Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis halang Nizar ke pejabat MB
Diterbitkan:  Feb 10, 2009 10:13 AM
Dikemaskini: Feb 11, 2009 5:09 AM

kemaskini 1.05pm Menteri besar Pakatan Rakyat di Perak, yang enggan mengiktiraf kerajaan baru BN, terus bertugas seperti biasa dengan mengetuai barisan exco negeri ke pejabat rasminya.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bergerak dari kediaman rasminya - yang dijadikan kawasan pentadbiran kerajaannya - menuju bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pagi ini yang telah dikawal oleh sekumpulan 30 anggota polis unit pencegah rusuhan FRU.

nizar banned from enter office 100209 crowd and police Kira-kira jam 11.05 pagi, beliau dan rombongannya tiba di depan pintu masuk bangunan tersebut tetapi kenderaan mereka dihalang oleh polis.

Mohammad Nizar kemudian keluar kenderaan rasminya dan berjalan menuju pintu masuk tetapi dihalang oleh polis yang kendengaran berkata, "Datuk, tolong beredar. Saya hanya mengikut arahan."

Menteri besar Pakatan Rakyat itu kemudian menjawab:

"Tidak dapat masuk tidak mengapa. Hari ini tidak ada banyak temu janji. Hari ini adalah hari (bertemu) pelanggan."

Sebelum meninggalkan tempat itu 10 minit kemudian menuju kediaman rasminya di Jalan Tambun, Mohammad Nizar sempat bercakap ringkas kepada media.

nizar banned from enter office 100209 nizar meet police Katanya, mereka hadir ke sini untuk melaksanakan tugas, tetapi mereka akur pada arahan polis dan tidak akan menimbulkan sebarang provokasi.

"Kita datang secara aman, (dan) pergi secara aman," katanya.

Tambahnya, mesyuarat beliau bersama barisan exconya akan diadakan di kediaman rasmi menteri besar.

Tidak kelihatan gelagat penyokong Umno yang dikatakan akan "berbuat apa sahaja" untuk menghalang Mohammad Nizar memasuki bangunan pejabatnya.

Menteri besar BN, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dijangka ke pejabat rasminya di bangunan tersebut hari ini.

Sementara itu, barisan exco kerajaan BN dijadual mengangkat sumpah jam 10 pagi ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar di depan Sultan Perak.

Tiada penunjuk perasaan di kawasan tersebut dan keadaan kelihatan tenang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS