Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teman lelaki Eli dipanggil beri keterangan
Diterbitkan:  Feb 18, 2009 1:25 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

Bekas teman lelaki ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes penyebaran gambar separuh bogel wanita itu hari ini, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Bekas teman lelaki Elizabeth itu, seorang ahli PKR, adalah bekas pembantu kepada ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Ketika ditemui di lobi Parlimen, Hee berkata, beliau tidak tahu di mana bekas pembantunya itu berada dan enggan menjawab soalan berhubung perkara itu.

Ketika itu, ketua penerangan PKR yang juga ahli Parlimen Batu, Tian Chua meminta media supaya menghormati privasi Elizabeth dan tidak memainkan isu tersebut.

"Ia tiada kena mengena dengan tugas beliau sebagai ahli exco dan ahli dewan undangan negeri... harap hormatilah hal ehwal peribadinya," kata Tian kepada wartawan, sambil menambah beliau tidak mahu disoalkan mengenai perkara itu lagi.

Elizabeth, 37, yang juga merupakan anggota Exco kerajaan negeri Selangor, semalam menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar kepada umum.

Polis gelidah rumah Eli

Sementara itu, Khalid berkata, teman lelaki Elizabeth akan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya.

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam hari ini, beliau berkata polis menerima dua keping gambar bogel ahli politik berumur 37 tahun itu dalam bentuk kepingan dan cakera padat dari seorang wartawan Malay Mail .

"Dua wartawan Malay Mail dan dua wartawan The Sun telahpun dipanggil untuk memberi keterangan berhubung (laporan berita) pengedaran gambar berkenaan," katanya.

Di samping itu, katanya, polis juga sedang memantau laman-lamanweb yang menyiarkan foto-foto tersebut.

Khalid juga menasihatkan mereka yang memiliki foto wakil rakyat tersebut supaya memusnahkannya atau menyerahkannya kepada polis.

Beliau mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang didapati menyebarkan foto tersebut.

Difahamkan, sepasukan polis dari jabatan forensik telah memeriksa rumah Elizabeth di Petaling Jaya tengahari tadi.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata pemimpin tinggi parti itu akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan lebih lanjut mengenai tindakan selanjut.

ADS