Bekas isteri kedua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Wan Ismail Wan Jusoh membuat tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu agar membayar mutaah sebanyak RM3 juta.
Siti Aishah Abdullah yang hadir bersama dua anaknya - Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3 - bagaimanapun dimaklumkan
oleh mahkamah bahawa saman tuntutan itu belum dapat diserahkan kepada wakil rakyat Melor itu.
Turut menemani wanita berketurunan Cina Kemboja itu, adiknya Abdul Hakim Abdullah dan bapanya Kian Ti, lapor
Bernama
.
Hakim Abdullah Man menjelaskan, ketika saman itu dihantar ke rumah Wan Ismail sebelum ini, wakil rakyat itu dan keluarga yang tinggal di Wakaf Tok Wali tiada di rumah.
Abdullah kemudiannya menetapkan 21 April untuk sebutan semula.
Menurut agensi berita itu, peguamnya Mohd Sibri Ismail ketika ditemui selepas itu berkata saman itu akan dihantar sekali lagi ke alamat berkenaan.
"Butiran tuntutan akan diutarakan ketika perbicaraan nanti," katanya.
Wan Ismail turut menghadapi tuntutan nafkah bagi dua anaknya itu di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu. Kes itu sedang dalam perbicaraan.
Siti Aishah menuntut agar Wan Ismail membayar tuntutan bayaran nafkah sebanyak RM1,800 sebulan untuk Wan Ahmad Firdaus dan Wan Nor Salwa.
