvan dan beberapa aktivis dari Suaram dan Jerit. Nasir juga merupakan wakil rakyat Kota Damansara.

Mereka dipercayai disiasat kerana menyertai perhimpunan haram.

Sekumpulan kecil orang ramai berkumpul di balai polis berkenaan bagi menunjukkan sokongan kepada mereka yang ditahan. Mereka diawasi oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Ini adalah kali pertama polis bertindak terhadap perhimpunan anti-perang sejak kebelakangan ini.

Semalam, ribuan orang menyertai perarakan ke Kedutaan Amerika untuk membantah serangan Israel di Gaza tanpa campurtangan polis.

Begitu juga dengan kumpulan yang mengadakan bantahan yang sama di Kampung Baru. Mereka juga dibenarkan membakar bendera Amerika dan Israel di tengah-tengah jalan tengahari semalam tanpa campurtangan polis.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.