Most Read
Most Commented
Read more like this

Dalam soal keadilan, tidak harus ditumpukan kepada isu-isu terpilih sahaja. Memang penahanan tanpa bicara itu zalim, memang korupsi dan penyelewangan itu hina dan memang sekatan hak kebebasan bersuara itu kejam.

Tetapi apabila sesuatu itu sudah diinstitusikan, terutama dalam isu-isu kaum dan agama, suara-suara "keadilan" agak liat untuk melaungkannya. Apalagi dalam soal sistem kuota Bumiputera yang hanya timbul apabila ia diperlukan oleh pemimpin politik.

Tahun lalu begitu heboh soal hak keistimewaan Melayu/Bumiputera. Kemudian ia senyap. Tetapi ia tetap akan dibangkitkan lagi apabila orang politik sudah tiada isu lain yang mahu dipermainkan.

Menyingkap kembali isu panas tahun lalu, akhbar Mingguan Malaysia yang jelas pendiriannya pro-Melayu pernah bersuara lantang mengenai sistem kuota Bumiputera bukan mendesak diperketatkan lagi atau ditambah peratusan kuota tetapi mengharapkan ketidakadilan antara kaum dapat dihapuskan sama sekali pada masa depan.

Selepas Awang Sulung (nama pena penulis pojok Mingguan Malaysia yang mewakili suara hati pimpinan tertinggi akhbar itu) menulis pada 13 Mei 2001, tidak kedengaran sama sekali reaksi daripada mana-mana suara pembangkang atau NGO yang bersekongkol dengan mereka.

Hampir setahun sudah berlalu. Antara yang dicatatkan oleh Awang Sulung: "Seperti yang dijangka, kedengaranlah gesaan supaya sistem kuota itu tidak dihapuskan demi kepentingan Melayu. Malah, ada yang mahu ia ditambah lagi. Awang ingin bertanya, kepentingan apa? Sampai bila anak Melayu hendak diberi layanan istimewa dan dimanjakan? Dirosakkan sebenarnya!

"Walaupun Awang juga percaya Dr Mahathir (Mohamad) tidak akan menghapuskan sistem kuota itu, tapi jauh di sudut hati, Awang mahu beliau melakukannya. Jika tidak sekarang, pada suatu masa nanti."

Jaringan keselamatan

Dari sudut hati orang Melayu sendiri, sistem kuota yang wujud selama ini jarang menguntungkan golongan miskin dan menengah rendah yang terbanyak. Di segi perniagaan, hanya segelintir yang kaya terus-menerus kaya, dan jika gagal dalam perniagaan, boleh diselamatkan pula.

Di segi pendidikan, anak-anak Melayu dibebankan dengan sistem kuota kerana sepandai mana pun mereka, rakyat bukan Melayu akan berterusan menuduh mereka memperolehi segala-galanya melalui sistem yang tidak adil itu.

Malah, "jaringan keselamatan" itu hanya melemahkan lagi orang Melayu yang percaya bahawa mereka sentiasa dilindungi setiap detik, pada hal hanya segolongan kecil korporat (tanpa mengira kaum) yang memperolehi keuntungan maksimum daripada sistem sedemikian.

Sedangkan peruntukan kewangan untuk melahirkan usahawan Bumiputera, memberi pendidikan tinggi kepada pelajar Melayu dan jaminan pekerjaan kepada orang Melayu di sektor awam dan agensi yang sudah diswastakan, datangnya daripada kutipan cukai secara samarata. Setiap rakyat Malaysia yang bekerja atau berniaga wajib membayar cukai. Wang cukai inilah digunakan untuk melaksanakan dasar kuota Bumiputera.

Tulisan Awang Sulung itu sepatutnya mencetuskan debat mengenai isu kuota Bumiputera tetapi sayangnya ia dimatikan begitu sahaja. Seolah-olahnya suara-suara matang Malaysia tidak tergerak hati untuk membicarakan sesuatu tanpa sentimen perkauman atau keagamaan.

Namun, belum terlambat untuk memujuk suara-suara ini. Isu kuota Bumiputera akan tetap timbul lagi. Selagi ada manusia bergelar ahli politik, isu ini pasti dibangkitkan kembali.

Cacat atau tempang

Apabila tiba masanya, semoga semua parti politik, sama ada gabungan Barisan Nasional atau Barisan Alternatif (BA) atau yang tidak bergabung dalam mana-mana barisan dapat membincangkannya secara rasional dalam suasana debat yang sihat, khususnya melalui media massa (kerana buat masa ini agak sukar mendapatkan permit mesyuarat terbuka).

Bagi parti-parti gabungan BA yang selama ini berpegang kepada "Agenda Perubahan Malaysia", kepimpinan mereka sepatutnya bersuara untuk menyokong usaha mengkaji semula sistem kuota yang selama ini menyebabkan kebanyakan orang Melayu ditimpa penyakit kurang keyakinan diri, dan menimbulkan ketegangan apabila kaum lain iri hati dengan sistem itu.

Apabila Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan lebih 30 tahun lalu, ia diterima ramai kerana jurang perbezaan ekonomi dan sosial rakyat begitu luas sejak sebelum Merdeka. Namun, selepas 1990, ia sudah sepatutnya mencapai matlamat, dan Malaysia harus membuka langkah baru menghadapi era globalisasi.

Tetapi atas nama baru, sistem kuota itu diteruskan lagi. Sehingga tahun 2000, pencapaian ekuiti Bumiputera tetap 19 peratus (sejak 1990) walaupun matlamat DEB ialah 30 peratus. Memang banyak jawapan akan diperolehi jika ditanyakan mengapa terjadi begitu.

Persoalannya ialah perlukah orang Melayu terus diberi tongkat ini untuk 30 tahun seterusnya? Apakah orang Melayu merasakan diri mereka cacat atau tempang sehingga begitu takut untuk menghadapi dunia nyata?

Di segi retorika politik, memang sedap didengar jika seseorang dari satu kaum diberi jaminan keselamatan sosial untuk kaum itu sahaja. Adil? Sudah tentu tidak tetapi semakin ramai orang Melayu menganggapnya sebagai hak fitrah (birth right).

Sedangkan mana-mana pakar ekonomi boleh menjelaskan bahawa jaminan keselamatan sosial sedemikian, dalam bentuk affirmative action hanya memburukkan lagi keadaan sesuatu kaum. Ia melahirkan budaya menerima subsidi dan mematikan semangat untuk berusaha.

Penerima bantuan

Sistem tindakan affirmative ini banyak membantu menghapuskan penindasan kaum kulit hitam di Amerika Syarikat pada tahun-tahun 1960-an. Tetapi apabila dipaksakan sebagai undang-undang negara sehingga hari ini, ia turut menyebabkan kaum kulit terperangkap dengan jebak kebajikan sehingga enggan bekerja dan melahirkan budaya samseng yang penuh dengan masalah dadah, jenayah dan gejala sosial lain.

Malah, apabila kalangan kulit hitam berjaya dalam hidup dan meminta yang lainnya berusaha keras, mereka yang sudah menikmati hasil kejayaan ini dituduh pula sebagai kaki ampu kulit putih.

Aktivis radikal kulit hitam seolah-olah merestui bahawa kaum mereka ditakdirkan cacat dan mundur selama-lamanya, dan oleh itu, harus diberi bantuan kebajikan buat selama-lamanya.

Di Eropah pula, warga muda Eropah semakin malas kerana sudah mewah dengan elaun kebajikan negara. Kesemua wang saku itu ditanggung sepenuhnya oleh warganegara masing-masing yang setia membayar cukai sama ada cukai pendapatan yang tinggi atau cukai jualan barangan yang sentiasa melambung.

Dan hampir setiap penerima bantuan itu sihat tubuh badan mereka, dan negara terpaksa membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi semata-mata untuk membela golongan yang malas ini. Jika pemimpin politik tidak berbuat demikian, mereka dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan!

Tidak ramai orang Melayu sanggup menerima hakikat bahawa sistem kuota itu yang menyebabkan mereka gagal bersaing dalam pasaran terbuka. Tetapi, Mahathir sendiri terpaksa mengakuinya awal bulan ini apabila beliau mendedahkan bahawa kebanyakan usahawan Melayu yang berjaya sebenarnya memperolehi kontrak dan perniagaan dari kerajaan.

Analogi yang mudah bagi menggambarkan keadaan ini adalah seorang bapa yang memberi wang kepada anak untuk berniaga, dan anak itu bukan sahaja meminta bapa menyediakan kedai dan pekerja tetapi turut mendesak bapa mencarikan pelanggan. Jika tiada pelanggan dan perniagaan rugi, bapa terpaksa membayar bagi kerugian itu.

Ketegangan kaum

Jika ia soal di antara bapa dan anak, itu perkara peribadi. Masalahnya ialah bapa yang dimaksudkan itu ialah kerajaan, dan sumber utama kewangan kerajaan ialah melalui sistem fiskal di mana cukainya datang dari rakyat yang berbilang kaum dan agama.

Sistem kuota ini juga menimbulkan ketegangan kaum tetapi yang sering menjadi mangsa ialah golongan bawahan. Ia bukan sekadar soal kuota perniagaan tetapi juga tawaran tempat di institusi pengajian tinggi dan jawatan kosong di sektor awam dan agensi yang diswastakan.

Tulisan ini tidak bercadang untuk menghapuskan sama sekali sistem kuota dengan serta-merta sebagaimana yang pernah dicadangkan oleh beberapa pertubuhan bukan Melayu (terutama apabila cadangan itu juga berbau perkauman).

Apa yang diharapkan ialah membicarakan isu ini secara jujur dan terbuka, dan perlu ada kajian hasil dan kesan sistem itu. Selepas itu, baru boleh dibahaskan sama ada perlu dihapuskan dalam tempoh tertentu atau dilaksanakan secara berperingkat.

Yang penting tidak boleh lagi wujud sistem yang memberi subsidi kepada manusia yang waras, sihat dan mampu berfikir serta bekerja. Apatah lagi jika dikhususkan untuk sesuatu kaum atau agama.

Banyak kalangan orang Melayu yang berkongsi suara hati Awang Sulung. Namun, ia masih dalam bentuk impian. Dalam berbicara soal keadilan, seharusnya tidak perlu ada malu untuk memperbetulkan sebarang bentuk diskriminasi (walaupun pada mulanya bersifat positif).

Jika tidak, ia hanya sekadar meneruskan budaya negatif masyarakat Malaysia apabila melakukan sesuatu, sentiasa dalam bentuk yang terpilih. Dan ini sering menjadi amalan, sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang, dan malah sesetengah NGO juga terbabit dalam sindrom ini.


WAN HAMIDI HAMID ialah seorang wartawan bebas yang mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan menjangkau 15 tahun. Beliau pernah berkhidmat di Berita Harian, The Star, The Sun dan Straits Times (Singapura).

ADS