Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali menafi memainkan peranan dalam majlis sumpah laknat bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim Ogos tahun lalu.

Beliau turut menafikan merancang majlis itu bersama "orang-orang politik" dan menjadikan seorang imam saksi berkenaan, Ramlang Porigi sebagai kambing hitam bagi tujuan politik.

"Saya pergi sebab dapat tahu ada majlis berkenaan. Dan masjid (Masjid Wilayah Persekutuan) itu di bawah kawalan saya. Saya tahu satu majlis akan berlangsung. Tetapi saya tidak arah sesiapa pun jadi saksi," katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Che Mat berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ramlang bahawa beliau (Che Mat) dan "orang-orang parti politik" merancang dan menjadikan iman muda itu sebagai kambing hitam untuk tujuan politik masing-masing.

Ramlang hari ini menjelaskan secara terperinci kronologi majlis sumpah tersebut serta pihak yang terlibat langsung dalam majlis itu, mulai jam 5 apabila pertama kali mendapat arahan menjadi saksi sehingga tamatnya majlis itu hampir jam 7 petang hari berkenaan.

Menurut Ramlang lagi, ketika pihak yang ingin bersumpah, Mohd Saiful Bukhari bertanyakan kehadiran Che Mat, pengarah Jawi itu menghilangkan diri dengan bersembunyi di belakang mimbar di masjid, tempat sumpah itu berlangsung.

'Nafi beri arahan'

Membuat penjelasan lanjut berhubung perkara itu, Che Mat menafikan memberi arahan langsung atau melalui pegawai-pegawainya kepada Ramlang dan tiga lagi iman lain yang turut menjadi saksi.

Sehubungan itu, Che Mat menyifatkan dakwaan Ramlang itu sebagai "tuduhan palsu".

Ditanya kenapa beliau hadir di majlis berkenaan, Che Mat berkata, beliau ingin mengawal masjid itu daripada kemungkinan berlakunya sebarang kekecohan setelah diberitahu ramai orang, termasuk pihak polis.

"Saya hendak kawal masjid. Saya dengar Saiful tak boleh masuk. Saya dengar-dengar...," katanya.

Che Mat menambah, masjid seharusnya terbuka untuk semua orang sama ada untuk bersumpah, beribadat atau berzikir.

Tambah beliau, kehadiran tiga lagi iman lain juga secara kebetulan sahaja.

Jadi saksi

Katanya, sumpah berkenaan hanya memerlukan dua orang saksi yang beragama Islam sahaja untuk menjadi saksi - tidak semestinya iman - untuk menjadi sah.

Beliau menambah, kalau ada dua orang wartawan yang beragama Islam pun ketika itu, menjadi saksi, sumpah itu tetap sah.

Ramlang mendedahkan perkara itu setelah dipecat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 20 Januari lalu berhubung kehadirannya di majlis pembangkang menjelang pilihanraya kecil Permatang Pauh Ogos lalu.

Ramlang kelmarin mengemukan rayuan rasmi kepada Jakim supaya diberikan peluang kedua dan diterima berkhidmat kembali dengan jabatan itu.

Bagaimanapun, sekiranya rayuannya tidak diendahkan, bapa kepada tiga orang anak itu nekad mengheret Jakim ke mahkamah bagi mencabar keputusan itu.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

ADS