Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
ULASAN | Meningkatkan kualiti hidup pekerja ekonomi gig

ULASAN | Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), saiz pasaran ekonomi gig pada suku ketiga 2023 adalah RM1.33 billion – ia menunjukkan saiz pasaran yang besar dengan pekerjaan-pekerjaan di bawah payung ekonomi gig masih mendapat sambutan.

Kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan 6,657 pekerja p-hailing yang merupakan salah satu pekerjaan popular dalam ekonomi gig menunjukkan 97.71 peratus merupakan golongan belia berusia 15 hingga 30 tahun. Kajian itu turut menunjukkan 63.39 peratus daripada jumlah pekerja p-hailing tidak mempunyai apa-apa simpanan dengan 73.98 peratus pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan utama.

Melihat angka-angka ini seharusnya menyedarkan untuk melakukan sesuatu bagi meningkatkan kemahiran, masa hadapan dan kebajikan para pekerja di bawah payung ekonomi gig.

Pada tahun 2019, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) mengunjurkan empat daripada sepuluh rakyat Malaysia akan terlibat dengan ekonomi gig dalam tempoh lima tahun (2024) pada ketika itu.

Menurut laporan terkini DOSM, kira-kira 30 peratus tenaga buruh di Malaysia terlibat dengan ekonomi – hampir sama dengan apa yang diunjurkan oleh KWSP.

Pandemik Covid-19 telah memaksa rakyat untuk menceburi pekerjaan-pekerjaan di bawah ekonomi gig yang lebih fleksibel dan tersedia ketika itu.

Ekonomi Gig tidak mampan

Saya akan memfokuskan perbincangan ini kepada pekerja-pekerja e-hailing dan p-hailing memandangkan ia dua pekerjaan yang popular dalam segmen ekonomi gig.

Sudah banyak seruan untuk memperbaiki kebajikan pekerja-pekerja ini – dengan kerajaan yang sudah beberapa kali bertukar – namun kelihatannya proses itu berlaku dengan perlahan.

Kerajaan sedang mengkaji keperluan untuk meminda Akta Kerja 1955 atau akta baru berkaitan ekonomi gig.

Pekerjaan seperti e-hailing dan p-hailing tidak mampan, dan pekerja-pekerja ini boleh dianggap sebagai hamba moden. Mereka tidak memiliki perlindungan, tidak mampu mempengaruhi kadar bayaran, harus menanggung risiko kerosakan kenderaan, tiada prospek peningkatan kerjaya, dan perlu mengejar tempahan untuk kekal dalam program yang sepatutnya bersifat fleksibel.

Kerajaan harus mula berfikir untuk memindahkan sebahagian pekerja di bawah payung ekonomi gig ke pekerjaan yang lebih baik dan mampan. Menurut Kementerian Sumber Manusia, 300,000 pelajar lepasan SPM pada tahun lepas enggan melanjutkan pelajaran. Saya percaya fenomena ini dipengerahui ketersediaan pekerjaan-pekerjaan di bawah ekonomi gig dan mentaliti jangka pendek yang dimiliki oleh kebanyakan anak muda.

Kita harus bersedia untuk menerima penambahan tenaga buruh yang ingin terjun dalam ekonomi gig. Dua perkara yang perlu dilakukan adalah menjadikan ekosistem ekonomi gig lebih baik, dan menurunkan jumlah pekerja ekonomi gig melalui peningkatan kemahiran (upskilling) yang mampu memberikan perlindungan dan prospek kerjaya yang lebih baik.

Mewujudkan ekosistem ekonomi gig yang lebih baik harus melalui proses penggubalan atau pindaan undang-undang di Parlimen. Saya lebih berminat untuk berbincang tentang idea untuk meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja di bawah ekonomi gig. Sebagai contoh, pekerja p-hailing yang mahir dalam mengendalikan motosikal boleh ditingkatkan kemahiran mereka dengan mengambil sijil-sijil kemahiran.

Untuk proses ini berlaku dengan lebih efisien, penyertaan syarikat-syarikat korporat cukup penting. Kerajaan boleh bekerjasama dengan industri untuk menyediakan pekerajaan yang lebih baik kepada pekerja ekonomi gig dengan memberikan insentif atau potongan cukai kepada syarikat-syarikat yang terlibat.

Kerjasama ini akan memberi tenaga kerja mahir yang baru kepada industri dan membantu pekerja-pekerja ekonomi gig untuk mendapat prospek kerjaya yang lebih baik.

Kesan tidak langsung

Sekiranya anda mengambil masa untuk berbual dengan pekerja e-hailing atau p-hailing, mereka sering mengadu berkenaan pendapatan yang semakin merosot kerana kekurangan tempahan dan persaingan yang lebih tinggi. Penambahan mendadak tenaga buruh ke dalam ekonomi gig akan menjadikan persaingan semakin sengit dan mengurangkan pendapatan mereka.

Ekstremisme dan rasisme sering dikaitkan dengan ideologi politik, tetapi pada pandangan saya – ia didorong oleh faktor sosial dan ekonomi seperti pendapatan, prospek kerjaya, dan periuk nasi rakyat.

Sejarah mengajar kita tentang sifat sesetengah ahli politik yang tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dengan menakut-nakutkan rakyat dengan bayang-bayang sendiri apabila berlaku masalah ekonomi.

Saya fikir ia sedang berlaku, dan sekiranya tiada langkah-langkah agresif diambil dalam isu ekonomi gig, kita akan melihat peningkatkan golongan ekstremis.


RAHMAN IMUDA merupakan seorang pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS