Di tengah-tengah membaca laporan media barat mengenai kejatuhan kerajaan Bashar al Assad, meneliti ulasan mengenainya, menonton video kegembiraan rakyat Syria di hadapan kedutaan mereka di Kuala Lumpur, adakah sesiapa perasan akan suatu keganjilan yang telah berlaku dalam liputan media barat semasa kemaraan kumpulan penentang Assad dan akhirnya menguasai Damsyik?
Selama bertahun-tahun, media barat dan ahli politiknya melaporkan bahawa Hamas seperti al Qeada adalah pertubuhan pengganas.
Sejurus selepas serangan Hamas ke atas wilayah yang diduduki Israel pada 7 Oktober 2023, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu seingat saya berdiri bersama Setiausaha Negara AS Anthony Blinken dan telah menyatakan dengan tegas bahawa: “Hamas adalah ISIS [Negara Islam]… dan Hamas harus dilayan seperti ISIS diperlakukan. “
Tetapi jika difikirkan Hamas tidak seperti Al-Qaeda dan pembentukan khalifah Islam, mereka tidak berusaha untuk mewujudkan semula empayar khalifah Islam dan memaksa semua penduduk Islam menerima kekhalifan atau penduduk Kristian Palestin memeluk agama Islam bahkan mereka tidak peduli dengan sempadan empayar khalifah Islam yang merentangi Iraq, Syria, Jordan dan Lubnan.
Pejuang Hamas sekadar mahu memerdekakan negera mereka daripada penjajahan Zionis Israel. Mereka hendak mewujudkan sebuah negara bernama Palestin.

Manakala Israel bertekad untuk menghentikan perwujudan sebuah negara bernama Palestin dan dalam usaha ini mereka perlu melakukan genosid dan membiarkan penduduknya mati kelaparan sehingga kebuluran.
Hamas tidak berhasrat menuntut sebuah kekhalifan Islam atau pematuhan ketat terhadap undang-undang Islam.
Hamas tidak menindas orang Kristian (komuniti Kristian yang wujud secara aman di Gaza sehingga Israel mula mengebom gereja mereka), atau memaksa wanita memakai tudung.
Pihak barat sengaja menyenaraikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas ke atas kedua-dua sayap ketenteraan dan kebajikan politiknya disebabkan penentangannya ke atas penjajahan Israel di Gaza dan Tebing Barat. Mereka tidak rela wilayah mereka dan masjid Al Aqsa dan Baitulmaqis dijajahi pengganas dan regim haram Israel.
Kawasan Baitulmaqis mempunyai komponen Kristian dan Yahudi juga. Dalam isu kejatuhan kerajaan Syria kemunafikan media barat amat jelas dan ketara semasa ini.
Bayangkan dalam perang menentang keganasan, AS dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) George Bush amat memusuhi Osama bin Laden dan pertubuhan Al-Qaeda dan dalam pemburuan Osama mereka menyerang dan menjajahi Afganistan.

Di Iraq terdapat kumpulan Al-Qaeda dan cabangnya di Syria tetapi media barat melaporkan ia telah mengalami proses metamorfosis dan dijenamakan semula sebagai Hay’ at Tahir atau HTS. HTS dikatakan kumpulan lebih terbuka.
Jika sesiapa masih ingat laporan media barat pernah menyenaraihitamkan HTS sebagai kumpulan pengganas. Pada masa itu terdapat kebimbangan serius mengenai hak asasi manusia di kawasan yang dikuasainya, termasuk pelaksanaan hukuman mati terhadap mereka yang dituduh berhubung dengan kumpulan saingan serta tuduhan menghina agama dan berzina.
AS pula pada 2013 pernah mengisytiharkan pemimpin HTS Abu Muhammad al-Jolani sebagai pengganas dan mendakwa Al-Qaeda di Iraq telah menugaskannya untuk menggulingkan pemerintahan Assad dan menubuhkan undang-undang syariah Islam di Syria.
Sementara itu, Program Rewards for Justice, iaitu satu program ganjaran keselamatan negara utama Jabatan Negara AS, masih menawarkan ganjaran sehingga $10 juta (RM44.2 juta) kepada pemberi maklumat mengenai Jolani.
Dengan kemenangan HTS adakah AS masih menyenaraihitam HTS dan pengasasnya sebagai pengganas yang dikehendaki.
HTS apapun penjenamaannya, yang pentingnya ialah kejatuhan sebuah kerajaan yang kejam lagi zalim dan membunuh ramai pejuang Islam.

Tetapi media barat bersikap munafik dalam liputannya sekarang seolah-olah menyokong pejuang Islam.
Bagaimana jika sebuah kerajaan Islam ala Al-Qaeda ditubuhkan di Syria dan menyokong dan membantu perjuangan Hamas adakah media barat masih terus menyokongnya? Adakah perkara dibenarkan AS, Britain dan Israel?.
Di sini dapat dilihat bagaimana media barat menukar warna dan kulit dengan prihatin sekali menjelaskan latar HTS yang tidak lagi sebahagian daripada kumpulan pengganas.
Bagi media barat mereka adalah kumpulan nasionalis atau pejuang pembebasan Syria. Umat Islam di Malaysia yang menyambut gembira dengan kejayaan kumpulan pejuang Islam Syriaini harus kritikal dengan liputan media barat terkini.

Sekarang cabang Al- Qaeda yang dijenamakan itu diterima media barat sebagai gerakan nasionalis Syria yang baik, dengan perjuangan untuk menyatukan negara.
Lebih pelik Netanyahu turut gembira dengan kumpulan HTS yang menguasai Damsyik dan menjatuhkan kerajaan Assad. Adakah si Algojo Netanyahu yang bengis dalam berhadapan dengan Hamas dan penduduk Palestin dan media arus perdana barat yang menyokong genosid itu tiba-tiba menyokong kumpuan Islam di Syria, tidakkah ini sesuatu yang ganjil?
Adakah regim Netanyahu akan berdamai dan keluar dari Gaza?
Dalam berselindung di sebalik naratif dan permainan perkataan serta istilah, media barat tiba-tiba sangat prihatin untuk menjelaskan perbezaan antara jihad Islam dan penentangan nasional Islam dan menegaskan bahawa perkataan dan istilah yang terakhir ini adalah disepakati.
Sekarang ia adalah rasional bagi kerajaan British dan AS untuk menerima HTS sebagai kumpulan utama bagi pembebasan Syria dan bukannya sebagai organisasi pengganas, walaupun kerajaan yang sama mencengkam dan membelenggu Hamas secara totalitarian atau mutlak.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sehari selepas kejatuhan kerajaan Assad mendakwa ia adalah suatu penghargaan bagi dirinya kerana memulakan rantaian peristiwa yang membawa kepada kejatuhan mengejut, menyebutnya sebagai “hari bersejarah” ketika tentera merampas kawalan zon penampan di sempadan negara itu dengan Syria.
“Ini adalah hari bersejarah dalam sejarah Timur Tengah,” kata Netanyahu semasa lawatan ke Gunung Bental di sempadan Israel dengan Syria.
“Rejim Assad adalah penghubung utama dalam paksi kejahatan Iran - rejim ini telah jatuh. ”
Di sini media barat bukan jahil, keliru atau tidak memahami perbezaan antara jihad islam dan nasionalis Islam tetapi dilakukan atas kepentingan Israel dan AS dalam menguasai geopolitik Timur Tengah.
Media barat mengikut skrip yang dibuat oleh orang atasan mereka demi keselamatan negara haram Israel. Kejatuhan Syria adalah kepentingan strategik Israel dan AS bagi melemahkan Iran dan paksi penentangan.
Al-Jolani pemimpin utama di sebalik kumpulan pembebas Syria (istilah media agensi), menyifatkan penggulingan Assad sebagai “kemenangan bagi seluruh negara Islam”; dalam kenyataan umum pertamanya sejak menawan kota ini.
“Kemenangan ini wahai saudaraku, adalah kemenangan bagi seluruh umat Islam.
“Kejayaan baharu ini saudara-saudaraku, menandakan satu lembaran baharu dalam sejarah rantau ini,” kata Ketua Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) iaitu sebuah kumpulan yang sebelum itu dikenali sebagai Nusra Front.
Adakah media barat, AS, Britain dan siAlgogi menyokong, menerima dan menyambut dengan hati terbuka terhadap kenyataan ini?

Kejayaan besar media barat adalah membuat laporan mengenai penyingkiran Assad bermula pada hari yang sama gencatan senjata Israel- Hizbollah ditandatangani.
Liputan mereka dan ulasan mereka mengenai kelumpuhan tentera Hizbollah dan ramai anggota tenteranya telah keluar dari Syria untuk mengukuhkan sempadan selatan Lubnan jika sesiapa perhatikan sebenarnya merupakan pemula kepada kejatuhan Assad dan menyumbangkan kepada tekanan kepada Hamas untuk tunduk kepada gencatan senjata yang tidak adil.
Media barat akan memainkan naratif Hamas adalah anti kepada perdamaian dan merupakan pertubuhan pengganas dan sengaja ingin membunuh penduduk Palestin yang mahukan perdamaian.
ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
