Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Angkatan Muda PKR (AMK) akan menggunakan lembu bagi membawa laporan rasuah untuk diserah semula kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin berkata laporan tersebut pernah diserah kepada SPRM sebelum ini tetapi tidak diambil tindakan.

pkr weekly meeting 190707 shamsul iskandar Menurutnya, tindakan itu adalah sebagai tanda sindiran kepada SPRM supaya "tidak dicucuk hidungnya".

"Jangan menumpukan siasatan kepada (isu) 'lembu korban PKNS' sedangkan sudah puluhan laporan kita buat, termasuk melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak pernah disiasat secara serius," katanya.

Bulan lalu, Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak), Mohd Nazree Mohd Yunus membuat laporan kepada SPRM mendakwa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan dana negeri untuk menaja 46 ekor lembu korban untuk masjid dan surau di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakilinya ketika Hari Raya Korban Disember lalu.

Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan berkata, terdapat bukti-bukti kukuh berhubung dakwaan tersebut.

Menurut Ahmad Said, kertas siasatan sudah siap dan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara tidak lama lagi.

'Hilang harapan'

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Shamsul berkata, perhimpunan itu akan diadakan di SPRM Selangor di Shah Alam pada jam 2 petang esok.

Katanya, Pemuda PKR akan berarak ke pejabat SPRM dengan lembu tersebut untuk menyerahkan dokumen berkenaan.

Tambahnya, perarakan itu bertujuan menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid dan meminta SPRM menyiasat aduan rasuah yang melibatkan pemimpin Umno.

Katanya, dokumen aduan dan bukti yang pernah dikemukakan kepada suruhanjaya itu akan dijilid dan diletakkan di atas belakang lembu itu untuk diarak dan diserahkan kepada SPRM.

Ditanya dari mana datangnya lembu itu, Shamsul secara berseloroh berkata: "Ia dipercayai anak daripada salah seekor daripada 46 ekor lembu korban yang ingin menuntut bela."

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Saharin akan mengepalai beberapa penyokong Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bagi membakar membakar dokumen aduan dan bukti yang pernah dikemukakannya kepada suruhanjaya itu, di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 11 pagi esok.

Menurut Badrul, tindakan itu dirancang sebagai tanda amaran keras "rakyat Malaysia sudah hilang harapan kepada SPRM".

Katanya, secara peribadi, sejak tahun 2000, sudah 87 laporan dibuat kepada BPR dan SPRM tetapi tidak memberi apa-apa kesan.

"Kalau dikumpulkan semua laporan dan bukti-bukti itu, sudah boleh sampai tiga kotak (kertas) A4," katanya.

ADS