BERITA

Pemidang PAS dikoyak MBKT

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Jan 2009, 8:14 pagi

Satu pertelingkahan kecil tercetus di antara petugas PAS dengan pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu apabila mereka cuba menurunkan pemidang bersaiz besar parti itu.

Pemidang berkenaan diletakkan di satu simpang tiga dekat SK Tengku Ampuan Mariam di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu kira-kira jam 4 petang tadi.

kuala terengganu by election dispute over poster 140109 01 Bagaimanapun, 20 petugas PAS bersama penyokongnya berjaya menghalang kakitangan penguatkuasa MBKT - yang juga sebahagian jawatankuasa pemantau pilihanraya kecil parlimen tersebut - daripada merobohkan pemidang berkenaan.

Sebahagian pemidang telah dikoyakkan sebelum ditampal semula oleh petugas-petugas PAS.

Sewaktu Malaysiakini tiba di tempat kejadian, kakitangan MBKT sedang beredar.

Pemidang berkenaan memaparkan gambar Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan tertulis petikan kata-kata menteri besar itu yang dianggap gurindam rasuah.

Ia berbunyi "Nak Beri Salah, Tak Beri Kalah, Umno Jadi Serba-Salah, Jom Pakat Pangkah PAS."

kuala terengganu by election 130109 mbkt takes down poster Tidak jauh dari kain pemidang berkenaan, ada satu poster besar yang memaparkan karikatur ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menunggang seekor keldai berkepala dua - presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang.

Kira-kira 10 anggota polis berada di tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Lebih kurang 20 minit kemudian timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan ketua Pemudanya Salahuddin Ayub hadir. Mereka diberi taklimat ringkas kejadian tersebut oleh petugas PAS di lokasi berkenaan.

Bercakap kepada wartawan, Nasharuddin berkata, PAS akan membuat aduan kepada suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan MBKT mengenai perkara tersebut.

"Kita telah menerima beberapa aduan mengenai tindakan pihak MBKT merobohkan poster dan pemidang PAS.

"(Tetapi) kita tidak tahu mengapa mereka bertindak demikian,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin meminta aktivis Pemudanya tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang dilakukan pihak tertentu menjelang hari mengundi, Sabtu ini.

Katanya, tindakan mengoyak pemidang tersebut merupakan satu provokasi terhadap PAS.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.