Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Dalam perjalanan panjang dunia sastera, kata bukan sekadar rangkai bunyi atau tinta yang melekat di kertas. Kata ialah maruah. Ia lahir daripada pengalaman hidup, luka yang dipendam, pengamatan yang jujur dan kesunyian panjang yang hanya difahami oleh mereka yang setia kepada meja tulis.

Sebab itulah, apabila kata itu dicuri, yang tercalar bukan sekadar hak cipta, tetapi harga diri, amanah intelektual dan kepercayaan terhadap seluruh ekosistem persuratan.

Saya menulis bukan sebagai orang baharu yang masih mencari suara, tetapi sebagai seseorang yang telah lama bernaung di bawah langit sastera tanah air.

Anugerah Buku Negara, Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel, serta pengiktirafan sastera dari Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor bukanlah sekadar senarai kejayaan untuk dibanggakan.

Menjadi saksi bisu kepada puluhan tahun disiplin, kesetiaan dan kejujuran terhadap kata. Setiap karya yang saya lahirkan menuntut pergulatan batin yang tidak singkat malam yang panjang, pengorbanan masa keluarga, dan keberanian untuk jujur terhadap diri sendiri.

Namun, dalam dunia yang saya cintai ini, saya pernah berhadapan dengan pengalaman yang paling pahit dan mencederakan: karya saya diciplak secara terang-terangan melalui buku oleh seorang penulis terkenal.

Peristiwa itu disedari ketika saya berada di Dubai. Jauh dari tanah air, jauh dari pusat perdebatan sastera tempatan, saya menjalani kehidupan sebagai perantau menulis untuk akhbar sebelum dibuang kerja kerana Reformasi, membaca manuskrip, dan memerhati dunia dari sudut yang berjarak.

Dubai, dengan bangunan menjulang dan gurun yang diam, menjadi latar kepada sunyi yang produktif. Saya tidak pernah menyangka bahawa di tanah air, kata-kata saya sedang berjalan tanpa nama saya.

Suatu hari, seorang rakan menghulurkan sebuah buku sewaktu bercuti. “Saya rasa kamu patut membaca ini,” katanya perlahan. Saya menerima buku itu tanpa prasangka, menyelaknya sebagai pembaca biasa sehinggalah halaman demi halaman mengubah segalanya.

Ayat-ayat itu bukan sekadar mirip. Ia sama. Setiap perkataan, setiap susunan frasa, setiap ritma ayat dan itulah tulisan saya. Tulisan yang pernah di siarkan di Utusan Malaysia untuk “Sebuah Komputer Setiap Rumah” sebelum saya berangkat ke Dubai. Tulisan yang lahir dari pengalaman, renungan dan gaya yang saya bangunkan bertahun-tahun.

Itu bukan pengaruh. Itu bukan kebetulan. Itu ialah plagiat dalam bentuk paling telanjang.

Saya membaca dengan mata seorang penulis yang mengenali denyut nadinya sendiri. Saya tahu di mana ayat itu saya tulis, pada musim apa, dalam keadaan jiwa yang bagaimana. Ada ayat yang lahir ketika saya letih, ada yang ditulis ketika emosi sedang bergolak, ada yang saya pinda berkali-kali kerana tidak puas hati. Semua itu kini berdiri dalam sebuah buku, di bawah nama orang lain dengan tanpa izin, tanpa pengakuan, tanpa rasa bersalah.

Jangan heboh

Saya menghubungi penulis itu melalui kawan baiknya. Nada suaranya berubah. Terkejut. Gementar. Lalu datang permintaan yang masih terngiang hingga hari ini: “Tolong jangan hebohkan.”

Tiada permohonan maaf yang benar-benar tulus. Tiada pengakuan terbuka. Tiada usaha membetulkan kesalahan. Hanya ketakutan kehilangan reputasi yang dibina atas kata orang lain.

Kerana saya berada di Dubai, jauh dari medan undang-undang dan jaringan institusi sastera tempatan, saya tidak dapat bertindak seperti yang sepatutnya. Jarak geografi menjadi benteng kepada keadilan.

Dan di situlah saya sedar, plagiat sering hidup subur di antara kelemahan sistem, kelompangan pengawasan, dan keletihan mangsa untuk terus berjuang.

Hakikatnya, plagiat bukan penyakit baharu dalam sastera Melayu. Sejak dahulu, dalam peralihan daripada tradisi lisan ke tulisan, peniruan sering berlaku atas nama “pengaruh”, “penyesuaian” dan “pengolahan semula”.

Namun, apabila sastera moden menuntut identiti pengarang, hak cipta dan tanggungjawab intelektual, plagiat tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik alasan tradisi. Ia adalah pengkhianatan terhadap etika dan amanah seni.

Dalam dunia sastera, pengaruh ialah dialog dan plagiat ialah rompakan. Pengaruh menghidupkan wacana dan memperkayakan tradisi, manakala plagiat mematikan kepercayaan dan merosakkan ekosistem. Apabila plagiat dibiarkan, ia menghantar mesej berbahaya kepada generasi baharu: bahawa jalan pintas lebih menguntungkan daripada kejujuran.

Kini, ketika dunia memasuki era kecerdasan buatan (AI), persoalan plagiat menjadi lebih rumit, lebih licin dan lebih berbahaya. AI mampu menjana teks yang kelihatan indah, lancar dan meyakinkan.

Plagiat tidak menyalin satu sumber secara bulat, tetapi menyusun semula serpihan daripada ribuan karya manusia termasuk karya penulis seperti saya yang pernah diterbitkan, diarkibkan dan disebarkan di alam digital.

Di sinilah muncul bentuk baharu plagiat: plagiat tanpa wajah dan tanpa rasa bersalah.

Jika dahulu saya boleh mengenali ayat saya dalam buku orang lain, kini penulis boleh bersembunyi di sebalik mesin. Mereka boleh berkata, “Ini hasil AI,” seolah-olah AI itu entiti neutral yang terpisah daripada sumber manusia.

Sedangkan AI tidak mencipta daripada kekosongan; ia belajar daripada teks manusia, daripada pengalaman manusia, daripada kata yang pernah ditulis dengan niat dan kesedaran.

Cantik tapi hilang roh

Dalam konteks ini, saya melihat satu pergeseran yang membimbangkan: plagiat tidak lagi sekadar mencuri kata, tetapi mencuri proses. Penulis yang bergantung sepenuhnya kepada AI menyerahkan kerja berfikir, menimbang, dan mengalami kepada mesin. Karya yang lahir mungkin kemas dari segi struktur, tetapi kehilangan roh. Ia cantik, tetapi tidak jujur. Lengkap, tetapi tidak hidup.

Bagi saya, sastera ialah pertemuan antara bahasa dan pengalaman. AI boleh meniru gaya, tetapi ia tidak pernah hidup dalam tubuh manusia. Ia tidak pernah merasai sunyi perantauan, getir dituduh dan didiamkan, atau perit melihat karya sendiri diambil orang.

Oleh itu, apabila AI digunakan tanpa etika, ia menjadi lanjutan kepada budaya plagiat lebih canggih, lebih sukar dikesan, tetapi sama merosakkan.

Sebagai penulis yang telah melalui zaman akhbar cetak, zaman manuskrip dihantar melalui pos, dan kini zaman digital yang serba segera, saya percaya satu perkara: teknologi tidak pernah salah.

Yang salah ialah niat manusia. AI boleh menjadi alat bantu seperti penyunting bahasa atau rakan diskusi awal. Tetapi apabila ia dijadikan jalan pintas untuk mengaku karya sebagai milik sendiri, ia mengulangi dosa lama plagiat dengan wajah baharu.

Pengalaman saya diciplak sewaktu berada di Dubai mengajar saya bahawa maruah sastera tidak dijaga oleh anugerah semata-mata, tetapi oleh keberanian menyebut kebenaran.

Walaupun ketika itu saya memilih untuk tidak menghebohkan atas keterbatasan jarak dan keadaan, sejarah peribadi itu kekal sebagai luka dan peringatan. Dunia sastera sentiasa diuji: oleh manusia yang tamak, dan kini oleh mesin yang tidak berjiwa.

Masa depan sastera dalam era AI bergantung pada satu perkara yang tidak boleh diautomatikkan: integriti. Tanpa kejujuran, karya hanya menjadi produk. Tanpa tanggungjawab, kata kehilangan makna. Dan tanpa maruah, sastera tinggal sebagai hiasan kosong di rak-rak buku dan pangkalan data digital.

Saya menulis bukan untuk menuntut simpati, tetapi untuk meninggalkan kesaksian. Bahawa plagiat sama ada dilakukan oleh manusia atau diselindungkan oleh AI akan sentiasa berhadapan dengan kebenaran. Dan kebenaran, seperti kata yang jujur, mungkin lambat tiba, tetapi tidak pernah mati.


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS