Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz tidak setuju Nizar bertanding di Bkt Gantang
Diterbitkan:  Feb 10, 2009 11:24 AM
Dikemaskini: 11:39 AM

Mursyidul Am PAS tidak bersetuju dengan DAP yang mencadangkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diberi peluang bertanding pada pilihanraya kecil Bukit Gantang nanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata selagi Pakatan Rakyat masih menganggapnya menteri besar Perak, adalah tidak sesuai timbalan pesuruhjaya PAS Perak itu dicalonkan bertanding di kerusi parlimen itu, lapor Bernama .

"Kalau tanya saya, saya tidak boleh terima seorang yang berjawatan MB (menteri besar) ambil (wakili kawasan) parlimen... kecuali orang yang tidak berjawatan MB," menteri besar Kelantan dipetik berkata di pejabatnya hari ini.

"Bagi saya, tidak elok kalau MB Perak (Mohammad Nizar) turut bertanding di kawasan lain, sedangkan dia mempunyai kedudukan di kawasan lama.

"Ini seperti yang dilakukan bekas presiden PAS dahulu, (allahyarham) Datuk Asri Muda, yang bertanding di dua kerusi ketika memegang jawatan menteri besar Kelantan."

Nik Abdul Aziz turut memuji langkah anggota Dewan Undangan Negeri

(Adun) Bukit Selambau, V Arumugam yang meletak jawatannya itu dan juga exco kerajaan Kedah sebagai "seorang yang berprinsip".

Tambahnya, jika kesihatannya mengizinkan, beliau akan pergi berkempen pada pilihanraya kecil kedua-dua kawasan itu.

ADS