Tidak semua seruan kepada reformasi membawa makna kemajuan. Diam juga tidak semestinya tanda kelemahan. Dalam sistem yang berasaskan prinsip Perlembagaan, menjaga sempadan antara institusi bukan sekadar penting, tetapi menjadi asas kepada kestabilan dan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan.
Apabila satu pihak mula mempertikaikan peranan pihak lain secara terbuka, apatah lagi apabila ia datang daripada dalam badan kehakiman itu sendiri, maka yang timbul bukan lagi sekadar persoalan reformasi. Ia menyentuh keseimbangan kuasa yang menjadi tiang seri sistem pentadbiran negara.
Cadangan Ketua Hakim Negara untuk menyingkirkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim telah mengundang pelbagai reaksi. Ramkarpal Singh, sebagai antara yang menyokong, turut menolak kritikan Datuk Seri Nazri Aziz yang mempersoalkan cadangan tersebut.
Namun, meskipun kurang disenangi oleh sesetengah pihak, pandangan Nazri mengangkat persoalan asas yang wajar diberi perhatian. Jika proses pelantikan yang digunakan selama ini dianggap sudah tidak sesuai, bagaimana pula dengan pelantikan yang telah dibuat melalui kaedah yang sama, termasuk pelantikan Ketua Hakim itu sendiri?
Bolehkah seseorang menerima manfaat daripada sistem yang sama sambil dalam masa yang sama mempertikaikan asas yang menyokongnya? Ini bukan soal individu. Ini soal prinsip, dan prinsip hanya bermakna jika diterapkan secara konsisten, tanpa mengira siapa yang terlibat.
Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar teks undang-undang. Ia merupakan asas yang menyusun dan mengimbangi tanggungjawab antara institusi utama dalam negara. Perkara 122B memperuntukkan bahawa pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Peranan ini bukan sekadar formaliti. Ia wujud sebagai sebahagian daripada sistem semak dan imbang yang memastikan tiada pihak bertindak tanpa pengawasan.

Cadangan untuk mengecualikan peranan Perdana Menteri daripada proses ini bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan melalui keputusan pentadbiran atau ucapan terbuka. Ia merupakan perubahan terhadap struktur Perlembagaan yang hanya boleh berlaku melalui pindaan rasmi.
Menyamakan perkara ini dengan pembaharuan dasar undang-undang seperti pemansuhan hukuman mati mandatori atau pemisahan kuasa Peguam Negara adalah perbandingan yang tidak tepat. Perubahan dasar boleh digerakkan melalui Parlimen, manakala perubahan struktur menyentuh asas susunan kuasa negara.
Cara dan tempat cadangan ini dibangkitkan juga menimbulkan persoalan. Apabila seorang Ketua Hakim yang masih memegang jawatan menyuarakan pandangan terbuka mengenai kedudukan eksekutif dalam pelantikan kehakiman, apatah lagi di pentas antarabangsa, ia menimbulkan cabaran terhadap persepsi awam.
Masyarakat menjangkakan hakim kekal berkecuali dan menyampaikan pendirian melalui keputusan penghakiman, bukan menerusi ucapan atau kenyataan terbuka. Apabila suara kehakiman terlalu menonjol dalam perbahasan perlembagaan atau politik, risiko terhadap kewibawaan dan kebebasan institusi itu pasti meningkat.
Namun, ini tidak bermaksud institusi kehakiman perlu berdiam diri. Sebarang cadangan yang menyentuh struktur negara harus disalurkan melalui proses yang sah iaitu Parlimen, konsultasi terbuka dan libat urus dengan semua pihak berkepentingan. Ia tidak wajar dipelopori oleh mereka yang masih memegang jawatan dalam institusi yang terlibat secara langsung. Nilai dan kekuatan institusi kehakiman terletak pada kemampuannya untuk kekal berkecuali, bukan pada keterlibatannya dalam wacana yang sewajarnya dikemudi oleh cabang legislatif dan eksekutif.
Krisis kehakiman 1988 sering dijadikan rujukan untuk menyokong keperluan reformasi. Namun, sejarah tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menstruktur semula sistem secara tergesa-gesa. Banyak kemajuan telah dicapai sejak itu. Penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada tahun 2009 merupakan langkah penting ke arah ketelusan dan integriti. Sekiranya ada kelemahan, ia perlu diperbaiki melalui pengukuhan institusi sedia ada, bukan dengan mengetepikan keseimbangan peranan yang telah dirangka secara berperlembagaan.

Pandangan Nazri, walaupun tidak popular dalam kalangan tertentu, mengingatkan kita kepada asas yang tidak boleh diabaikan. Jika proses yang digunakan selama ini dikatakan cacat, maka pelantikan-pelantikan yang dibuat melaluinya turut terpalit dengan persoalan yang sama termasuk pelantikan mereka yang kini menyokong perubahan itu. Ini bukan soal individu. Ia menyentuh kesetiaan terhadap prinsip dan kejujuran dalam menilai sesuatu proses secara konsisten. Ketidakselarasan dalam berpegang kepada prinsip hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap usaha pembaharuan itu sendiri.
Reformasi yang sebenar tidak boleh digerakkan oleh desakan semasa. Ia mesti dibina atas prinsip yang kukuh, proses yang sah dan penyertaan menyeluruh daripada semua institusi dalam sistem pemerintahan. Badan kehakiman memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan undang-undang, tetapi ia bukan satu-satunya penjaga sistem. Apabila mana-mana institusi mula menetapkan sendiri batas kuasanya tanpa mekanisme semak dan imbang yang jelas, ia membuka ruang kepada ketidakharmonian dalam tadbir urus. Walaupun niatnya baik, kesannya boleh menggugat keyakinan rakyat.
Kebebasan kehakiman tidak boleh dipisahkan daripada kerangka Perlembagaan. Ia hanya akan benar-benar berfungsi apabila semua institusi utama negara memahami sempadan peranan masing-masing dan bertindak secara bersama. Demokrasi yang matang tidak dibina dengan memperkasakan satu pihak secara mutlak, tetapi dengan memastikan keseluruhan sistem bergerak dalam keseimbangan, ketelusan dan saling melengkapi. Inilah asas kepada sebuah negara yang berwibawa, apabila prinsip keadilan dan kesederhanaan dijadikan panduan bersama.
MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
