BERITA Malaysiakini

Polis terus siasatan kematian Kugan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Polis akan tetap menyiasat punca kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis USJ 8, Subang Jaya walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata siasatan itu akan diteruskan kerana terdapat dakwaan bahawa kematian tahanan A. Kugan, 22, pada 20 Januari lalu berunsur penderaan semasa di lokap.

kugan ananthan injuries 210109 back "Laporan bedah siasat yang didapati malam tadi menunjukkan tubuh mangsa mengalami kecederaan. Kita akan menyiasat punca kecederaan itu walaupun doktor mengesahkan ia (kecederaan itu) bukan punca yang menyebabkan mangsa mati," katanya pada sidang media perasmian kempen keselamatan lebuhraya Kajang-Seremban

(LEKAS) di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Khalid berkata polis tidak akan melindungi sesiapa saja termasuk pegawai sekiranya benar ada anggotanya yang terlibat mendera Kugan.

"Saya harap keluarga mangsa mahupun orang ramai bersabar terhadap proses siasatan ini kerana saya beri jaminan seratus peratus bahawa kami (polis) akan menyiasatnya secara telus dan adil," katanya.

"Kita dapat maklumat bahawa seorang timbalan menteri berada semasa mayat dituntut di Hospital Serdang dan terdapat kekecohan di situ. Saya sudah arahkan pegawai supaya percakapannya (timbalan menteri itu) dirakam," katanya.

'Serbu rumah mayat'

Katanya, polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kekecohan dengan menyerbu rumah mayat, seperti yang berlaku semalam.

kugan ananthan injuries 210109 wrist

Kugan yang ditahan reman sejak Khamis lepas kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah, sepatutnya tamat semalam.

Mangsa ditahan di hadapan sebuah kondominium di Puchong pada jam 1 pagi dan dilaporkan bergelut dengan polis sebelum ditahan.

Maklumat polis menunjukkan mangsa adalah anggota kumpulan yang terlibat dalam kes samun kereta mewah di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Hasil intipan di kondominium itu, polis menahan mangsa yang ketika itu sedang memandu kereta Honda bersama seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an. Bagaimanapun rakannya itu dapat melarikan diri.

Hasil tangkapan itu, Polis berjaya mengesan 15 buah kereta mewah, dua daripadanya ditemui di kondomium berkenaan manakala 13 buah lagi di sebuah gudang di Puchong.