Kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar algoritma yang cantik, bukan juga aplikasi yang memukau. AI berdiri atas bahu pusat data yakni bangunan besar yang menelan tenaga dan air tanpa henti. Dan di situlah saya mula gelisah–air dan api adalah dua unsur asas kehidupan dan kini semakin mahal, semakin terhad, dan semakin dipertikaikan.
Pusat data AI bukan sekadar bilik pelayan. Ia adalah kilang abad ke-21, tempat mesin berfikir dilatih dengan tenaga yang tidak pernah letih. Unit pemprosesan grafik (GPU) berderum siang dan malam, mengira berjuta-juta parameter, menghasilkan haba yang perlu dikeluarkan dengan segera. Setiap rak bukan sekadar besi dan cip; ia adalah relau kecil yang memerlukan aliran elektrik stabil dan penyejukan berterusan.
Saya membesar dalam zaman di mana elektrik adalah kemudahan, bukan komoditi strategik. Jika lampu padam, kita tunggu. Hari ini, bagi pusat data AI, lampu tidak boleh padam walau sesaat. Setiap gangguan adalah kerugian, setiap ketidakstabilan adalah risiko. Maka pusat data menuntut jaminan: elektrik mesti sentiasa ada, murah, dan boleh diramal. Di sinilah konflik bermula, kerana negara bukan hanya melayani satu pelanggan.
Dalam laporan teknikal, angka-angka muncul dengan mudah: 50 megawatt, 100 megawatt, 150 megawatt. Bagi orang awam, ini hanya nombor. Tetapi bagi grid nasional, ia adalah beban hidup. Satu pusat data AI berskala besar boleh menyamai penggunaan elektrik sebuah bandar kecil, dan ia beroperasi tanpa rehat.
Saya pernah melihat bagaimana kilang dibina dengan janji pekerjaan, lalu meninggalkan pencemaran apabila keuntungan menipis. Saya bertanya kepada diri sendiri: adakah pusat data AI berbeza?
Bezanya, pencemaran kali ini tidak selalu kelihatan. Ia hadir dalam bentuk tarif elektrik yang meningkat, subsidi senyap, dan keperluan membina loji baharu yang kosnya ditanggung bersama.
Elektrik hari ini bukan lagi murah. Bahan api naik turun, pelaburan tenaga bersih mahal di peringkat awal, dan grid memerlukan naik taraf berterusan. Dalam keadaan ini, setiap megawatt yang diperuntukkan kepada pusat data AI adalah keputusan politik dan moral, bukan sekadar teknikal.
Unsur senyap yang menentukan segalanya
Jika elektrik adalah api, air adalah darah kepada pusat data AI. Tanpa penyejukan, GPU akan mati. Tanpa air, penyejukan gagal. Namun isu air jarang menjadi tajuk utama. Ia tenggelam di bawah istilah teknikal: cooling efficiency, water usage effectiveness.
Air bukan sekadar sumber. Ia adalah kenangan dan sungai tempat mandi, telaga tempat menimba. Hari ini, perubahan iklim menjadikan air semakin tidak menentu. Kemarau lebih panjang, hujan lebih ganas tetapi singkat. Dalam keadaan ini, pusat data AI yang menggunakan berjuta-juta liter air sehari bukan lagi isu teknikal, tetapi isu keadilan.
Soalan yang perlu kita tanya ialah: air siapa yang kita gunakan untuk menyejukkan algoritma? Air untuk ladang? Untuk rumah? Untuk hospital? Apabila pusat data diletakkan berhampiran lembangan air yang sama, kesan terkumpulnya tidak boleh dipadam dengan satu laporan EIA.
Setiap sistem ada had. Badan ada had, alam ada had, dan grid juga ada had. Namun bahasa pelaburan sering melupakan had dan bercakap tentang pertumbuhan, skala, dan daya saing. Ia jarang bercakap tentang keupayaan menanggung.
Jika kita membina terlalu banyak pusat data AI dalam masa singkat, kita memaksa grid bekerja di luar zon selamat. Kita memaksa sistem air beroperasi di tepi jurang. Kita juga memaksa masyarakat menanggung risiko yang tidak mereka undi.
Dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia mungkin melihat permintaan tambahan beratus-ratus megawatt daripada pusat data AI. Digabungkan, ia boleh mencecah lebih satu gigawatt. Ini bukan angka kecil. Ini memerlukan loji jana kuasa baharu, pencawang baharu, dan pelaburan berbilion ringgit.
Berapa banyak pusat data AI yang mampu kita tanggung?
Inilah soalan yang sering dielakkan. Jawapan jujur, sangat terhad dalam masa terdekat. Bukan kerana kita antiteknologi, tetapi kerana kita realistik.
Dengan keadaan air yang semakin tertekan dan elektrik yang terus mahal, Malaysia mungkin hanya mampu menampung sebilangan kecil pusat data AI berskala besar, mungkin lima hingga sepuluh dan itu pun dengan syarat yang ketat. Mereka mesti menjana sebahagian besar tenaga sendiri, menggunakan air kitar semula, dan menyumbang kepada pembangunan manusia tempatan.
Lebih daripada itu, kita berisiko mencipta ketagihan: grid bergantung kepada pelanggan besar, kerajaan terikat kepada janji pelaburan, dan rakyat menanggung kos jangka panjang.
Saya tidak menolak teknologi. Saya hanya menolak ilusi kemajuan. Pusat data AI boleh membawa nilai jika disepadukan dengan pendidikan, penyelidikan, dan pemindahan kemahiran. Tetapi jika hanya menjadi gudang pengiraan untuk syarikat asing, nilainya kepada negara adalah terhad.
Kita perlu bertanya: berapa ramai jurutera tempatan dilatih? Berapa banyak pengetahuan kekal di sini? Adakah pusat data ini boleh diubah guna jika teknologi berubah, atau adakah akan menjadi monumen besi yang sunyi?
AI dan kebijaksanaan perlahan
Dalam dunia AI, semuanya pantas: model lebih besar, latihan lebih cepat, pelaburan lebih agresif. Tetapi kebijaksanaan itu datang perlahan. Selalunya datang daripada pengalaman melihat apa yang berlaku apabila kita berlari tanpa peta.
Negara juga perlu belajar memperlahankan langkah. Tidak semua peluang perlu direbut. Tidak semua pelaburan perlu diterima. Ada kalanya berkata “cukup” adalah tanda kematangan, bukan kelemahan.
Akhirnya, pusat data AI memaksa kita kembali kepada asas: air dan api. Jika dua unsur ini semakin mahal dan semakin tidak mencukupi, maka pertumbuhan tanpa had adalah jalan keletihan nasional.
Saya belajar AI untuk memahami zaman, tetapi usia mengajar saya untuk bertanya soalan yang lebih dalam. Soalan itu bukan tentang terabyte atau parameter, tetapi tentang siapa yang menanggung beban, dan siapa yang menuai hasil.
Mungkin soalan paling jujur yang perlu kita jawab ialah ini: adakah kita mahu menjadi tuan kepada teknologi, atau sekadar pembekal air dan api kepada algoritma orang lain?
Jawapan kepada soalan itu akan menentukan bukan sahaja berapa banyak pusat data AI yang kita bina, tetapi jenis negara yang kita wariskan kepada generasi seterusnya kerana negara yang bijak mengurus had, atau negara yang membakar masa depan demi cahaya sementara.
MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE, Arab Saudi dan New Zealand. Dia pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta CEO dan pengarah beberapa syarikat antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
