Biarkan belia pimpin pertubuhan belia
Anak muda negara kita sering dimomok perlu dibimbing dan tidak boleh diberikan kebebasan berpersatuan atau berpolitik. Para mahasiswa pula dikongkong oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Bandingkan dengan berita-berita terbaru beberapa hari kebelakangan ini. Kita baru sahaja dikejutkan dengan dua berita yang pada masa yang sama amat memalukan dan sedikit melucukan: pergeseran pimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan juga Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia
Dalang-dalang utama yang terlibat dalam kedua-dua insiden tersebut bukannya belia mahupun pelajar dalam erti kata yang lazim difahami, tetapi ahli-ahli politik yang sudah separuh usia.
Anak muda negara kita sering dimomok perlu dibimbing dan tidak boleh diberikan kebebasan berpersatuan atau berpolitik. Para mahasiswa pula dikongkong oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Bandingkan dengan berita-berita terbaru beberapa hari kebelakangan ini. Kita baru sahaja dikejutkan dengan dua berita yang pada masa yang sama amat memalukan dan sedikit melucukan: pergeseran pimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan juga Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia
Dalang-dalang utama yang terlibat dalam kedua-dua insiden tersebut bukannya belia mahupun pelajar dalam erti kata yang lazim difahami, tetapi ahli-ahli politik yang sudah separuh usia.
Dua kabilah yang bertelagah di GPMS baru sahaja mengadakan mesyuarat agung berasingan, masing-masing mengangkat pemimpin kabilah sendiri menerajui pertubuhan pelajar Melayu tersebut.
Bagi MAYC pula, mesyuarat agung diganggu dengan insiden kekecohan sehingga kerusi dilemparkan dan Presiden persatuan, seorang menteri kabinet, dipegang lehernya. Mesyuarat akhirnya hanya dapat disambung semula berikutan campurtangan polis.
Siapa Punca Kemelut Ini? Siapa yang perlu dibimbing di sini? Siapa yang tidak boleh dipercayai berpersatuan?
Rasanya pelajar-pelajar sekolah pun boleh memastikan perjalanan persatuan lebih lancar dari pimpinan-pimpinan GPMS dan MAYC.
Nyatanya, bukan belia punca kemelut berterusan ini. Masalah utamanya, di Malaysia, pertubuhan-pertubuhan belia seperti GPMS, MAYC dan Belia 4B terus diperkudakan oleh ahli-ahli politik berkepentingan, sedangkan pada masa yang sama mahasiswa yang sememangnya belia tidak dipercayai untuk berpersatuan apatah lagi berpolitik.
Lebih menyedihkan lagi, definisi belia di Malaysia terlalu luas dan longgar, sehinggakan belia sebenar tersisih, dan kepentingan belia sebenar terpinggir. Punca fenomena ini ialah ahli-ahli politik separuh usia menggunakan platform belia untuk kepentingan mereka sendiri.
Ketika perkembangan ini berlaku di Malaysia, parti pembangkang Britain, Konservatif, baru sahaja memilih seorang ahli parlimen berusia 39 tahun, David Cameron menjadi ketua parti tersebut, sekaligus memegang jawatan Ketua Pembangkang. Yang dibangkangnya ialah Tony Blair yang mula memimpin parti Buruh ketika hanya berusia 41 tahun, sebelum menjadi Perdana Menteri ketika berusia 43 tahun.
Beri laluan
Bukannya tiada perkembangan positif di Malaysia. Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berusia 29 tahun. Yusri Mohammad, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, berusia 33 tahun. Mereka menjadi bukti, bahawa belia mampu memegang tampuk pertubuhan-pertubuhan belia. Komitmen Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd Noor bahawa beliau akan memberi laluan kepada pimpinan yang lebih muda wajar dialu-alukan.
Tetapi secara keseluruhannya, belia di Malaysia masih didiskriminasi. Belia dianggap punca masalah moral dan jenayah. Belia tidak boleh dipercayai untuk memimpin ataupun terlibat di dalam politik.
Ramai mahasiswa di universiti menjadi mangsa Auku kerana dikatakan menyokong atau berkempen dengan pembangkang; walhal Puteri dan Putera UMNO secara bebas bermaharajalela.
Dengan mentaliti sedemikian, berita mengenai dua pertiga dari 4 juta rakyat Malaysia yang tidak mendaftar berusia antara 22 hingga 30 tahun tidak mengejutkan kita. Kita tidak perlu terkejut jika ramai anak muda lebih gemar menjadi pengundi di Akademi Fantasia (AF) meskipun mengundi di AF menghabiskan wang ringgit.
Anak muda dan belia secara semulajadinya berkobar-kobar idealisme mereka. Tetapi apabila idealisme itu dilihat menentang arus, kita ikat mereka dengan pelbagai peraturan dan tindakan. Kita takut-takutkan mereka. Kita cantas mereka. Pucuk-pucuk idealisme di jiwa mereka pun terkulai layu.
Apabila pincang idealisme, kepimpinan dan penglibatan anak muda, maka pincanglah masa hadapan negara. Dengan itu kepentingan semua tua mahupun muda akan tergadai. Tetapi ketakutan kita kepada perubahan menjadikan kita mengekalkan situasi pincang ini. Hak-hak belia terus dinafikan.
Kesimpulannya: kita harus ubah sikap ini. Sampai masanya kita menamatkan tragedi dan komedi bangsa ini. Hipokrasi sebegini bukannya teladan yang baik kepada golongan muda kita. Tiba masanya kita mempercayai mereka.
Bebaskan belia
Belia dan anak muda tidak patut disekat untuk berpolitik atau berpersatuan. Kita tidak perlu takut pada belia yang aktif. Yang kita harus takutkan ialah belia yang pasif dan mengabaikan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Kita tidak perlu halang belia berpolitik. Yang perlu dihalang ialah campurtangan ahli-ahli politik yang sudah tamat tarikh luputnya dalam pertubuhan-pertubuhan belia.
Biarkan belia pimpin pertubuhan belia. Biarkan belia kita berfikir dengan akal mereka sendiri. Belia harus dilihat bukan hanya sebagai penyebab masalah, tetapi penyelesai masalah. Belia faham masalah belia. Apabila belia yang memimpin, belia lain lebih senang menerimanya. Ia merupakan pimpinan golongan sebaya mereka, bukannya permainan politik orang-orang tua.
Mereka harus diberikan ruang dan peluang untuk memimpin dan melibatkan diri mereka di dalam pertubuhan belia dan politik. Yakinlah dengan kebolehan mereka. Jangan kita takutkan sangat mereka tersilap, kerana kesilapan itu memberikan peluang anak muda belajar dari kesilapan mereka.
Kita harus iktiraf, bahawa belia juga punya peranan dalam pembangunan agama, bangsa dan negara. Mereka tidak seharusnya menjadi pemerhati; sebaliknya mereka mestilah mencipta dan mendepani gelombang perubahan. Jangan kita terus menafikan peranan ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD, berusia 23 tahun dan mempunyai blog di http://www.niknazmi.com

