Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
ULASAN | Pindaan Seksyen 233 CMA bercanggah matlamat

Pindaan ketara sedang dijalankan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA). Rang undang-undang pindaan itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 2 Disember 2024.

Terselit dalam rang undang-undang tersebut adalah pindaan kepada seksyen 233 yang terkenal, yang sering digunakan oleh kerajaan bersilih ganti untuk mendiamkan perbezaan pendapat dan kritikan. Ia telah digunakan terhadap aktivis, ahli politik pembangkang, dan pembela hak asasi manusia kerana menyiarkan kandungan "jelik" dengan niat untuk "menyakitkan hati" orang lain.

Ambang yang tersangatlah rendah di mana sesuatu kandungan hanya perlu dibuktikan sebagai "menjelikkan" dengan "niat untuk menyakitkan hati" semata-mata telah membuatkan pendakwaan di bawah Seksyen 233 terlalu mudah dan mengakibatkan banyak sabitan dengan hukuman denda yang besar dan bahkan, hukuman penjara. Undang-undang semasa membenarkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun selepas sabitan.

Undang-undang ini telah dikutuk secara sepenuhnya kerana terlalu samar, terlalu luas, kejam, dan terdedah kepada penyalahgunaan oleh Badan Peguam Malaysia, Suhakam, pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, dan sudah tentu, Pakatan Harapan juga, ketika mereka berada di pihak pembangkang.

Mereka betul. Banyak ucapan yang menyinggung perasaan adalah sebahagian daripada kehidupan seharian. Pelbagai jenis ucapan seharian boleh menjadi jenayah di bawah Seksyen 233 CMA. Satu-satunya keperluan bagi sesuatu sabitan adalah untuk sasaran kandungan tersebut berasa tersinggung. Tidak seperti kesalahan fitnah jenayah, kebenaran bukanlah suatu pembelaan bagi kesalahan di bawah Seksyen 233, dan oleh itu, ia menjadikan kesalahan seksyen 233 CMA ini lebih kejam lagi.

Memandangkan undang-undang sedia ada ini sudah pun bermasalah, apakah yang cuba dilakukan oleh pindaan kerajaan, dan adakah ia menjadikannya lebih baik?

Cadangan-cadangan pindaan kerajaan

Terdapat beberapa pindaan yang sedang dibuat kepada Seksyen 233 CMA. Sesetengah pindaan adalah diperlukan dan dialu-alukan dari kerajaan, contohnya dengan menjadikan penipuan dalam talian sebagai suatu jenayah, dan memperkenalkan perlindungan terhadap bahan penderaan seksual kanak-kanak dan pornografi kanak-kanak.

Terdapat juga pindaan yang membimbangkan, seperti yang telah diketengahkan oleh Artikel 19 dan Pusat Kewartawanan Bebas (https://www.article19.org/resources/repressive-amendments-communications-multimedia-act/).

Fokus saya hari ini adalah terhad kepada pindaan yang paling bermasalah:

1.Pindaan perkataan "jelik" kepada "jelik melampau" dan ilustrasi untuk membantu tafsiran kepada apa yang dimaksudkan oleh perkataan ini; dan

2.Peningkatan penalti daripada tidak melebihi RM50,000 kepada RM500,000 dan pemenjaraan daripada tidak melebihi setahun kepada tidak melebihi dua tahun.

Walaupun kerajaan boleh dipuji untuk cubaan menaikkan ambang jenayah dengan menambahkan perkataan "melampau" setelah perkataan jelik - ilustrasinya menggunakan logik yang berpusing-pusing dan hanya berfungsi untuk mengelirukan.

Sebagai contoh, ilustrasi menyatakan seperti berikut:

Kandungan "jelik melampau" adalah meliputi kandungan yang "memaki dan tidak senonoh yang menyinggung perasaan ramai pihak termasuk rujukan yang kasar."

Rujukan yang kasar kemudiannya ditakrifkan sebagai: "menyinggung perasaan, kasar atau tidak senonoh."

Oleh itu, menurut ilustrasi kerajaan:

Jelik melampau = kata-kata kasar/kata-kata tidak senonoh yang menyinggung perasaan ramai yang termasuk rujukan yang kasar = kata-kata menyinggung perasaan, kasar atau tidak senonoh.

Maafkan saya, tetapi sesuatu tentang matematik ini tidak masuk akal. Ilustrasi yang diberikan bermula dengan apa yang cuba diakhiri, yang tidak menjelaskan apa-apa langsung.

Penjelasan mengenai "ucapan bernada kebencian" di bawah apa yang terjumlah kepada jelik melampau juga tidak jelas dan berpusing-pusing. Dalam contoh ini, kandungan yang "menghina atau menjatuhkan maruah seseorang" adalah contoh kepada "ucapan bernada kebencian", yang akan menjadi "jelik melampau".

Kamus Cambridge mentakrifkan "penghinaan" sebagai "pernyataan atau tindakan yang menyinggung perasaan" manakala "menjatuhkan maruah ditakrifkan sebagai "untuk menyebabkan seseorang kurang dihormati".

Ini semua adalah ambang yang teramat rendah untuk menjadikan sesuatu itu sebagai "ucapan bernada kebencian", yang seterusnya meruntuhkan ambang yang kononnya lebih tinggi yang cuba dicapai oleh kerajaan dengan pindaan perkataan kepada "jelik melampau".

Hal ini menjadi lebih jelas lagi apabila kita membandingkan definisi kerajaan bagi "ucapan bernada kebencian" dengan Strategi dan Pelan Tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Ucapan Kebencian di mana "ucapan bernada kebencian" ditakrifkan sebagai "...apa-apa jenis komunikasi dalam ucapan, penulisan atau tingkah laku, yang menyerang atau menggunakan bahasa pegoratif atau diskriminatori dengan merujuk kepada seseorang atau sesuatu kumpulan berdasarkan identiti mereka, dengan kata lain, berdasarkan agama, etnik, kewarganegaraan, bangsa, warna, keturunan, jantina atau faktor identiti lain".

Pembelaan komunikasi yang dibuat dengan suci hati yang terdapat di (d) juga menimbulkan kebimbangan kerana ia terhad kepada komunikasi yang "terdiri daripada pernyataan fakta, adalah benar pada isi dan fakta, dan terdiri daripada pernyataan pendapat". Ia diambil daripada pembelaan komen adil di bawah undang-undang common law.

Walau bagaimanapun, mereka yang membuat komunikasi yang menghina tidak akan dilindungi. Sebagai contoh, seseorang yang memanggil orang lain sebagai "cunt" atau "dickhead" masih akan dianggap sangat menyinggung perasaan dan tidak akan mempunyai pembelaan komen yang adil.

Dari aspek ini, "satira" atau "parodi", walaupun adalah pengecualian kepada komunikasi "palsu", masih boleh menjadi suatu kesalahan kerana sifatnya yang "jelik melampau".

Ia juga sangat mengecewakan bahawa pindaan tersebut mengekalkan niat untuk "menyakitkan hati" orang lain dalam penyiaran kandungan "jelik melampau". Keinginan untuk menyakitkan hati seseorang tidak patut dihukum sehingga RM500,000 dan tidak melebihi 2 tahun penjara.

Tidak lebih baik

Tujuan pindaan kepada Seksyen 233 CMA nampaknya adalah bagi kerajaan untuk terus mengawal selia kesopanan wacana melalui internet, seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Mengatur selia kesopanan wacana melalui internet bukanlah alasan yang diiktiraf untuk sekatan kebebasan bersuara dan tidak akan menjadi suatu tujuan yang sah.

Dalam hal ini, ia membenarkan tindakan kerajaan secara sewenang-wenangnya kerana apa menjadi wacana yang boleh diterima ditentukan secara sewenang-wenangnya. Kerajaan telah salah anggap bahawa masyarakat mempunyai suatu standard yang selaras dalam menentukan apa yang menjadi jelik melampau. Suatu perkara yang menjelikkan secara melampau kepada seseorang tidak semestinya menimbulkan perasaan sama bagi orang lain. Siapakah yang akan menjadi pengadil muktamad? Pindaan yang dicadangkan tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki situasi ini.

Apa yang akan dicapai oleh kerajaan hanyalah pengawalan dan penapisan ucapan yang tidak diingini oleh pihak berkuasa dan kesan yang menakutkan terhadap kebebasan bersuara yang termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) PP.

Saya menggesa Kerajaan untuk mengecualikan pindaan kepada Seksyen 233 CMA dari rang undang-undang semasa dan menghantarnya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk suatu analisis menyeluruh dan terperinci ke atas semua pindaan tersebut.


NEW SIN YEW ialah Peguambela dan Peguamcara.

Tuisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS