Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco Pemuda pertikai bedah siasat awal kematian Kugan
Diterbitkan:  Mar 5, 2009 5:56 PM
Dikemaskini: Mar 6, 2009 7:08 AM

Kegagalan bedah siasat pertama mengetahui kesan penderaan terhadap tahanan polis A Kugan haruslah disiasat, kata seorang exco Pemuda Umno.

"Dalam keadaan bagaimana dan apakah jenis siasatan yang dijalankan sehingga membawa penemuan dan laporan bedah siasat pertama berbeza sama sekali daripada laporan kedua," kata Ahmad Ikmal Ismail.

Exco pendidikan itu mengulas bedah siasat terbaru yang mendapati suspek curi kereta mewah itu - yang meninggal dunia sewaktu direman di balai polis Taipan, Subang Jaya pada Januari lalu - mati akibat dibelasah teruk.

a kugan police assaulted indian youth autopsy report 030309 Bedah siasat itu juga mendapati pakar patologi pertama hanya membedah siasat bahagian jantung ke atas dan tidak menyiasat bahagian-bahagian mayat yang lain.

Ia berjaya mengesan tiga kesan kecederaan pada badan mangsa.

Bedah siasat kedua oleh seorang pakar forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya bagaimanapun mendapati 42 lagi kesan kecederaan, kesan bakar dan calar.

Ia memutuskan, kematian pemuda 22 tahun itu akibat kegagalan buah pinggang selepas aliran darah tersekat, sedangkan bedah siasat pertama mendapati akibat terdapat cecair di dalam paru-parunya.

ahmad ikmal bin ismail Ahmad Ikmal menambah, jika pakar patologi di Hospital Serdang yang menjalankan bedah siasat pertama sengaja memalsukan laporannya demi menolong pihak-pihak tertentu, tindakan sewajarnya haruslah diambil.

Pengarah hospital itu Dr Mohd Norzi Ghazali hari ini dilaporkan berkata kesan pada mayat Kugan telah diganggu sewaktu bilik mayat diserbu oleh sekumpulan ahli keluarga mangsa - belum sempat dibedah siasat lebih lanjut oleh pakarnya.

Bedah siasat awal dirancang pada 8 pagi sehari selepas serbuan sekumpulan 50 orang pada 20 Januari lalu, hari mangsa dilaporkan mati setelah direman enam hari.

Hospital harus menjalankan bedah siasat itu di depan anggota polis, katanya.

Mayat Kugan yang berpakaian lengkap di dalam beg plastik mayat telah dibuka oleh kumpulan penyerbu itu, kata Dr Mohd Norzi lagi kepada New Straits Times .

Tompokan darah Kugan ditemui di lantai bilik mayat selepas serbuan itu, laporan akhbar itu dipetik, dan ia membayangkan kecederaan pada mayat mungkin berlaku selepas kematiannya.

Dr Mohd Norzi juga berkata kedua-dua bedah siasat itu sebagai "bukti yang lemah" kerana ia dibuat selepas mayat itu telah diganggu.

Mengulas bedah siasat kedua yang mendapati Kugan dibiarkan kebuluran sebelum kematiannya, Dr Mohd Norzi berkata sisa makanan seseorang tidak lagi berada di dalam perut empat jam selepas makanan terakhir.

Ahli parlimen PKR Kapar, S Manikavasagam bercadang mengadakan laporan polis terhadap bedah siasat pertama dalam masa terdekat.

ADS