Telah banyak yang diperkatakan tentang pembangunan negara kita. Lihat sahaja menara berkembar Petronas, bangunan tertinggi di dunia! Lihat sahaja tiang bendera di Dataran Merdeka, tiang tertinggi di dunia! Memang Malaysia negara yang amat maju dalam rupa bentuk dan penampilan.
Namun begitu, pembangunan yang kita bangga-banggakan ini hanyalah satu kemajuan yang lompong kerana kita sebenarnya mundur. Di tengah-tengah bangunan tinggi, hutan konkrit yang kita sebut 'kemajuan' itu, negara kita masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah negara dunia ketiga.
Bayangkan! Saya baru pulang ke tanahair selama setahun setelah melanjutkan pelajaran ke luar negeri, dan selama setahun itu bekalan elektrik di rumah saya telah terputus purata sebulan sekali! Negara maju mana yang masih berhempas-pulas untuk membekalkan tenaga elektrik kepada rakyatnya?
Bukan itu sahaja, setiap kali bekalan elektrik terputus, pihak Tenaga Nasional yang dihubungi tidak pernah dapat memberi bantuan. Perkhidmatan pengguna yang seharusnya dipentingkan oleh sebuah badan korporat seperti itu langsung tidak ada bayangnya — malah begitu banyak kali saya menerima layanan yang amat menyakitkan hati.
Masalah 'high-tech'
Terfikir pula saya tentang cita-cita negara untuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia (MSC). Alangkah malunya negara kita yang mempunyai cita-cita begitu tinggi tapi tidak mampu memastikan bekalan elektrik yang berterusan — satu perkara asas untuk mencapai impian tersebut!
Beberapa bulan yang lalu, seorang rakan saya yang bekerja di tingkat 74 menara Petronas, juga telah mengalami masalah bekalan elektrik ketika dia sedang bekerja. Walaupun terputus kira-kira 15 minit sahaja, namun ada rakan-rakannya yang hampir pengsan kerana tidak dapat bernafas dengan baik. Bayangkan, tanpa bekalan elektrik di menara ' high-tech ' tersebut, bukan sahaja lif, pendingin hawa, lampu dan komputer yang tidak berfungsi, malah tandas juga tidak boleh digunakan! Inikah yang dinamakan kemajuan?
Bukan sahaja masalah elektrik, bekalan air juga sering menghadapi masalah. Di kawasan saya, hampir setiap hari bekalan air terputus. Di tempat lain pula, saya dapati ramai yang mengadu tentang bekalan air yang kotor dan berpasir. Entah berapa ribu kali agaknya aduan telah diajukan kepada pihak Jabatan Bekalan Air namun hasilnya tiada.
Syarikat-syarikat kroni pula dapat membuka perusahaan menjual alat penapis air yang harganya beribu-ribu setiap unit. Yang lebih memeningkan, walaupun bekalan air sering terganggu, jumlah bayaran bil tidak pula berkurangan, malah meningkat setiap bulan. Di negara di mana saya melanjutkan pelajaran, bayaran untuk bekalan air adalah tetap untuk setiap rumah, dan tidak pernah pula bekalan air terputus.
Kalau pun berlaku krisis terputus bekalan elektrik secara besar-besaran (contohnya di Los Angeles tidak lama dulu) pihak yang berkuasa telah dipertanggungjawabkan dan terpaksa meletak jawatan. Di Malaysia, bukan sekali dua krisis sebegini pernah berlaku, namun tidak ada seorang pun yang bertanggungjawab.
Dari sampah-sarap ke Proton
Selain masalah elektrik dan air, satu lagi bukti 'kemunduran' Malaysia adalah masalah sampah-sarap. Nampaknya semenjak perkhidmatan mengangkut sampah diswastakan, keadaan bukanlah bertambah baik, malah bertambah buruk. Setiap rumah diwajibkan membeli tong-tong sampah 'istimewa' (yang mahal harganya) bagi membantu proses mengangkut sampah. Namun begitu, yang dapat saya lihat di kawasan saya lori yang mengangkut sampah hanyalah lori biasa!
Amat menjijikkan melihat lori-lori ini yang dibiarkan membawa sampah secara terbuka sahaja di jalan-jalan. Beginikah daifnya perkhidmatan swasta mengangkut sampah? Sekurang-kurangnya ketika tanggungjawab tersebut di bawah majlis daerah, lori-lori mengangkut sampah yang khas telah digunakan.
Tidak lama dahulu, Telekom Malaysia mengumumkan akan menaikkan tarif penggunaan talian telefon kerana meningkatnya kecanggihan perkhidmatannya. Dan memang benarlah, bil telefon pun meningkat dengan mendadak. Tetapi kecanggihan yang dijanjikan itu hanyalah janji kosong — kerana talian telefon bukan sahaja terputus-putus malahan ditambah dengan masalah ' cross-line ' yang kerap.
Talian internet juga sering terganggu. Bila dibuat aduan, jawapan yang sering diberikan ialah perkhidmatan tersebut sedang diberikan ' upgrade '. Namun setelah lebih setahun ' upgrade ' yang tidak henti-henti, tidak ada juga perubahan dalam kejelekan sistem itu.
Saya tidak perlu menceritakan tentang pengalaman buruk saya membeli dan memandu kereta Proton. Saya yakin telah cukup ramai pengguna kereta Proton di jalanan yang sudah maklum tentang risiko yang terpaksa diterima untuk memiliki kereta nasional itu, dari kerenah si penjual yang menjengkelkan ke masalah teknikal kereta itu sendiri, hinggalah ke sikap pekerja di pusat servisnya.
Masalah 'high-tech'
Bukanlah maksud saya untuk melonggokkan semua masalah ini untuk merendahkan para pekerja Tenaga Nasional, Jabatan Bekalan Air, Telekom atau Proton. Sudah tentu akan ada pekerja tersebut yang amat berdedikasi memastikan kita mendapat perkhidmatan yang sewajarnya.
Namun begitu, kekerapan berlakunya masalah-masalah ini, walaupun kita seharusnya sudah bergelar maju dan moden, menampakkan citra yang amat negatif bagi kita. Bukan itu sahaja, malah masalah-masalah ini benar-benar mengganggu produktiviti dan kebajikan kita.
Saya yakin saya bukan seorang menghadapi dilema ini — begitu ramai rakan-rakan saya yang telah membuat aduan yang sama tapi tidak pernah disebarkan di pihak media.
Bukan juga tujuan saya untuk mengagung-agungkan negara luar, namun kenyataannya ialah ketika saya menetap di luar negara selama beberapa tahun, tidak pernah sekalipun saya terpaksa menghadapi masalah-masalah ini.
Ukuran kemajuan
Ketika kita semua ghairah memperkatakan tentang kemajuan Malaysia yang kini telah menanggalkan label 'dunia ketiga', kita harus sedar bahawa kemajuan itu tidak boleh diukur dengan ketinggian menara dan tiang bendera semata-mata. Perkara-perkara asas seperti bekalan elektrik, air (yang bersih), talian telekomunikasi dan kebersihan harus dijaga dahulu — terutamanya jika kesemua perkhidmatan asas ini telah diswastakan.
Teringat saya cerita seorang rakan saya yang telah pergi menghadiri seminar di sebuah negara di Afrika. Keadaan di negara itu agak daif dan ketinggalan zaman, membuatkannya amat gembira untuk pulang ke Malaysia sehingga dia tidak sabar-sabar hendak pulang ke rumah. Sesampainya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, dia dapati mesin memproses pasport telah rosak, jadi dia terpaksa beratur untuk agak lama untuk mendapat pelepasan.
Kemudian, ketika dia hendak mengambil beg dia diberitahu dia harus menunggu lagi beberapa jam kerana talian ( conveyor belt ) yang membawa bagasi telah rosak jadi semua bagasi harus diangkut secara tangan.
Rupa-rupanya Malaysia juga masih negara dunia ketiga!
KARIENA ABDULLAH, 23, ialah graduan University of London dan kerap menulis untuk penerbitan reformasi.
