ULASAN | Hari ini, istilah propaganda sering dianggap negatif. Momokan kejahatan melalui bermacam label buruk yang tular di media sosial sebagai “murahan” terhadap sesuatu yang tidak dipersetujui hingga semudahnya memberi takrifan kepada penyokong lawan sebagai “termakan” adalah sikap yang perlu digugat.
“Politik murahan” dan “termakan propaganda” hanyalah sebahagian kecil dari ratusan istilah yang telah dipesongkan dalam wacana politik Malaysia sampai ia disinonimkan dengan berita palsu, penipuan, dan manipulasi jahat.
Sebetulnya sejarah sebenar propaganda adalah jauh lebih panjang dan kompleks. Mula muncul sebagai satu bentuk ilmu komunikasi yang bukan saja sah, malah terhormat.
Propaganda kemudiannya dicemari oleh tangan tokoh-tokoh politik ekstrem abad ke-19 dan ke-20 seperti Napoleon, Joseph Goebbels dan Adolf Hitler.

Hari ini, sungguhpun imejnya masih bercampur-baur dengan kejahatan, propaganda kembali popular berfungsi sebagai alat penyebar dan penyubur kebaikan seperti kempen kesihatan, cintai alam sekitar dan promosi perpaduan.
Artikel ini akan menelusuri perjalanan panjang istilah ini, menggugat stereotaip negatif, dan mengajak kita melihatnya dengan pandangan yang lebih seimbang.
Asal-usul dari gereja
Propaganda adalah perkataan yang berasal daripada bahasa Latin berbunyi propagare, yang bermaksud “menyebarkan”. Ia mula digunakan secara rasmi pada tahun 1622, apabila Paus Gregory XV menubuhkan Sacra Congregatio de Propaganda Fide (Kongregasi Penyebaran Iman) yang dibentuk sebagai Counter-Reformation yang diusahakan Gereja Katolik bagi menangkis pengaruh Reformasi Protestan yang berkembang pesat di Eropah.
Pada tahap ini, propaganda masih dipandang sakral dan mulia. Ia dianggap positif kerana propaganda merujuk kepada penyebaran ajaran agama secara sistematik. Aktiviti “propaganda” pada masa itu termasuklah aktiviti mencetak kitab, mengatur misi pendakwahan, dan kerja mengedarkan risalah ke kawasan yang menjadi sasaran pengaruh gereja.
Walaupun perkataan itu hanya muncul pada abad ke-17, namun tindakan ke arah itu sudah wujud sekian lama. 4,500 tahun dahulu Piramid Agung Giza sudah wujud. Bangunan piramid ini adalah simbol kebanggaan, kemuliaan dan kekayaan Raja Mesir Purba. Secara tidak langsung ia menepati objektif propaganda untuk ‘mempertingkatkan imej diri’.
Dari neutral ke senjata politik
Imej propaganda mula berubah pada abad ke-18 dan ke-19 apabila ia mula digunakan dalam konteks politik moden. Napoleon Bonaparte yang terkenal dengan akhbar rasmi Bulletins misalnya, menggunakan media tersebut sebagai medium propaganda sehingga kekalahannya di Acre, Syria pada 1799 berjaya dipersembahkan kepada rakyat Perancis sebagai “kemenangan bergaya” demi menaikkan moral dan semangat nasionalis rakyat.
Era ini menyaksikan peringkat evolusi propaganda yang mula bergerak daripada sekadar alat penyebaran maklumat kepada pembentukan realiti alternatif. Dari sinilah muncul bibit-bibit persepsi yang membawa propaganda naik ke peringkat seterusnya menjadi alat manipulasi.
Sejak itu pada sekitar penghujung 1800-an, imej dan persepsi propaganda makin memburuk. Ketika Anarchist London Congress berlangsung dan tampil memperkenalkan perkataan “Propaganda by the deed.” Ketegangan, keganasan dan pengeboman yang tercetus telah mencipta inspirasi penentangan terhadap kapitalis hingga penentangan itu menganggap kerajaan sebagai jahat dan penindas.

Tokoh seperti Karl Marx dan Carlo Pisacane memanfaatkan propaganda bagi menyebarkan ideologi perjuangan yang menggabungkan tindakan radikal sebagai mesej politik.
Zaman Kelam: Goebbels dan Hitler
Imej propaganda seterusnya menjadi sangat jahat dan paling negatif pada abad ke-20, apabila rejim Nazi Jerman memanfaatkannya sebagai alat kawalan rakyat.
Joseph Goebbels yang terkenal dengan kata-kata “demokrasi memberi musuhnya alat untuk menghancurkannya sendiri” adalah Menteri Propaganda Nazi dari 1933 hingga 1945 yang menguasai radio, filem, seni, dan pendidikan dengan tujuan untuk menyebarkan ideologi Nazi. Dia menggabungkan fakta separa, emosi marah, simbolisme, dan pengulangan mesej untuk memastikan rakyat Jerman patuh dan tunduk dengan visi Hitler.
Menurut Adolf Hitler pula melalui bukunya Mein Kampf, bab 10, dia menegaskan bahawa propaganda mesti bersifat emosional dan mudah difahami massa. “Propaganda yang berkesan,” katanya, “boleh menjadikan syurga kelihatan seperti neraka dan neraka kelihatan seperti syurga”.

Kesan pengaruh propaganda telah memberi kekhuatiran pihak berkepentingan. Ini dapat dilihat apabila sebuah badan pemikir dan pelatihan propaganda yang dikenali sebagai Institute for Propaganda Analysis (IPA), Amerika Syarikat hanya mampu bertahan 5 tahun kerana sikap kritikal dan skeptikal sekeliling terhadap propaganda yang dilihat sebagai “mengganggu perpaduan nasional.”
Propaganda alat neutral
Walaupun sejarah abad ke-20 memburukkan nama propaganda, ahli akademik mengingatkan kita bahawa istilah ini secara teknikal adalah neutral.
Ahli teori komunikasi Harold Lasswell mentakrifkan propaganda sebagai “alat saintifik pengurusan sikap dengan manipulasi simbol-simbol signifikan”. Simbol merupakan produk tanpa hujah namun berkait rapat dengan emosi seperti logo, slogan, bendera dan foto.
Definisi ini tidak mengandungi unsur moral; ia hanya menerangkan proses. Ketika Perang Dunia Pertama (1914–1918), negara-negara besar membina jentera propaganda rasmi untuk mengawal naratif perang. Lasswell mendokumentasikan teknik ini dalam kajiannya Propaganda Technique in the World War, dengan memanggilnya sebagai “senjata psikologi” untuk memobilisasi sokongan rakyat.
Edward Bernays, tokoh yang digelar Bapa Propaganda Moden menyifatkan propaganda sebagai “manipulasi halus mengawal pendapat awam secara tersirat.” Bagi Bernays propaganda secara tersirat berpunca daripada sifat masyarakat yang tidak mampu membuat keputusan secara rasional. Dia menyatukan elemen perhubungan awam dengan mewujudkan imej, kepercayaan dan tindakan menerusi penggunaan psikologi bawah sedar.
Jacques Ellul, dalam bukunya Propaganda: The Formation of Men’s Attitudes, menegaskan bahawa propaganda bukan sekadar alat komunikasi, akan tetapi ia adalah suatu sistem sosial yang menstruktur cara berfikir dan bertindak. Kehidupan yang kompleks memerlukan propaganda untuk membentuk naratif yang sederhana dan jelas, musuh yang nyata dan jawapan yang mudah.
Propaganda moden bukan suatu kebohongan yang mutlak. Sebaliknya, ia menggunakan kebenaran terpilih, fakta separa, atau konteks yang diubah suai. Menurut Ellul, inilah yang menjadikannya lebih berkesan dan kelihatan benar.
Noam Chomsky dan Edward Herman pula melalui karya Manufacturing Consent mengemukakan Model Propaganda Baharu. Model itu menjelaskan bagaimana media arus perdana milik kapitalis di negara demokratik juga boleh menjadi alat propaganda pihak berkuasa. Ia boleh berlaku bukan melalui penipuan terang-terangan tetapi melalui penetapan agenda, pemilihan sumber berita, dan penapisan maklumat.
Propaganda di era digital
Hari ini, propaganda tidak hanya datang daripada kerajaan atau institusi besar. Melalui media sosial, sesiapa sahaja boleh menjadi organisasi propagandis yang menggerakkan apa saja gerakan termasuk kempen politik, pemasaran produk, atau kempen sosial.
Algoritma platform seperti Facebook, X (Twitter), dan TikTok membolehkan mesej tertentu disasarkan dengan tepat kepada kumpulan sasaran hingga menguatkan lagi kesan ke atas subjeknya.

Kelebihan ini bukan saja sekadar membuka lebih banyak peluang, tetapi sebaliknya ia juga membawa seribu satu risiko kepada masyarakat awam. Propaganda yang boleh digunakan untuk menyebarkan maklumat kesihatan awam dan membina perpaduan itu juga sebaliknya membuka ruang untuk menyemai kebencian atau berita palsu dengan lebih mudah.
Sungguhpun imej propaganda masih sering dianggap jahat dan negatif, akan tetapi realitinya ada banyak contoh yang menonjolkan wajah baik dan sisi positif propaganda yang boleh dimanafaatkan untuk tujuan membina negara dan bangsa.
Dalam isu kesihatan awam contohnya, kempen vaksinasi Covid-19 menggunakan naratif solidariti, tanggungjawab sosial, dan visual positif bagi menggalakkan penerimaan masyarakat.

Demikian juga dalam isu yang berkait dengan alam sekitar, sepertimana kempen perubahan iklim. Pemanfaatan informasi video, infografik, dan testimoni selebriti mampu mempengaruhi sikap masyarakat untuk lebih memesrai alam.
Selain itu banyak lagi contoh lain yang boleh dilihat pada hasil bagaimana iklan Hari Kemerdekaan yang berjaya mengangkat nilai toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang ditonjolkan sebagai propaganda dalam promosi hari kebangsaan.
Pengalaman Malaysia apabila berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, remedi menerusi doktrin negara bernama Rukun Negara dengan pendekatan propaganda integratif bertujuan memastikan kestabilan dan pematuhan ideologi secara sukarela.
Dalam semua kes ini, teknik propaganda digunakan seperti pengulangan mesej, simbol yang kuat, dan pendekatan emosi bertujuan untuk mendapatkan hasil yang positif.
Stereotaip propaganda
Mitos bahawa propaganda hanya bermaksud penipuan sebenarnya berpunca daripada pengalaman traumatik abad ke-20. Era itu menyaksikan bagaimana rejim totalitarian seperti Nazi Jerman menggunakan propaganda untuk memenangi perang yang mereka cetuskan.
Trauma melihat bagaimana mereka sewaktu perang dunia kedua memanipulasi emosi massa untuk tujuan yang merosakkan dan memupuk kebencian kaum hingga membenarkan penindasan serta pembunuhan berskala besar sememangnya pengalaman pahit yang tak terpadamkan.
Inilah yang menanamkan imej propaganda sebagai kejahatan yang selalu disinonimkan dengan tipu muslihat, kawalan minda dan pembohongan.
Namun, jika kita menelusuri sejarahnya secara ilmiah dan menyeluruh, hakikatnya propaganda hanyalah satu alat komunikasi persuasif, sama seperti pisau. Pisau boleh digunakan untuk menyediakan makanan atau membunuh; tetapi nilainya ditentukan oleh niat dan tangan yang memegangnya. Begitu juga dengan propaganda: ia boleh menjadi alat pembinaan atau pemusnahan.
Di sinilah pentingnya kefahaman masyarakat tentang sejarah dan mekanisme propaganda.
Pertama, kita dapat melindungi diri daripada manipulasi. Dengan mengenali teknik dan taktik propaganda kita lebih kebal terhadap maklumat yang menyesatkan. Kesedaran kritikal ini membolehkan kita menilai setiap mesej dengan lebih adil dan rasional tanpa mudah terpengaruh oleh sentimen yang direka untuk menggoyahkan pendirian.
Kedua, kita boleh memanfaatkannya untuk kebaikan. Sama seperti strategi komunikasi lain, propaganda boleh digerakkan untuk kempen pendidikan awam, advokasi sosial, atau pembinaan masyarakat. Bayangkan kempen keselamatan jalan raya yang berjaya mengubah sikap pemandu melalui slogan mudah diingati, atau gerakan kesedaran alam sekitar yang menginspirasikan tindakan berjuta orang melalui visual yang menyentuh hati. Semua ini adalah bentuk propaganda positif yang memberi kesan nyata.
Akhirnya, menggugat mitos propaganda bukanlah usaha untuk membersihkannya sepenuhnya daripada sejarah kelamnya, tetapi untuk mengembalikan kefahaman yang seimbang. Dengan kesedaran kritikal, kita bukan sahaja dapat menolak propaganda yang menipu dan memecah belah, tetapi juga mencipta propaganda yang menyatukan, menginspirasikan, dan memperkasa masyarakat.
Di tangan yang tepat dan dengan niat yang jernih, propaganda boleh menjadi alat komunikasi yang membina masa depan yang lebih baik dan bukannya senjata yang mengulang tragedi masa lalu.
Propaganda tidak akan hilang daripada kehidupan moden. Ia wujud di sekeliling kita setiap hari dalam berita, iklan, ucapan, malah meme di media sosial. Yang membezakan ialah tujuan dan cara ia digunakan.
Menggugat mitos propaganda bermakna mengakui sejarahnya yang kompleks: lahir di gereja sebagai alat dakwah, dicemari oleh manipulasi politik abad ke-19 dan ke-20, dan kini boleh digunakan semula untuk membina masyarakat. Kita harus memandangnya secara objektif bukan dengan hanya melihat bahayanya, tetapi memahami serta memanfaatkan juga kekuatannya.
BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
