Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini sekali lagi menerima memorandum mendesak dimansuhkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Kedua-dua tokoh penting Pakatan Rakyat itu sebelum ini menerima memorandum mengenai perkara yang sama sebelum pilihanraya kecil Kuala Terengganu 17 Januari lalu daripada Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

parliament 170209 wakil gerakan memansuhkan ppsmi Memorandum 12 halaman itu - yang mengandungi kompilasi ringkasan hasil kajian beberapa ahli akademik tempatan berhubung pelaksanaan PPSMI - diserahkan oleh pengerusi jawatankuasa induk GMP, Datuk Hassan Ahmad di parlimen pagi ini.

Dr Hassan ditemani sembilan lagi tokoh bahasa dan sastera tanahair ketika penyerahan itu, termasuklah Sasterawan Negara, A Samad Said; penyair terkenal, Dinsman serta pakar bahasa Ainon Mohd dan Dr Abdullah Hassan.

Memorandum yang sama pernah diedarkan kepada wartawan di sebuah sidang media GMP di pejabat Persatuan Penulis Nasional (Pena) di ibunegara Khamis lalu.

Anwar yang hadir menemui kumpulan itu dan menerima memorandum di pertengahan sidang media mereka, berucap ringkas: "Saya harap semua ahli parlimen Pakatan Rakyat terus memperjuangkan perkara ini (pemansuhkan PPSMI)."

Turut kelihatan ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin utama Pakatan juga hadir memberikan sokongan kepada gerakan itu.

'Gagal jumpa Hisham'

parliament 170209 gerakan memansuhkan ppsmi pc Melihat sokongan itu, Dr Hassan secara berseloroh berkata: "Tak nampak pula orang-orang Umno."

Dalam sidang media di parlimen, Dr Hassan bagaimanapun berkata, tidak akan menyerahkan memorandum kepada semua ahli Parlimen, sebaliknya akan memberikan kepada "yang terpilih dan ketua-ketua sahaja".

Sehingga jam 11.30 pagi, kumpulan itu masih belum berjaya menemui Menteri Pelajaran, Hishamuddin Hussein bagi tujuan yang sama.

Penyokong gabungan beberapa NGO dan parti politik pembangkang itu pada mulanya berkumpul di Tugu Negara, sebelum berarak ke parlimen kira-kira 9.30 pagi tadi.

anti english language in math and science ppsmi gmp parliament march 170209 07 Mereka tidak menjeritkan sebarang slogan, sebaliknya hanya memegang sepanduk bertulis "Rakyat tuntut mansuhkan PPSMI".

Bagaimanapun, dengan jumlah yang kecil kira-kira 20 orang sahaja, perarakan itu berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Kira-kira 40 polis dilihat berkumpul di sekitar kawasan itu dan mengadakan dua sekatan jalanraya di jalan menuju ke Parlimen.

ADS