Demokrasi sememangnya bukan sesuatu yang sempurna tetapi ia adalah satu-satunya sistem yang terbaik yang ada pada kita. Oleh kerana demokrasi adalah hasil cetusan pemikiran manusia, maka ia boleh diubah suai untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kehendak rakyat.
Menyedari manusia itu tidak sempurna dan sentiasa membuat kesilapan, maka perlu ada budi bicara (tanpa mengorbankan prinsip) untuk memperbaiki demokrasi. Tetapi yang jelas hanya rakyat yang boleh menentukan kejayaan atau kegagalan demokrasi, dan bukannya unsur-unsur lain.
Dengan ini, sekularisme (yang berasal dari perkataan Latin yang bermaksud duniawi), yang boleh ditakrifkan sebagai sistem yang berteraskan rakyat untuk menentukan keperluan rakyat, amat sesuai untuk diamalkan bersama dengan demokrasi.
Dari segi sejarah, proses sekularisasi moden bermula sejak ketuanan Gereja dipertikaikan oleh pemikir dan ahli falsafah Eropah pada zaman Kesedaran ( Enlightenment ) kira-kira 500 tahun lalu. Namun, sekularisme benar-benar bertapak di Barat lebih kurang 200 tahun lalu apabila sains dan teknologi membuktikan kebanyakan soal duniawi yang sebelum itu ditentukan oleh Gereja banyak yang karut dan tidak masuk akal.
Walaupun timbul gerakan anti-agama di Barat, terutama kira-kira 100 tahun lalu, agama-agama tetap berkembang kerana ia keperluan rohani manusia. Kebebasan agama dan budaya sememangnya dipertahankan oleh kebanyakan sistem demokrasi, terutama di Barat dan beberapa negara Timur.
Tafsiran sekularsime
Dalam mana-mana fahaman atau kepercayaan, sememangnya ada kumpulan pelampau dan sederhana. Sekularisme juga tidak terlepas daripada kewujudan golongan ini.
Bagi tafsiran yang radikal, sekularisme dianggap kepercayaan yang menolak sebarang bentuk kepercayaan dan agama kerana ia bertentangan dengan akal dan logik. Golongan ini mahu agama dipisahkan dari pentadbiran kerana menganggap pengurusan akan kucar-kacir jika dicampuradukkan dengan kepercayaan karut. Mereka biasanya menggunakan alasan Eropah pada Zaman Gelap yang hidup penuh ketakutan kerana kehidupan dikuasai pihak Gereja yang bersekongkol dengan raja-raja, yang sesetengahnya didakwa menjadi wakil Tuhan di dunia.
Bagaimanapun, golongan sekular sederhana cuma mahu sistem pemerintahan tidak mencampuradukkan agama dan kepercayaan peribadi dengan pentadbiran yang termasuk pengurusan, pendidikan, atau fungsi jabatan serta agensi kerajaan dan apa-apa sahaja di bawah pemerintahan kerana menganggapnya tidak boleh berlaku adil kepada agama lain.
Di kebanyakan negara yang mengamalkan sekularisme dan demokrasi, kebebasan beragama menjadi hak asasi rakyat walaupun agama tidak menguasai politik. Pada masa yang sama, kuasa politik tidak dibenarkan mengganggu hak agama di luar bidang pemerintahan dan pentadbiran.
Kehendak Melayu zaman merdeka
Di Eropah, sekularisme tidak lagi menjadi isu kerana perkara itu sudah diselesaikan lebih 100 tahun lalu. Bagi kebanyakan rakyat Eropah, agama adalah kepercayaan peribadi yang boleh diamalkan ibadat dan ritual secara beramai-ramai tanpa menganggu ketenteraman orang lain.
Yang menjadi isu ialah negara-negara di mana agama dianggap isu besar dan sensitif, terutama di negara majoriti penganut agama Islam, termasuk di Malaysia di mana penduduk Islam (orang Melayu semuanya dianggap Muslim) berjumlah lebih 55 peratus rakyat negara ini.
Walaupun sejak 100 tahun lalu umat Islam di Malaysia teguh dengan agama mereka, kehidupan seharian tidak dijadikan isu agama. Mereka tahu membezakan baik dan buruk mengikut ukuran pada zaman berkenaan.
Oleh itu, apabila penjajah British berpakat dengan Umno untuk memerdekakan tanah air pada tahun 1957, Islam dijadikan agama persekutuan tetapi Malaya tidak diisytiharkan sebagai kerajaan Islam. Ini bukan tuntutan British tetapi kehendak majoriti orang Melayu yang disuarakan melalui Umno yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada masa itu. Gagasan pembangkang masa itu yang dipimpin oleh Partai Rakyat Malaya (yang lebih berpengaruh daripada Parti Islam Se-Tanah Melayu PAS) juga tidak membantah.
Cuma segelintir golongan konservatif Melayu mahu Malaya menjadi kerajaan Islam. Namun begitu tafsiran kerajaan Islam oleh PAS pada masa itu sebenarnya hampir sama dengan apa yang telah dan sedang dilakukan oleh Umno pada masa ini, iaitu melalui proses Islamisasi.
Pengaruh Timur Tengah
Hanya selepas pelajar-pelajar Melayu yang belajar di negara-negara Arab dan Amerika Syarikat pulang ke tanah air pada awal tahun 1970-an, bermula era kebangkitan Islam. Kebanyakannya ingin kepada Islam kerana merasakan proses modenisasi sudah meninggalkan Islam jauh ke belakang, walaupun alasan mereka berteraskan kepada apa yang ditafsirkan sebagai masalah moral sahaja.
Pelajar-pelajar Melayu itu terpengaruh dengan gerakan penentangan umat Arab dan Parsi terhadap kerajaan mereka di Timur Tengah yang terperangkap di tengah-tengah medan Perang Dingin.
Kejayaan puak fundamentalis Iran mencuri revolusi 1979 yang dihasilkan oleh kaum pekerja negara itu yang tidak tahan lagi dengan penindasan Shah Iran, menyebabkan golongan minoriti agama menjadi pujaan di kalangan umat Islam yang selama ini melihat modenisasi sebagai syaitan yang menjadi punca kemiskinan dan kemunduran.
Golongan ini gagal melihat bahawa kemunduran bukan berpunca daripada amalan demokrasi dan sekularisme tetapi kerana pemerintahan diktator yang juga menjadi ejen kepada imperialisme Barat dan Timur (sewaktu era Perang Dingin) yang menyebabkan ekonomi tempang dan agihan kekayaan tidak adil.
Tampal Islam
Apabila Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, beliau cepat-cepat memujuk Anwar Ibrahim, pelajar Sastera Melayu yang gemar berbicara soal Islam, menyertai Umno. Maka bermulalah proses Islamisasi di Malaysia.
PAS pula selepas mendapat semangat revolusi Iran, mengusir pemimpinnya Datuk Asri Muda pada awal tahun 1980-an kerana dianggap sebagai tidak radikal. PAS mahu semangat revolusi Iran menjadi teras perjuangan menubuhkan kerajaan Islam di Malaysia.
Apabila PAS dan Umno sama-sama berjuang untuk menjadi juara Islam di Malaysia, apakah kesannya kepada 45 peratus rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kepercayaan lain?
Kini beribu-ribu masjid dan surau dibina, sekolah-sekolah agama mendapat bantuan kerajaan, program-program agama giat dilaksanakan, termasuk melaksanakan konsep tampal nama Islam kepada apa sahaja yang menjadi keperluan dan kegemaran rakyat seperti perbankan Islam, pajak gadai Islam, komputer Islam dan sebagainya.
Semua projek dan program ini dilaksanakan oleh kerajaan. Dari mana sumber kewangan diperolehi? Sumber pendapatan utama kerajaan adalah cukai. Ini bermakna 45 peratus rakyat bukan Islam dan sebahagian daripada rakyat Islam yang tidak setuju kepada program sedemikian memberi sumbangan besar kepada usaha menegakkan satu agama.
Kempen juara Islam
Tetapi PAS, kerana mahu menjadi juara Islam, tetap menghentam Umno dengan mengatakan walaupun berbilion ringgit dibelanjakan untuk proses Islamisasi, ia tidak cukup selagi Umno tidak mahu meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai asas Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakan hukum-hukum hudud, anti-murtad dan menyekat hak rakyat untuk mempertikaikan apa-apa yang berkaitan dengan agama.
Selain PAS dan Umno, Parti Keadilan Nasional yang berteraskan Melayu Islam juga tidak menolak politik agama dan kaum. Ketiga-tiganya mahu Malaysia menjadi lebih Islam daripada apa yang wujud sekarang ataupun sebelum ini.
Orang Melayu yang hampir 90 peratus menguasai jawatan dalam perkhidmatan awam kini mahu label dan slogan Islam menjadi teras kepada segala-gala aspek kehidupan.
Pelajar-pelajar Melayu di institut pengajian tinggi awam pula lebih gemar mengadakan demonstrasi menentang penyanyi dan kumpulan muzik seperti Sheila Majid, Sharifah Aini dan beberapa konsert muzik popular tanpa mempedulikan hak asasi rakyat dan Perlembagaan Persekutuan. Kini semua IPT awam tidak berani menganjurkan sebarang pertunjukan hiburan popular!
Pada masa ini pemerintah mendapati bahawa permainan politik agama yang dicetuskan lebih 20 tahun lalu kini mula menghantui kehidupan. Anak-anak muda Islam sudah mula mempertikaikan kepimpinan negara walaupun biasiswa dan pendidikan mereka dibiayai oleh 100 peratus rakyat Malaysia. Anak-anak muda Islam sudah tidak peduli lagi dengan rasional dan keadilan hidup. Mereka hanya mahu kulit Islam ditampal di semua gelanggang hidup.
Semangat asal Perlembagaan
Sekularisme di bawah sistem demokrasi yang diamalkan secara bersama, boleh menjadi satu jalan penyelesaian kepada masalah penindasan dan perpecahan rakyat di Malaysia. Malah, umat Islam Malaysia akan menyedari bahawa proses demokrasi dan kebebasan menguntungkan semua pihak rakyat dan pemerintah kerana ia dapat membuka minda dan menyuburkan budaya ilmu.
Tidak ada sesiapa yang perlu takut untuk menyuarakan idea dan falsafah (dan ini membuka kembali pintu ijtihad dalam semua bidang) yang dapat dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia yang berbagai kaum dan agama.
Demokrasi Malaysia yang berteraskan kepada keadilan dan kebebasan berfikir, bersuara dan mengkritik tanpa takut dan bimbang adalah pilihan yang terbaik untuk rakyat di negara ini.
Malah pemerintah juga akan beruntung kerana sesiapa sahaja boleh mempertikaikan mana-mana kumpulan atau individu yang cuba menghancurkan keamanan dengan berselindung di sebalik topeng agama.
Tidak perlu sebarang rangka program besar-besaran untuk melaksanakan demokrasi yang berteraskan kebebasan. Cuma kembali kepada semangat asal Perlembagaan Persekutuan, dan buat sedikit pindaan terhadap peruntukan-peruntukan yang bertentangan dengan hasrat demokrasi, kebebasan dan hak asasi.
WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).
