Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
Columns
Kewartawanan Malaysia terancam
Published:  May 7, 2002 5:44 AM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM

Kami mewakili para wartawan dalam usaha untuk mempertingkatkan taraf profesional dan etika serta melobi untuk menanggalkan segala bentuk kawalan ke atas operasi media di Malaysia.

Pada bulan Mei 1999 dan April 2000, seramai 951 orang wartawan telah mengiktiraf kempen tandatangan untuk mempetisyen Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dimansuhkan. Menteri telah bersetuju untuk mempertimbangkan kes kami.

Dalam memorandum tersebut, para wartawan mencadangkan satu mekanisme alternatif untuk kawalan dalam yang bebas bagi media. Baru-baru ini, Institut Kewartawanan Malaysia (MPI) menganjurkan satu draf rang undang-undang untuk menubuhkan Majlis Media di bawah kuasa Parlimen. Tiada rundingan luas bersama wartawan diadakan dan pihak MPI enggan membincangkan kandungan draf itu yang telah pun dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri.

Kami sebulat-bulatnya membantah kawalan perundangan ke atas media dalam persekitaran di mana institusi demokrasi yang lain tidak dapat memainkan peranan mereka sepenunhnya untuk mengawasi penyalahgunaan kuasa. Sebaliknya, kami mengulangi pendirian kami untuk menyokong satu mekanisme yang bebas dan independen dan dikepalai oleh individu yang berintegriti dan mampu dihormati oleh orang ramai, kerajaan dan media sendiri.

Sehingga hari ini, pihak kementerian belum mengambil apa-apa langkah untuk memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak. Malah, kenyataan yang dikeluarkan sepanjang tahun lepas memberi gambaran bahawa akta ini mungkin diperketatkan lagi dari segi syarat pelesenan. Amat membimbangkan kerana perkembangan ini akan menjejaskan lagi keupayaan media untuk menyampaikan maklumat serta fungsinya sebagai watchdog dalam masyarakat.

Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, kami mendesak agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dapat memainkan peranannya dan memastikan satu persekitaran yang sesuai supaya kebebasan media dapat berfungsi. Ini selaras dengan kandungan Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia berkenaan dengan kebebasan bersuara dan hak untuk mendapatkan maklumat.

Had-had ke atas Media

  1. Operasi media amat terjejas dengan adanya undang-undang yang mengongkong, syarat-syarat pelesenan serta kuasa pentadbiran yang tidak membenarkan masyarakat meneliti keputusan politik dan korporat yang menjejaskan kepentingan orang ramai.

Antara undang-undang yang disebutkan ialah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Hasutan 1949 (dipinda 1969) dan Peraturan Am dan Garispanduan Pentadbiran untuk kakitangan awam.

Amalan informal mendorong salahguna kuasa sah. Ahli politik dan pembantu mereka serta pegawai kerajaan tertentu menggunakan alat ini tanpa budi bicara dengan mengarahkan pengurus berita dan menetapkan apa yang boleh disiarkan. Tindakan ini seumpama intimidasi khususnya bila arahan ini disertai dengan ancaman yang bersifat terbuka atau tersirat berkenaan lesen penerbitan dan permit percetakan.

  • Pemilikan media cetak dikawal oleh lesen tahunan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang memperuntukkan bahawa sesuatu lesen itu boleh ditarik balik atau digantung tanpa sebarang rujukan kepada pihak perundangan.
  • Undang-undang sebegini sudah melampaui zamannya, apatah lagi bila negara-negara yang kurang maju daripada Malaysia telah memperkenalkan satu rangka untuk membolehkan media bebas beroperasi supaya rakyat akan terdedah kepada pelbagai pandangan. Dalam aspek ini, Malaysia tidak setanding dengan jiran-jirannya Filipina, Indonesia dan Thailand.

  • Sejak Mei 2001, penyatuan atau pemerolehan korporat telah menambahkan kawalan ke atas akhbar harian seperti Nanyang Siang Pau dan The Sun , di mana kedua-duanya cuba mengambil pendirian yang lebih independen. Punca masalah ini boleh dirujuk kembali kepada pemberian lesen penerbitan secara selektif kepada mereka yang menyokong elit korporat dan politik di Malaysia.
  • Sejak Julai 2000, beberapa kes saman malu terhadap media dilaporkan menuntut pampasan yang begitu tinggi. Perkembangan ini mendorong Ketua Hakim Malaya Datuk Mohamed Dzaiddin Abdullah untuk membuat kenyataan bahawa tuntutan sebegini bakal menjejaskan kebebasan media. Kami mendesak agar Suruhanjaya akan memantau segala judgement atau pampasan yang mungkin menjejaskan kebebasan media dan seterusnya membuat kenyataan umum sekiranya terdapat kes-kes sebegini.
  • Berikutan cabaran-cabaran ini, para wartawan terpaksa berjaga-jaga dan ramai yang mengamalkan penapisan diri supaya tidak menyinggung pihak kerajaan, pencetak atau pengarang yang kurang bersimpati. Kalau tidak, mereka mungkin diketepikan, digantung kerja atau terus dipecat kerana dianggap melampaui batas.
  • Tidak syak lagi mengapa bilangan pengarang dan wartawan yang berani semakin berkurangan. Ramai yang meninggalkan bidang ini untuk menjaga prinsip mereka atau menyerahkan diri sahaja kepada budaya kerja yang mengongkong.

    Sudah tentu ini menjejaskan kualiti dan kepentingan maklumat yang disajikan ke dalam domain awam. Akibatnya, orang ramai sudah hilang kepercayaan kepada media dan berpandangan sinis bila disuruh mengambil bahagian dalam proses eksekutif dan perundangan.

    Hak mendapatkan maklumat

    Dalam demokrasi yang berfungsi, rakyat mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan.

    Rakyat ada hak untuk mendaptkan maklumat yang tepat dan adil kecuali dalam hal-hal yang dianggap membahayakan keselamatan negara, ketenteraman awam atau dalam persoalan moral masyarakat (konsep ini perlu diperjelaskan dalam undang-undang).

    Hak ini amat perlu supaya mereka boleh membuat keputusan serta memberikan pandangan bernas untuk hal-hal yang melibatkan kepentingan umum.

    Namun, pihak-pihak tertentu yang tidak boleh berhadapan dengan kritikan sering menyekat maklumat yang sepatutnya disampaikan, malah ramai antara mereka yang tidak dipersoalkan atau dipertanggungjawabkan untuk tindakan sebegini.

    Kebebasan bersuara

    Kebebasan bersuara ialah satu hak asasi manusia bersyarat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

    Namun, ruang umum untuk hak ini semakin kecil akibat langkah-langkah yang mengongkong media, dan ini membuktikan bahawa pihak berkuasa tidak boleh menerima pandangan yang berlainan.

  • Pada tahun 1987, lesen tiga suratkhabar ditarik balik atas alasan mereka membuat liputan yang kritikal.
  • Pada tahun 2000, majalah Detik , Al-Wasilah dan Eksklusif diarah tutup kerana kandungan mereka berbau politik.
  • Dalam bulan Mei 2001, pemilikan Nanyang Press Holdings bertukar tangan dalam satu kontroversi kerana tentangan hebat kakitangan editorial dan masyarakat Cina yang bimbang akan hilangnya kebebasan akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press . Pemindahan pemilikan ini menambahkan penguasaan terus parti MCA yang sudah pun memiliki majoriti saham dalam suratkhabar The Star .
  • Sementara itu, wakil Umno menjadi ahli lembaga pengarah akhbar Utusan Malaysia dan penerbit suratkhabar lain mempunyai kaitan rapat dengan parti pemerintah.

    Sebarang tanda penglibatan parti politik dalam keputusan editorial akan menimbulkan kesangsian bahawa laporan yang diterbitkan adalah bias dan terpesong. Di Malaysia, garisan yang memisahkan politik dan media tidak jelas lagi terutamanya ketika membuat liputan pemilihan parti dan pilihanraya umum.

  • Suratkhabar yang lebih bebas antara yang sedia ada, seperti The Sun telah dineutralisasikan dalam bulan Dis 2001. Pemiliknya cuba mendapat keyakinan Perdana Menteri dan timbalannya dengan memohon maaf kepada mereka dalam laporan muka depan berikutan berita mengenai plot pembunuhan kedua-dua pemimpin itu yang gagal. Sehari setelah laporan plot itu disiarkan, lembaga pengarah memberi amaran kepada kakitangan kanan dalam satu perjumpaan ringkas bahawa lesen dan permit suratkhabar itu mungkin dibatalkan, untuk seterusnya mengawal liputan, kandungan dan dasar berita.
  • Ini membuktikan bahawa fasal mengenai pelesenan dalam Akta Percetakan dan Mesin Cetak boleh disalahgunakan. Ia menjadi asas dan contoh dalam aduan oleh 12 orang bekas kakitangan editorial dan sokongan The Sun kepada Suruhanjaya pada Mac 4, 2002.

    Perlindungan untuk wartawan

    Sekian hari, para wartawan terpaksa bekerja dalam persekitaran yang semakin rumit kerana isu-isu kepentingan awam tidak lagi dimuatkan dalam ruang suratkhabar khususnya apabila ia cenderung menyinggung mereka yang mempunyai pengaruh politik dan ekonomi. Dalam beberapa kejadian terbaru, para wartawan telah dihukum atau diintimidasi kerana melaporkan isu-isu penting untuk orang ramai. Mereka tidak mempunyai saluran untuk perlindungan daripada tindakan-tindakan tidak adil dan ` arbitrary .

  • Dalam bulan Dis 2001, dua orang wartawan The Sun digantung kerja oleh lembaga pengarah syarikat kerana melaporkan plot membunuh Perdana Menteri dan timbalannya, walaupun para pengarang membantah tindakan tersebut. Beberapa orang wartawan dan pengarang dipanggil berulang kali ke ibu pejabat polis untuk menjawab soalan tentang operasi berita dan sumber laporan tersebut. Perdana Menteri mendakwa bahawa laporan itu akan menjejaskan imej negara tetapi dakwaan itu tidak terbukti.
  • Dalam bulan Jan 2002, Malaysiakini melaporkan bahawa dua orang wartawan akhbar harian Inggeris dikutuk kerana cara laporan mereka yang agresif dan berani semasa pilihanraya kecil Indera Kayangan. Salah seorang daripada dua wartawan itu dihantar balik ke ibu pejabat suratkhabar itu kerana liputannya dikatakan menyinggung Menteri Besar Perli Shahidan Kassim.
  • Pada bulan Mac 2002, gambar muka depan akhbar New Straits Times yang menunjukkan kualiti air paip yang begitu keruh menjadi kutukan Perdana Menteri yang berkata laporan sebegini boleh mencemarkan nama Malaysia. Dia tidak pula mengarahkan satu siasatan ke atas masalah pembekalan air. Pengarang akhbar semestinyna akan mengelakkan laporan sebegini jika mereka tidak mahu menyinggung pihak berkuasa.
  • Dalam bulan Mac lepas juga, wartawan Malaysiakini dan RadiqRadio dilarang masuk ke galeri dan bilik pemberita di Parlimen dan secara langsung menghalang liputan Dewan Rakyat. Alasan yang diberikan ialah wartawan ini tidak mempunyai akreditasi oleh Kementerian Penerangan. Tindakan Parlimen ini bercanggah dengan amalan demokrasi kerana media adalah sebahagian daripada institusi demokrasi.
  • Kementerian Penerangan masih tidak memberikan akreditasi kepada wartawan yang bekerja dengan media Internet kerana mereka bukan sebahagian daripada media tradisional. Pendirian ini amat kolot dan langsung tidak memahami fungsi wartawan. Ia juga bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang menjamin bahawa maklumat menerusi Internet tidak ditapis. Perlu disedari bahawa maklumat hanya boleh disampaikan apabila wartawan berkenaan tidak menghadapi batasan rasmi dalam menjalankan tugas mereka.
  • Satu bengkel yang diadakan antara wakil media dan kumpulan sivil pada Mac 9, 2002 mencapai satu kata sepakat bahawa wartawan patut dilindungi sewaktu bertugas kerana mereka merupakan `suara rakyat. Perlindungan ini wajar di mana laporan-laporan dibuat secara adil dan beretika.

    Mereka mencadangkan supaya kerajaan:

    1. Memansuhkan semua undang-undang yang menghadkan operasi media dan mendedahkan wartawan kepada sebarang bentuk kawalan;

  • Mengadakan satu kajian perundangan semula yang bebas mengenai keputusan pentadbiran berkenaan media; dan
  • Melebarkan ruang umum untuk bersuara termasuklah hak menyuarakan pandangan yang bercanggah.
  • Peserta termasuklah wakil dari media bahasa Inggeris, Melayu dan Cina dan juga wartawan Internet; kesatuan sekerja; kumpulan pencinta alam, hak asasi manusia dan reformis sosial; ahli parti politik; persatuan kemasyarakatan dan ahli akademik.

    Mereka turut mencadangkan bahawa satu pendekatan baru dibuat kepada Suruhanjaya ini untuk membolehkan pembaharuan. Sejak Suruhanjaya ini ditubuhkan pada April 2000, beberapa kumpulan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan ruang kebebasan media yang amat terhad. Setelah dua tahun, pihak Suruhanjaya masih belum memberi maklumbalas tentang isu ini.

    Dengan itu, kami mendesak agar pihak Suruhanjaya menyatakan apa yang sedang dilakukan untuk memastikan kebebasan bersuara dan hak untuk mendapatkan maklumat terjamin. Ia juga perlu menyatakan secara terbuka pendiriannya tentang media bebas di Malaysia.

    Ke arah demokrasi yang berasaskan maklumat

    Dalam usaha membina satu demokrasi yang berasaskan maklumat, kami menyeru agar jawatankuasa rombakan perundangan di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk:

    1. Meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hak bersuara dipraktikkan tanpa syarat.

  • Meluluskan undang-undang kebebasan mendapatkan maklumat.
  • Menolak undang-undang yang boleh diperalatkan untuk menekan kebebasan bersuara dan kebebasan media.
  • Memansuhkan undang-undang jenayah saman malu supaya pihak media dan orang ramai tidak tertakluk kepada kawalan keras yang akan menghadkan kebebasan bersuara.
  • Menolak atau memansuhkan undang-undang yang memberi kuasa kepada pihak kerajaan untuk menghukum orang ramai, pihak pembangkang dan media atas dorongan politik.
  • Prinsip-prinsip ini disokong oleh Pertubuhan Parlimen Komanwel (CPA) dalam persidangan kedua Parlimen dan Media di Cape Town, Afrika Selatan pada April 14-18, 2002. Sebagai ahli CPA, menjadi obligasi moral Parlimen Malaysia untuk mempertahankan nilai dan ` benchmark  yang ditetapkan bersama di peringkat Komanwel serta cadangan-cadangan dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang ia sendiri tubuhkan.

    Dalam hal ini juga, kami merujuk pihak Suruhanjaya kepada komitmen kerajaan Malaysia untuk mempertahankan kebebasan bersuara sebagaimana terkandung dalam Deklarasi Coolum yang dikeluarkan oleh Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada Mac 2002 di Brisbane, Australia.

    Deklarasi ini didahului dengan kenyataan (terjemahan dan penekanan kami):&kami;, Ketua-ketua Kerajaan Negara Komanwel, memperbaharui komitmen kami kepada nilai dan prinsip-prinsip yang dikongsi bersama. Kami bersatu dalam komitmen kepada demokrasi, rule of law , good governance , kebebasan bersuara dan perlindungan hak asasi manusia.

    Dengan ini, kami mendesak agar Suhakam:

    1. Mendedahkan butiran tentang pencapaian jawatankuasa rombakan perundangan di bawahnya sehingga hari ini;

  • Mempercepatkan cadangan untuk memansuhkan undang-undang, peraturan, dasar dan keputusan rasmi yang bercanggah dengan kebebasan bersuara dan hak untuk mendapatkan maklumat; dan
  • Menasihati agar kerajaan merobohkan apa-apa batasan yang tidak membenarkan rakyat dan media untuk menikmati hak-hak asasi manusia yang disebutkan.

  • Memorandum di atas telah diserahkan kepada Suhakam sempena hari Kebebasan Media pada 3 Mei lalu, oleh Inisiatif Wartawan, sekumpulan wartawan dari media baru dan tradisional. Memorandum ini turut disokong oleh Writers Action for Media Independence (Wami), Committee Against Takeover of Nanyang Press by MCA (CAT) and Centre for Independent Journalism (CIJ).

    ADS