Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anggota badan perhubungan Umno Perak, Datuk Dr Zambery Kadir berkata, parti itu sedia menerima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu jika mereka mahu menyertai Umno.

“Kita boleh terima jika mereka mahu menerima perjuangan Umno," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

zambry abd kadir “Bagaimanapun, untuk waktu ini kita tengok dahulu perkembangan yang berlaku,” kata Dr Zambery yang juga ketua Umno bahagian Lumut.

Menurutnya, badan perhubungan Umno Perak sedang memantau secara dekat perkembangan situasi politik semasa di negeri tersebut.

Bagaimanapun, katanya, masih awal untuk menentukan tindakan yang akan diambil oleh parti itu dalam masa terdekat ini.

“Buat masa sekarang kita tengok perkembangan yang berlaku....kita akan tengok sama ada kita akan buat undi tidak percaya kepada kerajaan negeri sedia ada," katanya.

Pada masa ini Pakatan mempunyai 32 kerusi selepas Jamaluddin dan Osman dilaporkan keluar parti dan menjadi Adun bebas.

Manakala BN pula mempunyai 27 kerusi selepas seorang Adun Umno bagi kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim keluar parti dan menyertai PKR.

“Dua Adun PKR yang menjadi ahli bebas itu mempunyai kuasa penentu untuk meluluskan rang undang-undang yang dibentangkan dalam persidangan dewan undangan negeri,” katanya.

ADS