Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 9.46pm Terpulang kepada polis di setiap negeri untuk mengeluarkan larangan ceramah politik bagi meredakan keadaan susulan pergeseran kerajaan BN dengan Pakatan Rakyat di Perak sejak minggu lalu.

musa hassan Ketua polis negara berkata isu pemberian permit ceramah wajar dirujuk kepada ketua polis negeri - termasuk Perak atau Pulau Pinang - kerana isu keselamatan negeri berada di bawah tanggungjawab masing-masing.

Tan Sri Musa Hassan diminta menjelaskan dakwaan pemimpin PKR bahawa polis membekukan ceramah Pakatan Rakyat di seluruh negara selama dua minggu ekoran kegelisahan politik di Perak.

Beliau berkata, parti-parti politik yang berminat mengadakan ceramah harus melalui prosedur biasa untuk mendapatkan permit.

Suasana tegang berlaku dekat istana Kuala Kangsar sewaktu majlis angkat sumpah menteri besar baru BN, Jumaat lepas - sehingga memaksa polis melepaskan gas pemedih mata berkali-kali (foto kiri, bawah) .

Sehari selepasnya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membatalkan jadualnya di saat-saat akhir untuk menyambut Tahun Baru Cina di Ipoh - difahamkan atas alasan keselamatan.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 31 Kawalan ketat polis mengiringi majlis angkat sumpah enam exco kerajaan baru BN itu semalam di istana Kuala Kangsar bagi menghalang sebarang kejadian tidak diingini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR mendakwa ceramah anjuran mereka di Bayan Baru pada Ahad lalu dibatalkan permitnya di saat-saat akhir kerana wujud "arahan khas daripada Bukit Aman."

Badrul Hisham Shaharin mendakwa pihaknya dimaklumkan pembekuan itu selama dua minggu sehingga situasi di Perak "kembali sejuk."

Ceramah itu yang asalnya dijadual di padang dekat Sungai Nibong Tengah, bagaimanapun diteruskan di sebuah rumah berdekatan dengan kehadiran 2,000 orang penyokong, katanya.

Selain beliau, exco kerajaan Pulau Pinang, Abdul Malik Kassim dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Jerjak, Sim Tze Tzin turut berucap.

Sementara itu, ketua Angkatan Muda PKR Bayan Baru, Asrizal Tahir – yang memohon permit berkenaan – berkata permohonan mereka pada mulanya diluluskan oleh polis.

perak bn takeover protest mosque tear gas attack incident kuala kangsar rally 060209 22 Katanya, seorang pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah menelefon beliau sehari sebelum program memaklumkan pembatalan itu.

Menurutnya, pegawai polis itu memaklumkan kepadanya bahawa semua ceramah "dibekukan dalam masa terdekat", difahamkan dua minggu, kerana "ada sangkut-paut dengan situasi di Perak."

Beliau juga mendakwa, pegawai itu memberitahu bahawa keputusan itu datangnya daripada ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman dan berkuatkuasa di seluruh negara.

Pergeseran di Perak bermula apabila kerajaan Pakatan tumbang setelah tiga Adunnya keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada BN.

Adun PKR Datuk Nasarudin Halim - yang menyertai parti itu selama 10 hari - kembali semula kepada BN.

Kerajaan baru BN pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir itu bagaimanapun tidak diiktiraf oleh menteri besar Pakatan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyebabkan wujudnya suasana krisis perlembagaan.

ADS