BERITA Malaysiakini

Umno Raub: Guru didakwa terbabit politik wang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang penolong kanan sekolah rendah di Raub, Pahang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan memberi rasuah dalam bentuk wang semasa pemilihan Umno Bahagian Raub.

Pertuduhan ini merupakan kes pertama melibatkan "politik wang" sejak penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Junaidi Abdul Hamid, 46, didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai kepada dua ahli Umno - Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad, masing-masing RM200 - sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai timbalan ketua Umno bahagian Raub.

Menurut kertas pertuduhan, dia melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, pada jam 8 malam, 13 September 2008, lapor Bernama.

Junaidi menghadapi pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Josendra Abu Senin menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dan memohon agar pasport Junaidi ditahan oleh mahkamah.

Bagaimanapun peguambela Mohd Harris Abdullah yang mewakili Junaidi membantahnya dan memohon agar ikat jamin tersebut dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.

Serah pasport

Beliau juga berkata anak guamnya yang merupakan seorang penjawat awam iaitu merupakan penolong kanan di sebuah sekolah rendah Raub tidak mungkin akan melarikan diri kerana dia pasti akan mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Hakim Rosbiahanin Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sebagai syarat tambahan Junaidi diperintahkan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Rakan Junaidi membayar jaminan tersebut.

Di Ipoh, Naib Ketua Umno bahagian Beruas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan memberi rasuah wang tunai berjumlah RM300 kepada seorang anggota parti itu pada pemilihan Umno bahagian Oktober lepas.

Tertuduh Azman Noh, 42, yang juga merupakan seorang kontraktor didakwa secara rasuah memberi suapan RM300 kepada Davad @ Daud Parman pada 11 Oktober lepas

di sebuah rumah beralamat No.10 A, Kampung Sungai Ramai, Air Tawar dekat Ipoh kira-kira 12 tengah malam.

Azman yang juga bekas seorang pendidik didakwa melakukan perbuatan itu sebagai dorongan supaya Davad @ Daud melakukan satu perkara iaitu memilihnya bagi jawatan Naib Ketua Umno bahagian itu, Abdul Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Umno dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua Umno pada pemilihan bahagian Beruas pada 12 Oktober lepas.

Ikat jami RM10,000

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin walaupun peguam Khairil Azwa yang mewakili tertuduh memohon ia dikurangkan kepada RM5,000.

Sebelum itu pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya How May Ling memohon ikat jamin sebanyak RM10,000.

Peguam berkenaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa oleh kerana tertuduh memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan kepada pihak pendakwaan dan jaminan untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah.

"Penduduk tempatan juga tidak mempunyai bukti tertuduh akan boleh melarikan diri dan semenjak disiasat tidak ada bukti tertuduh cuba mengganggu saksi," katanya.

Peguam turut memberitahu mahkamah, tertuduh mula dipanggil untuk membantu siasatan pada 6 November lepas dan pada Selasa lepas tertuduh sekali lagi dipanggil untuk tujuan yang sama dan sejurus selepas memberi keterangan pada hari tersebut tertuduh ditahan.

Azhaniz Teh juga menetapkan 1, 2 dan 3 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Azman yang mempunyai lima orang anak berusia dua hingga 16 tahun dan seorang isteri yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan itu didakwa di bawah Seksyen 10 (b) (aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.