Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DUN tidak dibubarkan, Sultan minta MB undur
Diterbitkan:  Feb 5, 2009 3:40 PM
Dikemaskini: 11:53 AM

Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Sultan Perak hari ini.

Kenyataan tersebut berkata, baginda setelah menemui kesemua 28 ahli dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota bebas, baginda yakin bahawa Mohamad Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.

"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Istana Kinta pada jam 9.50 pagi tadi untuk mengadap Sultan Azlan Shah untuk mendapat perkenan Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan baru di Perak.

Beliau yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak diiringi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Hamidi Hamid.

Ahmad Zahid merupakan timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak.

Najib meninggalkan istana pada jam 10.35 pagi dan kembali semula ke Istana Kinta dengan empat wakil rakyat yang keluar Pakatan Rakyat semalam - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu (Changkat Jering), Hee Yit Foong (Jelapang) dan Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) - untuk mengadap baginda pada jam 10.55 pagi ini.

Kesemua 28 ahli dewan daripada BN juga dibawa untuk menghadap Sultan Azlan Shah.

Selepas itu, Nizar Jamaluddin dititahkan untuk menghadap baginda di Istana Kinta dan beredar kira-kira 15 minit kemudian pada jam 1.05 tengah hari.

Nizar enggan meletak jawatan bersama barisan exconya dan dijangka mengadakan sidang media mengenai perkara itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kenyataan empat muka surat yang ditandatangani oleh Kol Datuk Abdul Rahim Mohamad Nor, Setiausaha Sulit kepada Sultan Azlan Shah, dikeluarkan pada jam 2.15 petang.

Ia menjelaskan bahawa Mohammad Nizar telah menghadap Sultan semalam dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan DUN Perak.

Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional Perak, juga telah memohon menghadap baginda dan telah diberi perkenan berbuat demikian pada hari ini.

Di majlis menghadap itu pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri telah memaklumkan kepada baginda bahawa BN dan penyokong-penyokongnya kini terdiri daripada 31 orang Adun dan telah menguasai majoriti ahli Dewan Negeri.

Menurut kenyataan itu, untuk meyakinkan baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, Sultan Azlan shah menitahkan kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut menghadap baginda.

Kenyataan penuh:

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan

Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak. Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan."

ADS