Impian 500 peneroka Felda Sendayan dekat Labu, Negeri Sembilan untuk menjadi jutawan sepertimana rakan seperjuangan mereka di Felda LBJ Johnson, Labu hanya tinggal impian.
Rumah banglo baru siap kerangka tetapi kini hampir runtuh dan deposit membeli rumah dan kereta yang dibayar sudah hangus.
Menunggu bayaran baki 90 peratus lagi bagaikan menunggu buah yang tidak jatuh sehingga tidak sedikit pula bilangan peneroka yang sudahpun kembali ke rahmatullah. Dengar khabar ada yang terpaksa menyewa rumah.
Pemaju projek, khabarnya Tabung Haji dan Naluri Berhad (milik Tajuddin Ramli, bekas "tauke" Malaysia Ailines Berhad), hanya mampu membayar kira-kira 10 peratus daripada nilai tanah yang dipersetujui, iaitu, sekitar RM1.2 juta. Setiap peneroka memiliki kira-kira 10 ekar tanah.
Kedua-dua syarikat itu dikatakan mendakwa mereka tidak mempunyai wang untuk menyelesaikan pembayaran baki yang sudah tertunggak sejak tahun 1993-94. Jumlah yang sudah dibayar kepada peneroka dianggarkan RM60 juta. Baki tertunggak ialah kira-kira RM560 juta.
Tan Sri Isa Samad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang kini menjadi Menteri Wilayah Persekutuan yang menjadi pelopor dan bertanggungjawab di atas projek berkenaan, sudah "lepas tangan."
Bila ditanya, dengan selamba sahaja beliau menjawab: "(Saya) sudah tidak lagi bertanggungjawab kepada pembangunan Felda Labu Sendayan. Saya sendiri tidak tahu apa kesudahan pada perojek." ( Malaysiakini , 3 Disember 2004).
