Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
ULASAN | Idris jangan cepat melatah kaitkan Zahid - ulama Umno

ULASAN | Kekanda saya, Ustaz Idris Ahmad jangan melatah; pembangunan Kelantan adalah dengan kerjasama Persekutuan.

Jarang saya menulis secara langsung menyentuh nama individu-individu, namun kali ini saya tertarik dengan peringatan kekanda saya dalam politik dan sahabat lama yang saya sayang dan hormati, Idris terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi agar "menjaga tutur kata" setelah beliau dilaporkan berkata Kelantan akan ketinggalan dalam pembangunan tanpa pembiayaan kerajaan persekutuan.


BACA BERKAITAN: Jaga tutur kata atau rakyat ajar di peti undi, Idris ingatkan Zahid


Kenapa Idris yang saya hormati begitu cepat melatah? Sedangkan kenyataan itu adalah benar bagi memperingatkan bahawa segala pembangunan besar dan kebajikan yang dinikmati oleh Kelantan sekarang adalah hasil usaha kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Idris perlu diperingatkan kerana barangkali beliau terlupa, dalam isu bekalan air yang menghantui rakyat Kelantan puluhan tahun, sebagaimana kata Zahid, Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi membantu menyelesaikannya.

Dalam menghadapi situasi banjir besar, Zahid pernah mengumumkan pada 2023 peruntukan 68 juta untuk Kelantan dan Terengganu dengan menegaskan "tiada pilih kasih walaupun negeri ditadbir pembangkang". Itu mungkin Idris terlupa juga.

Menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula, peruntukan pembangunan disalurkan Kerajaan Pusat untuk Kelantan untuk 2023 adalah sebanyak RM3.19 bilion menyaksikan peningkatan berganda berbanding 2022 sebanyak RM1.55 bilion sahaja.

Sebanyak RM1 bilion disediakan oleh kerajaan Pusat untuk Fasa kedua Projek Lembangan Sungai Bersepadu bermula April 2025 bagi menangani banjir di Kelantan kerana menurut Anwar, "Kelantan memang ada sedikit perbezaan namun tujuan kita adalah sama mahu mengangkat martabat negara dan negeri".

Itu semua adalah komitmen kerajaan Persekutuan dibawah payung kerajaan perpaduan yang diterajui oleh Anwar dan Zahid. Tiada pilih kasih walau untuk negeri ditadbir pembangkang di peringkat negeri.

Menariknya, Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud dilihat sangat mesra dengan Anwar dan Zahid bahkan selalu turun ke Putrajaya meraikan program-program besar negara.

Saya bersangka baik barangkali ia bagi memperakui kerjasama erat antara kerajaan PAS Kelantan dan Kerajaan Perpaduan hari ini dalam usaha membangunkan Kelantan yang kita sayangi sebagai negeri teduhan ulama.

Perundingan, perbincangan, saling kunjung hormat dan hubungan mesra dan baik adalah strategi terbaik dalam kerangka budaya politik matang dan sejahtera bagi merundingkan pelbagai keperluan pembangunan negeri berbanding provokasi-provokasi politik yang saling menyalahkan dan saling menuduh yang tidak menguntungkan dan jauh daripada akhlak Islam.

Kekanda saya, Idris perlu diperingatkan bahawa ucapan Zahid itu adalah respon terhadap dakwaan Speaker DUN Mohd Amar Abdullah bahawa pembangunan di Kelantan telah disekat dan dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan sejak sekian lama.

Saya rasa sekatan pembangunan di Kelantan sebelum era Kerajaan Perpaduan perlu diajukan kepada Dr Mahathir Mohamad yang sekarang dipuji dan dipuja oleh pimpinan PAS termasuk Idris sendiri.

Ajukan pada beliau persoalan kenapa tiada lebuh raya bertol di Kelantan sebagaimana keluhan Mohd Amar kerana Mahathir menjadi perdana menteri selama 22 tahun sejak 1981 sehingga 2003. Atau Idris boleh bertanya juga pada pimpinan Umno kelantan yang kini menjadi pimpinan utama PAS sebagai ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Satu lagi, saya peringatkan pada abang saya, Ustaz Idris, janganlah juga cepat melatah dengan mengaitkan pula Zahid dengan beberapa insiden keterlanjuran kata yang beliau sendiri telah memohon ampun kepada Allah dan memohon maaf pada awam. Usahlah diungkit-ungkit.

Marilah kita kenang pelbagai kenangan manis ketika bersama dulu dalam Muafakat Nasional dengan turut menjaga tutur bicara dan memilih kata.

Barangkali Idris terlupa dia juga manusia biasa yang ada tersasul kata. Bukan sekali.

Idris perlu diperingatkan jika terlupa dengan kata-kata beliau tentang Mahathir dulu: "Sepuluh Mahathir cakap 13 tidak boleh percaya".

Kata Idris lagi, Mahathir ini seperti ‘berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

Itu beliau sebut dalam Harakahdaily sebelum hari ini dia memuja dan memuji Mahathir.


KHAIRUDDIN AMAN RAZALI setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS