Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Kolum
ULASAN | Kenaikan gaji minimum, dasar gaji progresif lonjak status Malaysia

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2022 bermula dengan latar belakang ekonomi yang mencabar. Antara isu yang menghambat kabinet beliau adalah ekonomi yang melemah pada tahun itu. Menjelang suku pertama 2023, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah pun menunjukkan tanda-tanda melemah.

Tanpa membuang masa, Anwar memperkenalkan Kerangka Ekonomi Madani yang menggantikan Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Kerangka ini bukan sekadar pelan kosong dan retorik yang biasa kita dengar daripada politikus.

Antara cabaran utama yang ingin ditangani kerajaan Madanni ialah gaji rakyat Malaysia yang kekal pada tahap yang sama sejak berdekad-dekad lamanya. Ada dua akibat yang merugikan negara.

Pertama, rakyat yang bekerja dalam bidang yang tidak berkemahiran atau berkemahiran rendah dihambat kos sara hidup yang semakin mencanak.

Kedua, golongan profesional dan bakat-bakat tempatan berhijrah ke negara luar yang menawarkan pakej lebih lumayan. Ia disebut sebagai perangkap negara berpendapatan sederhana.

Justeru, kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Negara dalam kategori mempunyai kedudukan fiskal yang kuat, hasil yang bertambah dan perbelanjaan yang lebih berhemah.

Baru-baru ini, kerajaan menaikkan gaji minima kepada RM1,700 dan memperkenalkan dasar gaji progresif seperti mana di Singapura. Ini adalah satu Langkah yang wajar dipuji dan ia bersifat 'work in progress'. Menurut data 2018 daripada Bank Negara, gaji yang diperlukan untuk seorang individu dewasa yang menetap di Kuala Lumpur ialah RM2,700.

Namun, lonjakan ke status negara berpendapatan tinggi tentunya membawa cabaran tersendiri kepada usahawan kecil dan sederhana (SME). Di Malaysia, 70 peratus rakyat digajikan oleh SME, yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. 97 peratus syarikat di Malaysia berada dalam kategori tersebut, menjana kira-kira 38.2 peratus daripada KDNK negara.

Peningkatan gaji minima bermakna SME perlu menanggung beban kewangan. Kesan domino juga dapat diperhatikan apabila gaji lantai dinaikkan, maka struktur gaji di setiap peringkat dalam satu-satu syarikat akan terkesan.

Begitu juga dengan inflasi dan kenaikan harga barangan. Walaupun kerajaan Madani berjaya mengawal inflasi, kenaikan gaji pada jangka panjang akan mendatangkan kesannya.

Di sinilah rasionalnya kerajaan memperkenalkan Dasar Gaji Progresif yang merupakan satu reformasi penting dalam pasaran buruh. Polisi ini bertujuan menangani masalah gaji kecil yang menghambat sejumlah 66 peratus pekerja tempatan yang berada dalam julat pendapatan RM1,500 ke RM5,000.

Ia juga bertujuan menyelaraskan kenaikan gaji dengan penambahbaikan produktiviti menerusi pelaburan dalam Latihan dan kemahiran para pekerja. Dasar ini tidak membiarkan majikan bersendirian dalam berdepan cabaran kewangan. Kerajaan akan bersama-sama SME dalam menyediakan kerangka untuk syarikat menambah baik struktur gaji, termasuk penyediaan insentif semasa proses transisi ke arah standard gaji yang lebih baik.

Sebagai tambahan, Dasar Gaji Progresif berupaya menangani jurang pendapatan yang semakin melebar. Data pada tahun 2020 menunjukkan Indeks Gini pendapatan meningkat daripada 40.7 peratus pada tahun 2019 kepada 41.1 peratus pada tahun 2020. Apabila pekerja dalam kumpulan tidak berkemahiran mendapat latihan secukupnya, nilai diri mereka akan berganda dalam pasaran buruh seterusnya mendapat tawaran pendapatan yang lebih kompetitif.

Buat pertama kalinya, dasar itu akan memperkenalkan panduan gaji permulaan berdasarkan klasifikasi pendapatan mengikut Piawaian pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).

Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan jangkaan yang lebih jelas kepada majikan dan pekerja mengenai tahap gaji yang sesuai merentasi pelbagai sektor.

Dengan mencapai matlamat ini, Dasar Gaji Progresif bukan sahaja berusaha meningkatkan kuasa beli dan taraf hidup secara individu, tetapi juga memperkukuhkan ekonomi keseluruhan dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Tidak lengkap apabila bercakap tentang kemahiran tanpa menyebut tentang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri melancarkan TVET MADANI seabgai satu laluan kerjaya utama yang bernilai tinggi, khusus kepada pelajar yang tidak berminat dengan akademik. Kita tidak boleh sewenang-wenang menutup mata kepada masa depan golongan ini.

Ini selari dengan hasrat kerajaan yang mahu memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Manusia (HDI) dan tidak hanya tertumpu kepada pencakar-pencakar langit. Mendepani era digital dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI), pekerjaan berkemahiran rendah bakal diganti oleh mesin, jentera, robot dan sistem perisian komputer.

Bahkan, pada masa ini pun ribuan pekerja sudah dibuang syarikat-syarikat teknologi yang giat membuat pelaburan dalam penggunaan teknologi canggih AI.

Mahu atau tidak, generasi masa depan perlu dilengkapkan sebaik mungkin dari segi sahsiah, ilmu, kemahiran dan matlamat hidup. Era globalisasi menjanjikan pulangan lumayan kepada masyarakat dan kepimpinan yang tahu hala tuju mereka, dan akan menghukum mereka yang ketinggalan. Malaysia mempunyai peluang cerah untuk mengangkat tahap kesejahteraan rakyat dengan kerangka ekonomi MADANI.

Tahun depan, kerajaan Madani akan meraikan ulang tahun ketiga penubuhannya. Kita tidak lupa dengan tulang belakang yang menjayakan kerangka ekonomi ini sama ada anggota kabinet atau kumpulan pelaksana.

Kerajaan MADANI mempunyai rekod yang membanggakan dan akan terus melangkah ke hadapan dengan gah. Tahun 2025 bakal menyaksikan Kerangka Ekonomi Madani terus membuahkan hasil kepada rakyat terbanyak.


NAIM JUSRI ialah Felo di Nusantara Academy For Strategic Research.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS