ULASAN | Pengumuman Malaysia membeli pesawat baru Boeing 737 yang dikaitkan dengan timbal balas penurunan tarif AS (daripada 25 peratus kepada 19 peratus) yang diumumkan Presiden Donald Trump baru-baru ini menarik pelbagai pendapat negatif, namun tidak semuanya benar.
Pada dasarnya, Boeing menjadi pilihan armada Penerbangan Malaysia (MAS) secara tradisi, atau seawal 1969. Malah MAS menjadi pengguna pertama pesawat B737-100 di Asia Tenggara.
Kepakaran MAS untuk mengendalikan armada Boeing secara umumnya – dan 737 khasnya – telah diakui dunia dengan sayap kejuruteraannya menerima projek penyelenggaraan bukan saja dari negara Asia malah Eropah.
Kita mempunyai pengalaman yang panjang dalam mengendalikan pesawat Boeing. Justeru tidak hairanlah jika kita menggantikan armada lama Boeing 737 dengan variasi baru.

Mungkin ramai yang bertanya: Kenapa perlu tukar pesawat sekarang? Adakah pembelian itu semata-mata untuk menggembirakan hati Trump?
Jawapan pendeknya – tidak. Ada banyak sebab kenapa MAS perlukan armada 737 baru sekarang, antaranya untuk mengukuhkan kepercayaan umum kepada perkhidmatan MAS sebagai syarikat penerbangan yang sentiasa tepat pada masanya.
Untuk memudahkan faham, pesawat baru bermakna kurang risiko rosak, yang kemudiannya terikat dengan ketersediaan alat ganti.
Keadaan itu mampu memastikan setiap penumpang terbang mengikut jadual.
Proses yang tak mudah
Sebenarnya sejak Ogos 2024, MAS mengurangkan jumlah perjalanan dengan drastik bagi menumpukan kualiti perkhidmatan akibat masalah operasi, termasuk ketiadaan alat ganti, yang turut dihadapi syarikat-syarikat penerbangan lain di seluruh dunia.
Untuk menggambarkan betapa tuanya pesawat Boeing 737 MAS sekarang, kita ambil contoh 9M-MXA yang kini sudah berumur 15 tahun. Ia mula dioperasikan pada 2010 yakni ketika Najib Razak baru setahun menjadi perdana menteri.
Pada tahun itulah juga iPhone 4 dilancarkan.

Untuk mereka yang kurang fasih tentang istilah-istilah pesawat pula, Boeing dan Airbus itu boleh diumpamakan seperti Proton dan Perodua. Ia merujuk kepada syarikat yang berbeza dari negara berbeza.
Boeing beribu pejabat di AS manakala Airbus pula kerjasama beberapa pengilang dari negara-negara Eropah. Siri 737 pula merujuk kepada model pesawat. Seperti Saga yang mempunyai variasi – seperti keluaran pertama (1985), dan terbaru pada tahun ini.
Selain 737, Boeing juga menghasilkan pelbagai armada lain seperti 777, 787 sepertimana X50 dan X70 sesuai dengan keperluan pengguna yang berbeza.
MAS memang dalam proses peremajaan armada 737 yang menjadi tunjang kepada syarikat penerbangan negara untuk menghubungkan laluan jarak dekat dan sederhana – seperti laluan domestik dan serantau.

Namun proses tersebut tidak mudah memandangkan pengilang pesawat mempunyai tunggakan penghantaran yang sangat besar. Sebagai contoh, Boeing saja terlewat menghantar pesanan pesawat yang menjangkau AS$460 bilion.
Masalah sama turut dihadapi oleh Airbus.
Ia membuatkan MAS pada April lalu cuba untuk memotong proses menunggu dengan menawarkan diri mengambil pesawat yang dibatalkan oleh syarikat-syarikat penerbangan China.
Realitinya Malaysia Aviation Group – syarikat induk MAS – sedang kembali berkembang setelah mencatatkan keuntungan pertama dalam tempoh sedekad.

Namun, usaha untuk bangkit itu perlukan bukan sahaja pesawat dan tenaga kerja mahir bahkan imej dan nafas segar.
Kesimpulannya, tidak benar tuduhan bahawa Malaysia terpaksa membeli pesawat Boeing untuk menggembirakan hati Trump sekali gus menurunkan tarif barangan import kita.
Itu memang tidak betul kerana memang ada keperluan yang mendesak untuk MAS menggantikan armada 737 yang telah uzur sekarang.
Tidak wajar pesawat MAS dibiar terus ketinggalan zaman, beroperasi dengan teknologi dalam kabin yang lapuk, bunyi bising, kos penyelenggaraan tinggi, kerap rosak dan akhirnya selalu lewat dari jadual.
Komentar miring racun minda
Ia akhirnya akan mengikis imej dan kepercayaan para penumpang.
Sebagai pembawa bendera Malaysia ke seluruh dunia, membiarkan MAS dalam keadaan sebegitu serupalah dengan mengibarkan Jalur Gemilang yang lusuh dan koyak di pentas global.
Malaysia kini sedang dalam proses pemulihan yang rancak.
Kita faham, untuk bersifat kritikal itu baik dan dijanjikan dalam kebebasan bersuara. Bagaimanapun, tidak kurang pentingnya sandarkanlah hujah itu kepada fakta.
Komentar yang miring kepada perasaan hanya berpotensi menjadi racun terhadap minda masyarakat.
ZULFADZLI HALIM seorang jurutera pesawat yang pernah berkhidmat untuk beberapa syarikat penerbangan dan MRO, mempunyai kelayakan memeriksa dan menyelenggara armada 737 generasi klasik dan generasi baru.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
