BERITA

PAS tangkis isu 'Erdogan' pulaukan KT

Fathi Aris Omar

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Jan 2009, 8:46 pagi

analisis PAS menafikan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi - nama paling popular untuk bertanding di Kuala Terengganu tetapi gagal dicalonkan di saat-saat akhir - merajuk dan memulaukan kempen.

Timbalan presidennya Nasharuddin Mat Isa hari ini dilaporkan menafikan ahli jawatankuasa pusat parti itu berbuat demikian.

Malah, tambahnya, Dr Syed Azman "berada di medan" dan salah seorang ahli jawatankuasa operasi parti dalam pilihanraya kecil parlimen ini.

Namun PAS masih bimbang dengan tanggapan negatif dakwaan wakil rakyat Batu Burok itu - satu daripada empat DUN dalam kawasan parlimen tersebut - berkecil hati kerana tidak terpilih mencabar calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

pas new straits times demo cartoon 240206 syed azman Malaysiakini difahamkan, media rasmi PAS Harakah mengarahkan berita pembabitan ahli jawatankuasa pusat parti itu berkempen bagi membantu calonnya Mohd Abdul Wahid Endut ditonjolkan untuk menangkis tohmahan tersebut.

"Namun setakat ini belum ada story (berita)," kata satu sumber yang dekat dengan akhbar dwimingguan itu.

Tambah sumber, kalangan tertentu dalam parti hairan selepas 10 hari pengumuman calon PAS di Stadium Negeri, tokoh muda PAS itu dikatakan masih merajuk.

Malam tadi ceramah Dr Syed Azman di Wakaf Beruas - dalam DUN Wakaf Mempelam yang diwakili Abdul Wahid - didakwa "tidak sesungguh hati".

Sikap "tidak serius" berkempen beberapa pemimpin lain bersama kumpulan tokoh muda popular PAS ini - digelar "kumpulan Erdogan" - menyinggung sedikit sebanyak ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Mereka menyebut beberapa nama yang dianggap dekat dengan kumpulan itu seperti naib presiden Datuk Husam Musa, ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Lo' Lo' Ghazali atau ketua Pusat Penyelidikan PAS Dr Dzulkifli Ahmad tetapi didakwa tidak memberikan komitmen sepenuh hati.

Tidak seperti pembabitan mereka dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu, sewaktu penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melangkah kembali ke arena politik aktif.

Mereka menganggap Dr Syed Azman dan "kumpulan Erdogan" tidak wajar membelakangkan kempen menaikkan calonnya, yang juga bendahari PAS Terengganu, kerana Abdul Wahid pilihan presiden sendiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sumber-sumber dalam parti juga mendakwa sekumpulan penyokong wakil rakyat Batu Burok itu pernah mengirim mesej SMS kepada Abdul Hadi agar "membuat pilihan yang tepat atau beberapa unit peti undi (UPU) akan ditutup."

Mesej sebelum pengumuman mengejut PAS mencalonkan Abdul Wahid awal bulan ini difahamkan menyebabkan pesuruhjaya negeri Datuk Mustafa Ali memanggil Dr Syed Azman dan memintanya mengawal kegelisahan para penyokongnya.

Selain Abdul Hadi dan timbalannya, Mustafa dianggap dalang utama rundingan sulit PAS dengan Umno tahun lalu yang membangkitkan kemarahan "kumpulan Erdogan" yang mahu kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat dimantapkan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Dzulkifli tidak menafikan memang wujud sedikit sebanyak "suasana panas" dalam PAS apabila calon kegemaran mereka itu - dilaporkan wakil PAS yang paling digemari pengundi di Kuala Terengganu - tidak terpilih.

bersih protest constitution amendment 071207 dzulkifli ahmad Dr Syed Azman juga dipersetujui untuk dicalonkan oleh keempat-empat DUN dalam parlimen itu dan namanya sentiasa menjadi pilihan utama mesyuarat PAS - selain naib presiden Mohamad Sabu dan Mustafa sendiri - sehinggalah beberapa jam sebelum pengumuman mengejut Abdul Hadi.

Dr Dzulkifli mengakui terdapat usaha sesetengah pemimpin untuk cuba memastikan Dr Syed Azman bertanding semula di Kuala Terengganu - dengan harapan dapat mengulangi kemenangan besarnya pada 1999.

"Usaha itu sebelum kita memutuskan untuk memberikan hak penuh kepada presiden memilih calon," katanya.

Bagaimanapun sebagai memegang disiplin dalam parti, tambahnya, mereka sepakat mendukung keputusan Abdul Hadi dengan memetik ayat al-Quran "apabila kamu berazam, maka bertawakkallah kepada Allah."

Lagipun, tambahnya, dinamik politik dalam PAS tidak sama dengan Umno ketika menangani isu-isu seperti perebutan calon pilihanraya.

Sumber-sumber PAS yang ditemui Malaysiakini juga beranggapan yang sama - tidak wujud kumpulan-kumpulan tertentu yang memboikot kempen atau mensabotaj parti semata-mata kerana pilihan mereka Dr Syed Azman tidak dicalonkan.

"Kalau ada bantahan, mungkin secara individu. Kumpulan-kumpulan tidak ada," kata sumber.

Dr Dzulkifli turut menafikan Dr Syed Azman masih merajuk hingga saat ini - seperti tanggapan popular dalam kalangan pekerja parti dan juga pemimpin BN - dan menyifatkan semua perkembangan negatif yang dikaitkan dengan "kumpulan Erdogan" sebagai "berkebetulan".

Dr Lo' Lo', tambahnya, tidak dapat hadir berkempen kerana berada di luar negara saat ini, sementara Husam pula ada gendalanya sendiri sehingga tidak dapat menampakkan muka di Kuala Terengganu kecuali pada hari penamaan calon.

Bendahari PAS Dr Hatta Ramli, satu lagi nama yang dikaitkan dengan "kumpulan Erdogan", bagaimanapun kelihatan bersungguh-sungguh dalam berkempen, dipercayai kerana beliau terlibat sendiri dalam jentera utama pilihanraya kecil 17 Januari ini.

Selain mendakwa calon BN turut menghadapi pergeseran dalaman yang serius berhubung pemilihan Wan Ahmad Farid, wakil rakyat Kuala Selangor juga menjelaskan kempen PAS sehingga ini belum sehebat di Permatang Pauh kerana suhu politik tidaklah sehangat di Pulau Pinang tahun lalu.

Dr Dzulkifli menjangkakan semua tokoh utama PAS, termasuk rakan-rakannya yang dilabel "kumpulan Erdogan", akan turun padang habis-habisan menjelang lima hari terakhir kempen.

Walaupun berlegar-legar tanggapan negatif isu "kumpulan Erdogan" berkecil hati, Anwar yang disebut tokoh utama mazhab ini bersama jentera PKR tidak lekang berkempen, khususnya bagi memastikan pengundi DUN Bandar memihak kepada Abdul Wahid.

Anwar, kata sumber-sumber PAS itu lagi, tetap bekerja keras memenangkan kerusi Kuala Terengganu walaupun wujud usaha-usaha pemulauan pemimpin PAS tertentu dalam kempennya di Permatang Pauh.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.