Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi bersedia diseret ke mahkamah berhubung isu beliau memutarbelit kenyataan berkenaan sumpah laknat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Kita bersedia. Kita akan gunakan peluang ini (bagi membersihkan nama Ramlang)," kata peguamnya Ahmad Nizam Hamid kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim itu yang dilaporkan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap Ramlang atas alasan “memutarbelit kenyataan” berhubung sumpahnya diliwat Anwar tahun lalu.

Selepas membuat aduan polis pagi ini berhubung tuduhan di satu blog bahawa beliau mengalami pelbagai penyakit akibat sumpahnya itu, Mohd Saiful dilaporkan berkata, kenyataan Ramlang baru-baru ini berbeza dengan dakwaan awalnya tahun lepas.

Sewaktu mendedahkan kronologi majlis sumpah 15 Ogos lalu kepada Malaysiakini baru-baru ini, Ramlang mendakwa ia diatur pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Che Mat Che Ali, sedangkan sebelumnya bekas imam itu dilapor mendakwa diarah oleh seorang pegawai khas timbalan perdana menteri, Khairil Annas Jusoh.

Ahmad Nizam berkata, anak guamnya menafikan pernah memfitnah Khairil Annas dan, tambahnya, Mohd Saiful pula tidak boleh boleh memfailkan saman bagi pihak seorang lain.

Peguam itu berkata, Ramlang tidak pernah memberikan sebarang komen terhadap Mohd Saiful atau menyerang peribadinya, sebaliknya hanya mempersoalkan prosedur sumpah berkenaan.

Sementara itu, Ramlang masih ingin meneruskan hasratnya menyaman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) jika rayuannya upaya jabatan itu menerimanya kembali berkhidmat gagal dipenuhi.

Bagaimanapun, kata Ahmad Nizam, pihaknya perlu menunggu tiga bulan sehingga tempoh pertimbangan rayuan itu selesai sebelum mengambil tindakan lanjut.

Awal bulan ini, Ramlang dibuang kerja oleh Jakim atas alasan pernah berkempen untuk Anwar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu.

ADS