Berbekalkan beberapa bungkusan biskut kering dan air mineral, empat anak gadis memulakan langkah pertama mereka di dalam dunia politik dengan meredah kampung-kampung sekitar Anak Bukit, kira-kira 20 kilometer dari Alor Star.
Rohaiza Abdul Ghani, 21 tahun, merupakan antara ribuan anak gadis yang kini menyertai pergerakan Puteri Umno sayap termuda parti itu untuk mempelajari selok-belok dunia politik.
"Pagi ni, kita nak pi (pergi) ke Kampung Alor Melintang," kata gadis bersuara lantang itu, sambil menghidupkan enjin motosikalnya di depan Bilikan Gerakan Puteri Umno Taman Berlian, sehari selepas penamaan calon untuk pilihanraya kecil Anak Bukit, Rabu lalu.
Setelah memastikan setiap bungkusan biskut kering seberat 1 kilogram dan air mineral bersaiz kecil, tersusun rapi di dalam raga motosikalnya, Rohaiza berlepas bersama rakan seperjuangan, Zaizura yang membonceng motosikalnya.
Dua lagi rakan sebayanya, Tina dan Zarina, yang turut sama membawa buahtangan itu, juga sudah bersedia untuk menjelajah kampung-kampung yang di kelilingi sawah padi.
Setelah beberapa kali tersesat jalan, empat anak gadis tersebut akhirnya sampai juga ke Kampung Alor Melintang dan terus ke menuju ke sebuah rumah yang didiami seorang lelaki lewat 60-an.
Buah tangan
Kedatangan empat puteri tersebut disambut baik oleh "bakal pengundi" yang sedang berbaring di atas kerusi panjang sambil menonton siaran televisyen, dengan ditemani anaknya berusia belasan tahun.
"Kami datang ni nak tanya pak cik, sama ada pak cik sudi atau tidak untuk mengambil kami sebagai anak angkat," kata Rohaiza, memulakan bicara.
Selepas 10 minit bertandang, pak cik itu bersetuju untuk menerima dua orang "anak angkat" tinggal bersama-sama keluarganya sehingga hari pembuangan undi pilihanraya kecil Khamis depan.
Setelah menghulurkan buah tangan sebungkusan biskut kering dan dua botol air mineral empat anak gadis itu bersalaman dengan pak cik itu, lalu meneruskan misi mereka ke sebuah lagi rumah pengundi di situ.
Maksud mereka ke situ tidak menghadapi sebarang masalah kerana penghuni rumah berkenaan yang dikenali sebagai mak cik Aishah, adalah seorang penyokong kuat Umno di kampung tersebut.
Di tengah-tengah bahang mentari, empat puteri Umno itu menyusuri jalan yang becak di celah-celah sawah padi yang menghijau, saujana mata memandang.
Warga tua
Sejurus kemudian, seorang wanita yang agak berumur sedang duduk berehat di pangkin di luar rumahnya, menjawab salam empat anak gadis itu. Beberapa ketika kemudian, suaminya turut serta dalam perbincangan itu.
Setelah menyerahkan buah tangan kepada dua warga tua di Anak Bukit itu, Rohaiza memberitahu hasratnya kedatangan mereka.
"Entahlah, mak cik tak boleh nak cakap sama ada boleh terima atau pun tidak, nak kena tanya anak dulu," jawab tuan rumah yang masih ragu-ragu dengan kehadiran empat anak gadis itu.
"Mak cik dan pak cik janganlah bimbang... kami mai (datang) sini nak jadi macam anak mak cik dan pak cik sendiri. Kalau apa yang kami buat tak betul, mak cik dan pak cik boleh marah kat kami," Tina cuba meyakin mereka.
"Kami bukan nak best-best, kalau tidoq (tidur) atas lantai pun tak apa. Apa yang pak cik dan mak cik makan, itulah kami makan. Boleh juga kami tolong mak cik mengemas rumah atau buat apa-apa kerja sementara kami ada kat sini," katanya lagi.
Namun begitu, pasangan suami isteri itu tetap bertegas yang keputusan tidak dapat dibuat sehingga anak mereka balik.
Meraih undi
"Tak apalah, mak cik bagi nombor telefon, nanti kami telefon tanya mak cik... kalau mak cik setuju, kami akan hantarkan anak angkat kepada pak cik dan makcik," kata Rohaiza, yang kelihatan agak berbakat untuk berpolitik.
Sejak dua piliharaya kecil tahun di Indera Kayangan, Perlis, dan Ketari, Pahang modus operandi yang sama digunakan Umno untuk meraih undi, terutamanya di kalangan pengundi "atas pagar".
Ketua Pergerakan Puteri Umno, Azalina Othman Said, 38, percaya usaha mereka telah menjadi salah satu faktor pemangkin dalam kejayaan di dua pilihanraya kecil lalu.
Katanya, usaha Puteri Umno ini bukan sahaja dicemburui PAS, tetapi turut "ditakuti" parti pembangkang utama lain di negara ini.
Jadi, tidak hairanlah, katanya, PAS sentiasa melemparkan tohmahan kepada beliau dan ahli-ahli Puteri Umno yang lain.
Tatkala ceramah PAS di Anak Bukit menghentam Azalina yang dikatakan tidak bermoral kerana didakwa sebagai lesbian, Puteri Umno yang cuba mendekati para pengundi di kampung-kampung di situ tidak kurang menerima cabaran getir.
Selak kain
Dua malam lalu, Puteri Umno dikatakan lari lintang-pukang setelah seorang lelaki yang didakwa ahli PAS menyelak kain sambil menunjukkan kemaluannya kerana marahkan kehadiran ahli Puteri Umno.
Pemimpin Muslimat PAS, terutamanya Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Lo' Lo' Ghazali, juga kritikal dengan Puteri Umno, dan mendakwa mereka bersikap "kurang ajar", terutama sewaktu pilihanraya kecil Indera Kayangan, awal tahun ini.
Beliau mendakwa bahawa kehadiran Puteri Umno bukanlah suatu usaha yang jujur untuk memahami permasalahan penduduk luar bandar, tetapi mahu mempengaruhi tuan rumah terbabit supaya mengundi Barisan Nasional dalam pilihanraya.
Malahan, kata Dr Lo' Lo', anak angkat Puteri Umno telah mengawal dan menghalang sebarang usaha parti pembangkang untuk mendekati keluarga angkat mereka.
Sementara itu, Rohaiza memberitahu, setiap keluarga angkat diberikan saguhati berjumlah RM200, khasnya untuk perbelanjaan yang diperlukan sewaktu"anak angkat" berada di rumah mereka sehingga hari pengundian.
"Setakat ini, di Anak Bukit, kami sudah mendapat kira-kira 200 keluarga yang sudi mengambil kami," kata Rohaiza, lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang membantu ibunya mengusahakan kedai makan.
Kain rentang
Sementara itu, PAS yang sudah menjangkakan kehadiran Puteri Umno di Anak Bukit dan Pendang, secara terang-terangan menghentam peribadi pemimpin pergerakan itu.
Di sana-sini, wajah Azalina terpampang di poster-poster dan kain rentang yang mengecamnya sebagai seorang lesbian, dan seterusnya cuba menakut-nakutkan pengundi tempatan agar menjauhi anak mereka dari pergerakan Puteri Umno.
Benar atau tidak, dakwaan lesbian yang diketengahkan oleh akhbar Perdana Sari terbitan Khalid Jaffri tiga bulan lalu terus menjadi buah mulut pengundi di dua kawasan pilihanraya tersebut.
Pengundi di Anak Bukit dan Pendang mungkin tidak lupa bahawa kira-kira tiga tahun lalu, karya Khalid "50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" yang telah mengheret Datuk Seri Anwar Ibrahim ke penjara Sungai Buloh untuk menjalani hukuman 15 tahun penjara.
Tetapi, bagi Azalina dan Puteri Umno, dakwaan Khalid itu dianggap tidak berasas sama sekali. Sebaliknya ia telah memberikan publisiti yang meluas kepada anak-anak gadis Puteri Umno yang berselendang atau bertudung merah jambu.
Bahkan, nama Puteri Umno di Anak Bukit dan Pendang sentiasa dijulang media arus perdana, hingga ada yang merasakan merasakan mereka lebih popular dari calon pilihanraya kecil itu sendiri.
