BERITA Malaysiakini

Pegawai p'raya KT tarik diri mengejut

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tinggal satu hari lagi sebelum pengundian pilihanraya kecil Kuala Terengganu, pegawai pengurusnya Datuk Mat Razali Kassim menarik diri selepas didakwa berat sebelah oleh PAS.

kuala terengganu parliament by election spr ec announcement  051208 mat razali kassim Beliau, yang juga datuk bandar Kuala Terengganu (foto) , meletakkan jawatan mendadak hari ini selepas PAS menuduhnya meminta kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyokong calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Dalam kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal malam ini, Mat Razali digantikan oleh penolong pegawai pengurus pilihanraya parlimen ini Wan Mustafa Wan Hassan, yang juga setiausaha MBKT.

"SPR bersetuju menerima penarikan diri Mat Razali sebagai pegawai pengurus pilihanraya kecil P036 Kuala Terengganu berkuatkuasa serta-merta," kata Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik.

Tambahnya, selaras dengan peruntukan Seksyen 3(c) dan 5(1)(a) Akta Pilihan Raya 1958, suruhanjaya itu melantik penolong Mat Razali sebagai pegawai pilihanraya baru berkuatkuasa serta-merta.

Selain dakwaan PAS , satu laporan polis dibuat oleh ketua Angkatan Muda PKR Terengganu, Mohd Fariz Musa dengan mendakwa Mat Razali mengugut kira-kira 590 kakitangan MBKT dalam satu pertemuan di Dewan Tunku Abdul Rahman pagi semalam.

Dalam laporan polisnya petang semalam, pemimpin muda PKR itu mendakwa Mat Razali pernah berucap: "kalau berani dan tidak takut dibuang kerja, silalah (sokong pembangkang)".

"Saya memohon pihak polis supaya menyiasat dakwaan bahawa wujud amaran dan ugutan oleh pegawai pengurus pilihanraya Datuk Mat Razali Kassim yang telah memaksa dan mengugut kakitangan bawahannya," laporan polisnya dipetik.

Hari mengundi Sabtu ini menyaksikan persaingan Wan Ahmad Farid dengan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Adam.

Selain mengkritik Mat Razali, pembangkang juga mempertikaikan beberapa amaran kepada pegawai kerajaan agar memihak kepada BN dan janji-janji pembangunan yang melimpah di kawasan parlimen dengan mendakwa ia sejenis rasuah.