Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
ULASAN | Mata lebam Anwar dan perubahan iklim politik

Sewaktu Mao Zedong mengisytihar dan menggerakkan revolusi kebudayaan di China, Instagram, Facebook, Tiktok, Telegram, Whatsapp, Wechat dan Youtube masih belum dicipta. Selain akses terhadap televisyen yang sangat terhad hanya kepada institusi elit dan kumpulan bangsawan, penggunaan telefon pada waktu itu juga tidak seluas era milenium seperti sekarang.

Walaupun begitu, gerak kerja politik yang penting seperti gerakan reformasi yang merangkumi pelan rencana pembangunan lima tahun, lompatan jauh ke depan dan rancangan revolusi yang mengambil elemen kebudayaan harus digerakkan.

Apatah lagi kalau kerja politik itu adalah suatu reformasi rakyat berskala besar untuk merubah pemikiran rakyat dari kepercayaan tradisi, mentaliti lapuk dan norma kebiasaan hidup yang dirasakan merugikan serta melambatkan negara China untuk lebih cepat mencapai kemajuan.

Makanya bagi menyatukan seluruh rakyat dalam satu cita-cita politik tersebut, Mao Zedong yang cukup yakin rakyatnya akan berubah mengikut perubahan politik, sosial dan ekonomi selari dengan apa yang telah dia tetapkan telah menggunakan salah satu kaedah propaganda yang dipanggil ‘Tatzepao’ bagi menyebarkan segala informasi dan maklumat kepada seluruh rakyat.

Tatzepao atau poster dinding ini bukanlah sesuatu yang asing di China. Kaedah propaganda berbentuk tatzepao ini sudah mula diperkenalkan kepada seluruh rakyat China semenjak dari zaman pemerintahan Dinasti Shang pada sekitar tahun 1523 ke 1028 sebelum masihi lagi.

Tatzepao terus diguna pakai dan menjadi salah satu medium propaganda kerajaan Mao kerana ia adalah alat propaganda yang paling mudah, murah, berpengaruh dan berkesan. Poster pelbagai saiz, bentuk dan warna yang diguna akan dilekatkan di dinding-dinding rumah dan tembok seluruh bandar, pekan dan kampung. Objektif utama yang mahu dicapai dari Tatzepao adalah untuk mempengaruhi lebih ramai rakyat agar faham dan menerima idea serta rancangan daripada makluman yang diinformasikan melalui Tatzepao berkenaan apa yang mahu kerajaan pimpinan Mao mahu lakukan.

Penggunaan poster secara umumnya telah digunakan sejak lebih dari 200 tahun dahulu lagi. Populariti dan keberkesanan poster di kalangan masyarakat dunia telah menjadikan ia sebagai salah satu medium penyampaian paling pesat berkembang sehingga ia dijadikan alat terpenting dalam kempen pilihan raya di seluruh dunia.

Sungguhpun perkembangan media cetak yang sangat pesat berkembang di sekitar hujung abad ke-19 menyaksikan peningkatan penerbitan akhbar dan kemunculan stesen radio turut digunakan sebagai alat propaganda kerajaan, namun poster terus kekal bertahan.

Di Malaysia, rakyat negara ini telah diperkenalkan dengan poster sejak sebelum merdeka lagi. Semenjak dari era pendudukan penjajah, rakyat negara ini telah cuba dipengaruhi melalui agenda propaganda yang dibuat melalui penyebaran poster ke seluruh pelosok negara. Dari situ segala dakyah penjajah akan cuba diresap masuk ke dalam pemikiran rakyat.

Propaganda perang melalui poster ini turut digunakan sewaktu pilihan raya Malaya yang pertama. Kempen-kempen parti politik bukan saja datang dalam bentuk propaganda retorika berbentuk ucapan dan ceramah. Akan tetapi apa yang lebih banyak dapat dilihat adalah poster parti-parti politik yang bertanding dalam pilihanraya.

Sejak itu evolusi propaganda yang terkandung dalam poster tidak hanya terhad pada aspek material, akan tetapi apa yang lebih menarik adalah pengevolusian kandungan yang dipaparkannya.

Kemuncak evolusi propaganda melalui poster ini boleh dilihat dengan jelas dan nyata pada tahun 1998 hingga 1999.

Apabila berlakunya insiden pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar yang turut dipecat dari jawatan-jawatan parti sekali gus hilang keahlian sebagai pemimpin kanan dalam Umno. Maka idea reformasi yang sememangnya kerap Anwar sebutkan sewaktu sebelum dia dipecat mula kedengaran.

Perkataan reformasi mula dilaungkan di rumahnya yang kemudian menjadi slogan jenama propaganda politik Anwar yang dilaungkan ke mana-mana sahaja Anwar muncul memberikan ucapan bagi menjawab segala tuduhan serta memperjelaskan kedudukan.

Anwar kemudian ditahan untuk dituduh dan dibicarakan. Kemunculan Anwar selepas peristiwa tangkapan di rumahnya itu menjadi suatu lonjakan perubahan politik Anwar yang tidak akan mudah dapat dilupakan.

Gambar Anwar mengangkat tangan dengan sebelah mata lebam sewaktu berjalan masuk ke mahkamah yang diposterkan bersama perkataan reformasi adalah suatu evolusi propaganda poster yang besar.

Perkataan reformasi yang dicetak jelas pada bawah imej Anwar dengan berlatarbelakang warna hitam gelap menjadi suatu penceritaan visual yang bukan hanya mengangkat sebuah pengalaman hitam buat Anwar, akan tetapi menggambarkan suatu perjalanan yang gelap juga buat rakyat dan negara.

Mesej propaganda politik itu yang telah diserap masuk ke fikiran sebahagian rakyat terbanyak waktu itu sehingga membawa mereka turun ke jalan melaungkan perkataan reformasi di banyak sekali siri tunjuk perasaan.

Keupayaan propaganda melalui poster untuk menarik perhatian bukan sahaja pada tujuan mendidaktik falsafah atau menindoktrinasi idea. Malah pada tahap-tahap tertentu, kaedah propaganda melalui poster ini akan dapat dengan mudah mencapai tujuan hasutan emosi yang lebih tinggi dan mampu membuat ramai orang percaya dan yakin dengan idea yang mahu disampaikan.

Pada suatu tahap yang lain, poster juga berupaya menimbulkan keresahan, menaikkan kemarahan dan mempertingkatkan kemarahan serta kebencian. Sejarah propaganda poster telah membuktikan betapa poster adalah suatu alat propaganda yang sangat berkuasa kerana ia adalah gabungan visual dan tulisan yang sangat memberikan kesan kepada emosi dan jiwa manusia.

Kemunculannya sejak dari era perang dunia telah menjadi sejarah warisan dan budaya penting dalam perkembangan politik, sosial dan ekonomi manusia diseluruh dunia.

Evolusi yang disaksikan adalah bukti bahawa penyebaran propaganda melalui poster tetap relevan walaupun kita hidup di zaman ledakan teknologi pintar media sosial.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS