Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Puad Zarkashi hadiri mesyuarat PPSMI esok

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ahli Parlimen Batu Pahat Datuk Puad Zarkashi bersetuju menghadiri mesyuarat jawatankuasa induk Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor malam esok.

Dr Puad Zarkashi Bagaimanapun, Puad ketika dihubungi Malaysiakini berkata, kehadirannya itu bukan mewakili Umno, tetapi sebaliknya atas kapasiti individu.

"Kita perjuangkan bahasa (Melayu). Kalau takut, saya tidak hadir. Ini adalah demi perjuangan," katanya yang juga ketua bahagian Umno Batu Pahat.

Puad menerima surat undangan rasmi menyertai mesyuarat itu daripada GMP minggu lalu.

Ketika ditanya sama ada beliau tidak risau sekiranya menjadi sasaran kritikan tajam tokoh pembangkang yang turut dijadual hadir dalam mesyuarat tersebut, Puad berkata:

"Tidak ada masalah. Isu ini (PPSMI) tidak boleh dipolitikkan. Isunya bukankah siapa penganjurnya. Ini adalah soal bersama, dan perlu dibincangkan secara jujur."

Malaysiakini difahamkan, beberapa tokoh pembangkang - antaranya Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Md Isa; Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad - akan turut hadir.

Perhimpunan raksasa

Wakil rakyat bebas, Datuk Ibrahim Ali difahamkan turut dijemput. Beliau juga merupakan presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Ditanya mengenai strategi GMP yang mahu melancarkan perhimpunan besar ala-Bersih Mac ini bagi menuntut pemansuhan dasar itu, Puad berkata, perkara itu bergantung kepada penjelasan GMP esok.

Tambahnya, beliau perlu mendengar dahulu penjelasan gabungan itu dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan Ahmad malam esok sebelum membuat sebarang pendirian.

"Kita kena tengok dulu apa strateginya," kata Puad yang layak bertanding kerusi Majlis Tertinggi Umno Mac depan.

Beliau bagaimanapun optimis, Umno sebagai parti terbesar mewakili orang Melayu, akan memainkan peranannya mengubah dasar yang diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu itu.

"Cuma ada faktor-faktor masa yang perlu dipertimbangkan. Lagi pun, ini adalah permintaan rakyat," katanya.

GMP dianggotai sekumpulan NGO Melayu dan parti pembangkang bagi menuntut pemansuhan dasar PPSMI.

Gabungan itu mencetuskan kegemparan apabila merancang melancarkan perhimpunan raksasa ala-Bersih Mac ini untuk menyerahkan memorandum memohon campurtangan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu tersebut.