ULASAN | Malaysia sedang dalam persiapan untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean, sebuah perhimpunan yang seharusnya menzahirkan perpaduan, ketahanan dan visi keamanan Asia Tenggara.
Namun, ada satu perkembangan yang mengancam semangat ini, jemputan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump.
Ini bukan sekadar lawatan diplomatik yang biasa. Menyambut Trump dengan tangan terbuka bererti mengiktiraf seorang pemimpin yang dasar dan retoriknya telah secara aktif membolehkan berlakunya genosid serta menggalakkan budaya kezaliman tanpa hukuman.
Malaysia, yang sejak sekian lama dikenali dengan kepimpinan moralnya dalam isu Palestin dan keadilan antarabangsa, tidak mampu mengkhianati prinsipnya sendiri. Asean juga berisiko kehilangan kewibawaan jika membenarnya dirinya menjadi pentas kepada politik perpecahan yang dibawa oleh Trump.

Tuduhan ini bukan sekadar retorik. Penggal pertama pemerintahan Trump telah membuka jalan kepada kemusnahan di Gaza yang kita saksikan hari ini. Dengan sokongan tanpa syarat AS yang diberikan kepada kerajaan Netanyahu, Trump menghapuskan segala bentuk kawalan yang masih tinggal terhadap kekejaman Israel.
Trump telah memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis, mengiktiraf aneksasi haram Israel, dan memotong bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Ini semua dalah tindakan-tindakan yang bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pentadbiran Trump menghalang Israel daripada dipertanggungjawabkan. Semua tindakan ini memberi kebebasan penuh kepada Israel untuk meningkatkan serangan ketenteraan.
Hasilnya, bukan sekadar penjajahan yang masih berpanjangan, tetapi pembunuhan beramai-ramai — puluhan ribu orang awam terbunuh, seluruh kejiranan dimusnahkan, dan sebuah bangsa dinafikan maruah serta hak untuk terus hidup.

Kini, pada penggal kedua, Trump terus menggandakan pendiriannya. Di Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini, beliau menyeru agar peperangan dihentikan “serta-merta”, namun enggan mengecam pengeboman tanpa henti oleh Israel.
Trump menyalahkan Hamas, tetapi tidak menyebut langsung pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel. Malah, beliau mendabik dada kononnya berjaya “mengakhiri tujuh peperangan” dan menuntut anugerah Nobel Keamanan. Kontradiksi ini terlalu ketara: Ketika Gaza menguburkan anak-anaknya, Trump mempamerkan diri sebagai pendamai.
Lebih mengeruhkan keadaan, pentadbirannya menggantung majoriti visa pelawat untuk rakyat Palestin — termasuklah pegawai-pegawai tinggi — untuk masuk ke AS, sekali gus menafikan akses mereka ke pendidikan, rawatan perubatan, atau sekadar peluang untuk bersuara di PBB.
Sebuah negara yang membisukan Palestin tetapi melindungi Israel tidak boleh mendakwa dirinya mengetuai usaha damai.

Malaysia sejak dahulu lagi sentiasa berdiri teguh bersama Palestin. Di PBB, dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta melalui forum dua hala, Malaysia mempertahankan hak Palestin sebagai satu amanah moral. Ini sebahagian daripada identiti kebangsaan tanah air kita.
Membenarkan Trump menjejakkan kaki ke bumi Malaysia pada saat pentadbirannya terus mengahalalkan kekejaman Israel akan memusnahkan legasi kepimpinan moral yang telah dibina selama beberapa dekad. Walhal, ia akan menjadi sekadar peluang foto bagi Trump untuk menutup keterlibatan beliau dalam genosid di sebalik topeng “semangat kenegaraan”.
Angka-angka sudah cukup untuk menceritakan segalanya. Sejak Oktober 2023, lebih daripada 65,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza, hampir satu pertiga daripada mereka ialah kanak-kanak.
Lebih 50,000 kanak-kanak telah terbunuh atau cedera dalam tempoh kurang daripada dua tahun. Sistem kesihatan Gaza kini berada di ambang kehancuran, hospital-hospital sesak dengan “gelombang besar pesakit,” sementara seorang daripada lima kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk. Ini bukan masa untuk berpegang kepada protokol; ini masa untuk mempertahankan prinsip.

Penyokong kepada kehadiran Trump akan berhujah bahawa Asean mesti berinteraksi dengan semua kuasa besar, tanpa mengira siapa presidennya. Namun, berkecuali tidak bermakna buta. Kredibiliti Asean terletak pada keberanian untuk menjadi lebih daripada sekadar pentas persaingan kuasa-kuasa besar.
Kehadiran Trump akan mengganggu keseimbangan ini. Dasar luar beliau bersifat transaksional secara terbuka: sekutu ditekan, lawan dihina, dan kerjasama dijadikan bahan tawar-menawar. Beliau mempunyai rekod memaksa negara-negara untuk memilih pihak, sekali gus melemahkan perpaduan dan kebebasan Asean.
Tindakan menjemputnya memberi gambaran bahawa Asean bersikap acuh tak acuh terhadap genosid. Pada ketika 156 daripada 193 negara anggota PBB telah mengiktiraf negara Palestin, Amerika Syarikat kekal dalam sekelompok kecil yang menolak langkah ini.
Washington telah menggunakan undi vetonya untuk membantah permohonan keanggotaan Palestin di PBB, dengan alasan bahawa status kenegaraan hanya boleh dicapai melalui “rundingan terus” — suatu langkah yang tidak pernah dipatuhi oleh Israel. Menyambut Trump yang mempunyai rekod sebegini adalah suatu keputusan yang mengabaikan tuntutan majoriti dunia terhadap keadilan.

Pada 29 September lalu, Trump bertemu Netanyahu di Washington untuk melancarkan “20-Point Gaza Peace Proposal.” Dihasilkan sebagai pelan pemulihan semula, ia menempatkan Gaza di bawah jawatankuasa teknokrat sementara yang diselia oleh sebuah “Lembaga Keamanan” antarabangsa yang dipengerusikan sendiri oleh Trump, dengan tokoh-tokoh seperti Tony Blair (seorang lagi pendokong genosid bersiri).
Ternyata pelan itu berat sebelah. Ia menuntut perlucutan senjata Gaza tetapi menutup mata dari jenayah perang Israel. Gaza dianggap sebagai wilayah untuk diurus, bukan sebahagian daripada Palestin berdaulat.
Rancangan ini berisiko menginstitusikan penguasaan Israel dengan berselindung di sebalik keabsahan antarabangsa yang palsu. Seperti yang diperhatikan oleh ramai penganalisis, ini bukanlah pelan damai, tetapi alat geopolitik semata-mata.
Malaysia tidak boleh memberikan legitimasi kepada sandiwara seperti ini.

Dalam negara sendiri, suara yang menolak kehadiran Trump semakin lantang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga memberi amaran bahawa menjemput Trump hanya akan mencemarkan integriti Malaysia.
Menolak Trump di Asean tidak bermakna menutup pintu kepada perhubungan dengan Washington. Kita masih boleh berinteraksi dengan Kongres, komuniti perniagaan, dan masyarakat sivil A.S tanpa perlu mengiktiraf seorang presiden yang mendukung genosid.
Lebih mengeruhkan adalah kelemahan terbesarTrump, iaitu, beliau sendiri tidak mampu menjamin bahawa apa-apa persetujuan akan dapat dilaksanakan. Seperti dihuraikan oleh EMIR Research (rujuk “Zionism at the Edge: The Terminal Overreach of a Fading Project”, “From Tweets to Tectonics: NATO’s Void and the Global South’s Rise”) bahawa usaha Trump akan sering digagalkan oleh kompleks ketenteraan-perindustrian AS serta sekutu Eropahnya yang sentiasa meraih keuntungan daripada peperangan yang tiada penghujung. Segala janji damainya dimungkiri sebaik sahaja ia diucapkan.
Contoh terbaru berlaku di Qatar pada 9 September 2025. Ketika rundingan dengan Hamas berlangsung atas jemputan peribadi Trump, jet pejuang Israel melancarkan serangan, membunuh pengawal serta ahli keluarga perunding sementara para perunding hanya nyaris-nyaris terselamat daripada terkorban di dalam serangan tersebut.

Serangan itu tetap berlaku walaupun Qatar telah menempatkan pangkalan AS terbesar di rantau itu dan turut melabur dalam sistem pertahanan peluru berpandu Amerika. Mesejnya amat jelas: Trump tidak mengawal kuasa AS., apatah lagi tindakan Israel. Jaminannya dimungkiri dalam masa nyata.
Bagi Malaysia dan Asean, ini bererti berurusan dengan Trump bukan sahaja satu tindakan yang muflis dari segi moral, tetapi juga merugikan dari sudut strategik. Segala perjanjian yang dimeterai di hadapan Trump tidak boleh dipercayai, kerana jentera di sekelilingnya terus bergerak secara automatik tanpa kawalan.
Di luar soal prinsip, menjemput Trump membawa risiko yang nyata dan berlapis. Sikapnya yang konfrontasional terhadap China berpotensi menyeret Asean ke dalam persaingan geopolitik sifar hasil yang hanya memecah-belahkan rantau ini, memaksa negara-negara untuk memilih pihak dan menjejaskan semangat berkecuali yang menjadi asas Asean.
Dasarnya yang kembali kepada tarif perlindungan pula mengancam kestabilan perdagangan dan pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara yang kini bergantung kepada rantaian bekalan global dan pasaran terbuka. Lebih membimbangkan, pembelaannya yang tidak berbelah bahagi terhadap Netanyahu pasti mencetuskan gelombang bantahan di Malaysia dan di seluruh dunia Islam.

Akhirnya, persoalannya jelas; apakah yang kita peroleh? Tidak lebih daripada tontonan politik yang sia-sia. Apa yang kita pertaruhkan? Kredibiliti negara, keneutralan Asean, serta wibawa moral Malaysia di mata dunia.
Terdapat juga persoalan mengenai maruah. Trump tidak datang untuk berinteraksi; beliau datang untuk berlakon. Lawatannya adalah sebuah persembahan di mana beliau menggambarkan dirinya sebagai ketua perunding dunia, sementara yang lain diremehkan menjadi pengikut atau sebagai vasal semata-mata. Malaysia dan Asean harus menolak skrip ini.
Dunia kini sedang bergerak ke arah pentadbiran multipolar yang lebih adil dan seimbang. Menerima teater Trump bererti Malaysia melangkah ke belakang, ke arah ketundukan pada saat negara-negara Global South mula bersuara dengan keyakinan dan harga diri sendiri.
Malaysia sejak dahulu menonjol bukan kerana kekuatan ketenteraan, tetapi kerana kejelasan moral dan prinsip kemanusiaan.

Menjemput Trump hanya akan meruntuhkan legasi ini. Malaysia harus meneguhkan kepimpinannya di kalangan negara-negara Global South dengan pendirian yang jelas, mereka yang bersekongkol dengan genosid tidak dialu-alukan.
Sidang Kemuncak Asean seharusnya berteraskan tentang perpaduan, kerjasama, dan ketahanan — bukan menjadi ruang untuk seorang individu yang jelas menghina undang-undang antarabangsa.
Malaysia mesti bertindak dengan tegas. Trump tidak wajar dijemput. Jika Trump berkeras untuk hadir, Malaysia mesti berani untuk menyatakan: bukan di sini, bukan sekarang, dan bukan selama-lamanya.
RAIS HUSSIN ialah Pengasas Emir Research, sebuah badan pemikir yang memberi tumpuan kepada cadangan dasar strategik berasaskan penyelidikan yang teliti.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semetinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakni.
