Most Read
Most Commented
Read more like this

Beberapa minggu lalu, saya menyertai satu mesyuarat untuk berbincang mengenai kempen kebebasan akhbar kepada umum. Pertemuan itu, yang disertai muka-muka yang sama, mengingatkan saya kepada mesyuarat seumpama itu tahun lalu  juga diadakan pada bulan Mac.

Mesyuarat itu menakutkan saya, seolah-olah didatangi mimpi-mimpi ngeri setiap malam. Lalu saya diam dan lebih banyak mendengar serta mencatat. Apabila terpaksa bercakap, saya menyampaikan idea yang agak pesimis sahaja.

Seperti mesyuarat-mesyuarat yang lazimnya saya sertai di kalangan aktivis Islam, reformasi dan NGO, pertemuan baru-baru ini sarat dengan idea daripada mereka yang terpelajar dan biasa dengan permasalahan yang dibentangkan.

Saya sendiri sudah tidak mempunyai apa-apa keyakinan terhadap rentak pertemuan seumpama itu  bukan sahaja untuk membincangkan isu kebebasan akhbar tetapi banyak lagi isu masyarakat.

Dalam pertemuan itu, riben kuning sebagai simbol perjuangan kebebasan bersuara turut diedarkan. Ia samalah dengan edaran pelekat plastik Press for Freedom dan butang Hari Kebebasan Akhbar atau riben merah untuk kempen kesedaran Aids.

Barangkali yang berbeza sedikit dengan kempen riben merah yang mendapat publisiti lebih meluas kerana kerajaan berasa selesa dengannya, kempen-kempen lain oleh kumpulan kecil yang prihatin  walaupun niatnya untuk kesedaran umum  hanya berlegar di kalangan sasaran yang sama.

Yakni, semuanya sampai di tangan kumpulan sasaran yang telah celik politik: aktivis NGO, penyokong pembangkang, simpatisan mereka dan anak-beranak mereka. Ia jarang sekali keluar daripada lingkungan itu.

Sub-budaya tersendiri

Kita mungkin tidak sedar interaksi kita yang terbatas, kerjaya NGO yang sedemikian rupa, tekanan politik, faktor kewangan dan apa-apa sahaja masalah yang melingkarinya telah melahirkan sejenis elit politik tersendiri yang berkongsi sub-budaya tersendiri.

Mereka ini terpisah daripada massa yang ingin dijadikan sasaran kempen itu sendiri. Sama seperti kelompok Parti Rakyat Malaysia (PRM) atau Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Dua organisasi ini, seperti juga dengan kumpulan wartawan dan aktivis NGO itu, sama sahaja  mereka ini cerdik pandai yang terpisah daripada masyarakatnya sendiri.

Ia boleh diibaratkan perlumbaanGrand Prix yang disertai pelumba yang sama bersiri-siri di tempat yang berbeza. Perumpamaan ini sebetulnya diberitahu kepada saya oleh seorang tokoh intelektual yang aktif bersama pembangkang dan nampaknya beliau semacam muak bertemu muka-muka yang sama di sidang intelek di peringkat antarabangsa.

Mungkin juga memang telah ditakdirkan hanya elit politik tertentu yang mencampuri urusan politik  yang juga lumrah di negara-negara lain  dalam persaingannya dengan kerajaan.

Tentera separuh masa

Tetapi pertemuan yang saya sertai hari itu juga membangkitkan juga tenaga kerja. Ertinya, pertemuan itu seolah-olah diskusi sesama jeneral tentera tetapi tidak mempunyai barisan bala tentera untuk melancarkan perang. Apatah lagi jeneral tentera itu semuanya bersifat separuh masa. Sebelah kaki diletakkan untuk kerjaya profesional bagi mencari makan, sebelah lagi untuk perjuangan.

Tidak salah memberikan lebihan masa untuk perjuangan yang berkepentingan awam, tetapi idea kita selalunya juga bersifat separuh masa dan hobi-hobian. Komitmen juga bersifat separuh masa dan hobi. Samalah seperti seseorang membaca buku sebagai alat untuk mendorong tidur  itu bukanlah tabiat seorang pembaca serius atau pengkaji ilmu.

Saya sedar tidak semua kerja politik memerlukan penyokong yang besar atau boleh dikendalikan oleh organisasi yang berorientasikan massa.

Tetapi apabila sekumpulan elit politik terpisah daripada masyarakatnya, dan kemudian meneguhkan idea sesama sendiri, wujudlah kecenderungan yang kuat untuk memaksa idea perjuangan kumpulan khusus itu kepada masyarakat. Mereka tidak bertanya, atau menjalankan kajian terhadap kehendak-kehendak masyarakat. Mereka hanya berminat memuntahkan idea sendiri untuk ditelan oleh orang ramai.

Elit politik yang tidak seragam

Soal penyertaan orang ramai, atau hasrat yang tersimpan di benak umum, menjadi isu kecil atau tidak dipertimbangkan. Ini penyakit umum di kalangan aktivis  nafsu untuk berkhutbah dan berceramah, usaha-usaha memaksa idea dari atas ke bawah tetapi tanpa sistem semakan dari bawah.

Rintangan awam terhadap perubahan dan bagaimana kumpulan-kumpulan masyarakat boleh menyertai sesuatu isu secara demokratik (kerja-kerja pengembangan) tidak diperhalusi.

Tetapi kita lihat elit politik ini sangat sibuk dan sentiasa sarat dengan kegiatan politik  sehingga terpancar kepenatan dan kesengsaraan perjuangan yang dipikul itu. Namun, mereka hanya berpusing-pusing di tempat itu. Kerana terlalu suntuk, kita kehilangan gambaran besar.

Itupun jika kita menganggap elit politik itu satu kumpulan yang homogenik atau monolithic . Tetapi hakikatnya mereka tidaklah seragam. Mereka adalah kumpulan kecil atau himpunan individu-individu berfikir, dalam satu gabungan longgar. Di sini kita melihat kepentingan halus bertembung dan malah bercanggahan. Lebih merumitkan keadaan, rasa tidak selesa antara individu-individu itu sahaja sudah cukup merungkaikan kerjasama lebih erat dan sebati, walaupun demi kepentingan awam.

Misalnya, kita melihat rasa tidak selesa itu, kerenggangan, serta kekekokan itu wujud akibat pendekatan politik tertentu atau isu-isu kecil tertentu, misalnya isu promosi kondom atau pengharaman mak yong.

Kumpulan wanita liberal dan prokerajaan, kumpulan pembangkang tulen, kumpulan Islam, kumpulan seni, kumpulan berbahasa Inggeris-Melayu, atau kumpulan etnik-etnik: semuanya membentuk kumpulan masing-masing yang membahagikan peluang dan ruang untuk promosi individu tertentu dan kumpulan sendiri.

Peluang dan pendedahan berlegar sesama sendiri, sampaikan ke peringkat wakil kumpulan aktivis Malaysia (jika di pentas antarabangsa) tidak diwakili mereka yang arif tentang permasalahan penindasan dan pencabulan hak asasi di negara kita. Tidak salah jika seseorang aktivis daripada sesuatu kumpulan bercakap bagi pihak negara ini, tetapi ketidak-arifan itu memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

Ia terjadi angkara terbatasnya interaksi, kepentingan kelompok kecil dan pendekatan perjuangan. Jika wujud pun interaksi itu, ketara sekali ia secara rasmi dan menjadi kekok apabila tuntutan politik tempatan memerlukan gabungan besar. Kumpulan Islam dengan rangkaian luar negaranya, kumpulan kiri dengan rangkaiannya sendiri dan kumpulan wanita liberal dengan rangkaiannya sendiri  masing-masing bersandiwara menyampaikan permasalahan negara ini.

Menyelami jiwa nurani massa

Lakonan di pentas antarabangsa itu hanya satu contoh tetapi pusat permasalahan berpunca dari sini. Ini adalah satu lagi kegagalan yang perlu kita iktiraf dan atasi segera. Keengganan kita untuk berinteraksi mesra dan menyelami hati nurani kelompok-kelompok kecil yang beragam ini, serta mengurangkan minat untuk mengasingkan diri dan syok sendiri, melemahkan elit politik yang cuba memaksa idea perjuangan mereka di tengah-tengah masyarakat.

Idea yang saya ingin tegaskan di sini adalah, bukan sahaja kita yang digelar aktivis ini gagal menyelami jiwa nurani massa (yang dianggap kelompok sasaran), tetapi juga tidak berjaya merapatkan barisan sehingga membolehkan kita menjadi elit politik yang lebih padu dan saling memahami.

Tidak ramai aktivis yang berjaya hidup merentasi kepelbagaian ini. Jika seseorang itu bukan tokoh besar seperti Anwar Ibrahim, Dr Syed Husin Ali atau Hishamuddin Rais, maka sukarlah kita lihat seseorang aktivis itu berlegar-legar di luar kelompok kebiasaannya.

Interaksi mesra ini bukanlah seharusnya bersifat fizikal. Pokoknya di sini ialah kearifan seseorang aktivis menyelami lingkungan aktivis-aktivis dalam gabungan besar elit politik itu  misalnya isu kebebasan kehakiman atau kebebasan akhbar.

Interaksi ini juga penting apabila seseorang aktivis ingin menarik minat aktivis-aktivis lain untuk menyertai sesuatu inisiatif. Akhirnya, wujud juga gabungan besar  tetapi hakikatnya beberapa kelompok kecil daripada aliran yang sama dan sentiasa berinteraksi sebelum wujud gabungan.

Yang dinamakan gabungan itu, hanyalah kerana namanya berbeza-beza dan bilangan kumpulan yang kelihatan banyak tetapi kuantitinya kecil dan tidak mewakili massa dalam ertikata sebenarnya. Oleh kerana politik itu juga propaganda, maka kegiatan seumpama ini bolehlah memenuhi tujuan propaganda berkenaan tetapi tidakkah kita menipu diri sendiri?

Aktivis terlalu banyak menghabiskan masa melihat ke atas, bergelumang dengan isu-isu (khususnya yang ditembak oleh media massa kerajaan) dan menyampaikan reaksi-reaksi berdasarkan tempo itu tetapi jarang memberikan masa untuk diri sendiri, untuk memahami kelemahan dan kesilapan sendiri. Ada baiknya juga kita berehat sejenak dan merenung diri secara jujur. Tidak ada tentera yang berperang sepanjang masa.


FATHI ARIS OMAR ialah bekas wartawan Malaysiakini.com dan bekas penggerak Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS