ULASAN | Cadangan untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa mendapat sambutan hangat. Ia mudah difahami, cepat mendapat sokongan, dan kedengaran mesra rakyat.
Siapa yang tidak mahu sistem pendidikan tinggi tanpa hutang. Namun dalam dasar awam, idea yang popular tidak semestinya mampan.
Soalan yang jarang ditanya ialah, jika PTPTN dimansuhkan, siapa sebenarnya yang akan membayar kos pendidikan tinggi dan apakah kesannya kepada pembangunan bakat negara dalam jangka panjang.
Pendidikan tinggi bukan sekadar soal membantu individu keluar dari kesempitan kewangan. Ia merupakan instrumen penting pembangunan bakat dan daya saing ekonomi negara.

Institusi pengajian tinggi (IPT) berperanan melahirkan tenaga kerja berkemahiran, menyokong inovasi, meningkatkan produktiviti, dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
Dalam kajian pendidikan tinggi, pembiayaan universiti dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara, bukan perbelanjaan kebajikan semata-mata. Oleh itu, perbahasan tentang PTPTN tidak seharusnya terperangkap dalam isu hutang semata-mata, tetapi perlu dinilai sebagai persoalan pelaburan negara.
Selain itu, hakikat yang sering diketepikan dalam wacana pendidikan percuma ialah kos sebenar pendidikan.
Tenaga pengajar, kemudahan kampus, penyelidikan, subsidi dan pentadbiran semuanya memerlukan pembiayaan berterusan. Memansuhkan PTPTN tidak menghapuskan kos tersebut.
Asas cukai yang rendah
Sebaliknya ia hanya memindahkan kos berkenaan kepada pembayar cukai.
Persoalannya ialah sama ada struktur fiskal dan percukaian Malaysia hari ini benar-benar mampu menampung peralihan beban tersebut atau tidak.
Setakat 30 Sept lalu seramai 4.18 juta peminjam telah menerima kemudahan pinjaman PTPTN dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM76.67 bilion.

Angka itu mencerminkan peranan besar PTPTN dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi selama lebih dua dekad.
Namun data yang sama turut mendedahkan cabaran serius dari segi kemampanan sistem.
Seramai 1.2 juta peminjam direkodkan sebagai culas membayar balik pinjaman, manakala 359,000 daripadanya langsung tidak pernah membuat sebarang bayaran selepas menamatkan pengajian.
Jumlah tunggakan pinjaman PTPTN kini mencecah RM11.18 bilion.

Angka-angka itu menunjukkan bahawa masalah utama PTPTN bukan sekadar kewujudan hutang pendidikan, tetapi kelemahan struktur bayaran balik, tingkah laku peminjam, ketidaksepadanan antara kos pendidikan dan kebolehpasaran graduan serta isu kebertanggungjawaban.
Perbincangan ini menjadi lebih kritikal apabila dilihat dalam konteks percukaian negara.
Malaysia mempunyai asas cukai yang rendah. Hakikatnya, hanya sekitar 15 peratus daripada tenaga kerja di Malaysia membayar cukai pendapatan. Majoriti rakyat berada di bawah ambang percukaian atau menikmati pelbagai pelepasan.
Pada masa yang sama, cukai penggunaan pula terhad dan sering menjadi isu sensitif.
Jika PTPTN dimansuhkan, kerajaan hanya mempunyai dua pilihan yang realistik. Sama ada menaikkan cukai secara langsung atau tidak langsung, atau mengurangkan peruntukan sektor awam lain seperti kesihatan, pengangkutan awam dan kebajikan sosial.
Kedua-dua pilihan tadi membawa implikasi besar kepada kesejahteraan rakyat keseluruhan.
Perkongsian kos, tanggungjawab
Di sinilah timbul persoalan keadilan dasar. Graduan universiti – secara purata – menikmati pulangan pendapatan yang lebih tinggi sepanjang hayat berbanding bukan graduan.
Memansuhkan PTPTN secara menyeluruh bermakna kos pembangunan bakat graduan akan ditanggung oleh semua rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah, lepasan TVET, dan pekerja yang tidak pernah berpeluang ke universiti.
Persoalan yang wajar ditanya ialah sama ada adil golongan yang tidak menerima manfaat langsung daripada pendidikan tinggi menanggung kos tersebut melalui cukai.

Pada masa yang sama, adalah penting untuk ditegaskan bahawa hujah ini bukanlah penolakan terhadap bantuan pendidikan. Malah, pendekatan bersasar sudah mula diterapkan.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan inisiatif pendidikan percuma PTPTN yang melibatkan kira kira 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPT awam dengan peruntukan sekitar RM120 juta setahun.
Langkah berkenaan menunjukkan bahawa isu sebenar bukan sama ada bantuan perlu diberikan atau tidak, tetapi bagaimana ia disasarkan dengan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan tanpa membebankan kewangan awam secara menyeluruh.
Pada asalnya, PTPTN diwujudkan sebagai mekanisme perkongsian kos dan tanggungjawab.

Negara menyediakan akses awal kepada pendidikan tinggi, manakala individu membayar balik pinjaman setelah memperoleh manfaat ekonomi daripada kelayakan tersebut.
Prinsip ini selari dengan pendekatan banyak negara yang melihat pendidikan tinggi sebagai pelaburan bersama antara negara dan individu.
Masalah yang wujud pada hari ini lebih terkait dengan pelaksanaan, termasuk struktur bayaran balik yang kurang fleksibel dan kelemahan penguatkuasaan.
Sebagai dasar pembangunan bakat, pendidikan memerlukan pembiayaan yang mampan dan berakauntabiliti. Pemansuhan PTPTN tanpa alternatif yang jelas berisiko melemahkan disiplin fiskal dan menghakis rasa tanggungjawab bersama dalam sistem pendidikan tinggi.

Lebih membimbangkan, pendekatan ini boleh menggalakkan persepsi bahawa pendidikan ialah hak tanpa komitmen, sedangkan pelaburan yang baik memerlukan pulangan dan pengurusan yang berhemah.
Perbahasan mengenai PTPTN seharusnya tidak terperangkap antara dua pilihan ekstrem, sama ada memansuhkan sepenuhnya atau mengekalkan sistem sedia ada tanpa pembaharuan.
Banyak negara menunjukkan bahawa pinjaman pendidikan boleh berfungsi secara lebih adil dan efisien jika direka dengan betul. Australia dan United Kingdom, misalnya, mengamalkan sistem bayaran balik pinjaman pendidikan berasaskan pendapatan.
Melalui pendekatan itu graduan hanya mula membayar balik pinjaman apabila pendapatan mereka melepasi paras minimum tertentu. Bayaran pula dibuat secara automatik melalui sistem percukaian bagi mengurangkan tunggakan serta masalah pematuhan.
Cuma sokongan jangka pendek
Pendekatan yang hampir sama turut dilaksanakan di New Zealand. Di negara itu pinjaman pendidikan disepadukan dengan sistem cukai dan potongan gaji, dengan kadar faedah yang rendah dan struktur bayaran balik yang mudah.
Model tersebut menunjukkan bahawa keberkesanan sistem pembiayaan pendidikan tidak terletak pada pemansuhan hutang, tetapi pada reka bentuk institusi yang memudahkan bayaran balik dan mengekalkan kebertanggungjawaban.
Sebaliknya, negara-negara yang menawarkan pendidikan tinggi percuma secara total – seperti di Scandinavia – hanya mampu berbuat demikian kerana struktur cukai mereka yang tinggi dan meluas.
Ia adalah keadaan yang belum wujud di Malaysia.

Mengimport model pendidikan percuma mutlak tanpa membincangkan asas percukaian yang menyokongnya bukan sahaja tidak realistik, malah berisiko menekan kewangan awam dan mengorbankan perbelanjaan penting lain.
Dalam konteks Malaysia, persoalan sebenar bukanlah sama ada memansuhkan PTPTN itu popular atau tidak, tetapi apakah sistem pembiayaan pendidikan kita selari dengan realiti fiskal dan matlamat pembangunan bakat negara.
Jika pendidikan tinggi benar benar ingin dilihat sebagai pelaburan negara, maka penyelesaiannya ialah membaiki struktur PTPTN agar lebih adil, lebih cekap, dan lebih berakauntabiliti, bukannya memansuhkannya.
Populariti dasar mungkin memenangi sokongan massa untuk jangka pendek, tetapi hanya kemampanan yang mampu menjamin masa depan pendidikan dan pembangunan bakat Malaysia.
TARMIZI ANUWAR merupakan ahli akademik gig di Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
