BERITA

Pemuda PAS akan buat laporan polis

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Jan 2009, 4:42 pagi

Dewan Pemuda PAS akan membuat laporan polis berhubung perbuatan meletakkan kepala babi di dalam surau Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) dengan beralaskan bendera PAS pagi tadi.

"Kemungkinan besar kita akan buat laporan. Mungkin selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu esok," kata Ketuanya, Salahudin Ayub yang sedang berkempen membantu calon PAS di ibu negeri Kuala Terengganu itu.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mengarahkan sayap Pemuda parti itu di Wilayah Persekutuan dan Selangor bagi mengumpul maklumat dan menyiasat perkara itu, sebelum membuat laporan polis.

UM gempar awal pagi tadi apabila kepala babi yang dibelah dua, ditemui diletakkan di atas bendera PAS dalam surau Akademi Pengajian Islam universiti berkenaan.

Mantan exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi yang lalu, Mohd Hilman Nordin memberitahu Malaysiakini, kepala babi itu diletakkan di atas bendera parti PAS.

Juga terdapat tulisan PMI,PRO-M dan PAS pada bendera tersebut.

Katanya, pada kira-kira jam 7.30 pagi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, datang ke surau tersebut, selepas dimaklum mengenai kejadian tersebut.

Pilihanraya kampus

Usaha Malaysiakini mendapatkan komen Dr Mohd Amin setakat ini gagal.

Dihubungi pagi ini, Salahudin berkata, Pemuda PAS mendesak pihak pentadbiran universiti itu membuat siasatan dalaman terhadap kes yang julung-julung kalinya berlaku di UM itu.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak mahu menuduh atau mengesyaki mana-mana pihak yang melakukan perbuatan itu.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan perkara itu mempunyai kaitan dengan pilihanraya kampus universiti berkenaan yang akan berlangsung Isnin ini.

"Yang penting perlu siasat dulu," tambah beliau.

Mengulas perbuatan itu awal pagi tadi itu, Salahudin berkata:

"Perbuatan itu adalah suatu bentuk provokasi, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan keharmonian pelajar pelbagai kaum di universiti berkenaan."

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.