Adun Umno keluar parti, sertai PKR

   

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasarudin Hashim keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

nasarudin hashim Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi Bernama berkata Nasaruddin (foto) membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Mohammad Nizar menyifatkan Nasaruddin, 58, yang juga bekas Pengerusi Felcra sebagai seorang yang beriman, berilmu dan berpengalaman.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Nasaruddin) berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lepas. Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan.

Malaysiakini
terkini untuk anda