Pengerusi Jawatankuasa Induk Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hassan Ahmad berkata beliau akan mencadangkan dalam mesyuarat jawatankuasa itu malam ini supaya menimbang baik-buruk rancangan untuk mengadakan perhimpunan raksasa membantah program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata, ini kerana beliau dimaklumkan ramai yang belum memahami sepenuhnya tujuan bantahan itu dibuat.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Hassan berkata, bantahan terhadap PPSMI mesti ditangani secara bijaksana.
"Kalau kita ikut cara Hindraf (Barisan Bertindak Hak Hindu), kita kalah. Kalau kita ikut cara orang jahil, kita kalah," katanya.
Malah, katanya, 70 peratus daripada tiga juta ahli Umno sendiri pun, masih belum memahami usaha dan tujuan semua pihak, termasuk GMP, membantah pelaksanaan program tersebut.
Oleh itu, kata Dr Hassan, adalah lebih baik jika dilancarkan terlebih dahulu kempen penerangan bagi membolehkan semua pihak benar-benar memahami isu tersebut, sebelum perhimpunan besar itu diadakan.
Menurutnya lagi, banyak kajian berhubung dasar itu dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu, tetapi oleh kerana hasilnya itu dalam bentuk ilmiah, orang ramai tidak mampu memahami dengan jelas isu berkenaan.
Pemilihan Umno
"Sebab itu saya rasa, kalau dikeluarkan buku-buku kecil dengan hujah yang mudah, itu akan lebih berkesan," katanya yang juga pengerusi Yayasan Karyawan.
Dr Hassan turut mengkritik penyediaan laporan dan statistik berkenaan isu PPSMI, yang menurutnya dimanipulasi dan dibuat secara selektif, menyebabkan realiti sebenar tersembunyi.
Situasi yang digambarkan itu, tambahnya, berbeza dengan perkara sebenar yang terjadi di sekolah-sekolah.
Beliau berharap kempen tersebut akan mencetuskan momentum sehingga tiba pemilihan Umno Mac depan.
Menjawab soalan, Dr Hassan menolak tanggapan bahawa beliau berdepan dengan tekanan untuk menimbang semula rancangan mengadakan perhimpunan tersebut.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa cadangan GMP untuk menimbangkan semula perhimpunan raksasa Mac ini boleh disifatkan sebagai hangat-hangat tahi ayam.
"Hangat-hangat tahi ayam, itu lainlah. Kita mesti fikirkan apa yang harus dibuat. Kalau berarak, kalau tidak ada hasil, rugi. Kita mesti pastikan setiap tindakan berkesan," katanya.
