ULASAN SENI | Tidak semua telefilem atau filem wajar diteruskan sebagai sekuel, walaupun karya asalnya pernah mencuri hati penonton dan ditutup dengan pengakhiran yang kemas.
Ada cerita yang lebih indah jika dibiarkan kekal sebagai kenangan, bukannya dihidupkan semula selepas bertahun-tahun berlalu.
Sejarah layar perak tempatan pernah membuktikan hakikat ini. Dua sekuel yang muncul selepas jarak masa panjang, Remp-It 2 (2022) dan Jangan Pandang Belakang 2 (2024) gagal mengulangi kekuatan karya asal yang masing-masing diterbitkan pada 2006 dan 2007.
Dari sudut kutipan, Remp-It 2 hanya mencatat sekitar RM2 juta berbanding RM4 juta bagi filem pertama manakala Jangan Pandang Belakang 2 sekadar mengumpul RM2 juta berbanding RM7.4 juta untuk filem asal.

Reaksi penonton dan prestasi box office ini menunjukkan kejayaan terdahulu bukan jaminan untuk sambungan yang sama meskipun didukung nama besar dan nostalgia.
Dalam konteks ini, MAK #SalamDariSyurga hadir sebagai kesinambungan kepada telefilem Salam Dari Syurga (2020).
Kali ini, filem tersebut diarahkan oleh Hafiz Nafiah, dengan skrip masih digarap oleh Azal Ezreen bersama panel skrip AA Success Pictures Sdn Bhd.
Filem ini cuba membawa tema yang lebih berat, merangkumi isu pemerdagangan manusia, pengorbanan seorang ibu, serta sisi gelap kehidupan masyarakat luar bandar yang jarang dipaparkan secara langsung. Namun, niat besar ini tidak diterjemahkan sepenuhnya dengan kemas di layar perak.
Watak tak cukup berkembang
Kelemahan paling ketara terletak pada pembangunan watak, khususnya melibatkan barisan pelakon baru. Beberapa watak penting diperkenalkan dengan konflik yang sepatutnya berat, tetapi tidak diberi ruang mencukupi untuk berkembang.
Akibatnya, penonton sukar membina hubungan emosi dan empati terhadap perjalanan watak-watak ini. Contohnya, emosi dan beban yang dipikul Fara — seorang remaja yatim piatu yang membesarkan adiknya — tidak benar-benar sampai, berikutan lakonan dan ekspresi wajah yang kelihatan kaku.
Masalah ini turut berkait rapat dengan kelemahan dialog, yang pada beberapa bahagian terasa kurang bernuansa.
Terdapat dialog yang seolah-olah cuba “memberitahu” emosi kepada penonton, tetapi gagal “menunjukkan” emosi tersebut melalui bahasa tubuh, keheningan visual atau konflik dalaman.
Dialog antagonis yang dibawakan oleh Firdaus Ghufran pula kelihatan terlalu mencuba dan ‘cringe’, sekali gus menjejaskan rasa realistik. Skrip yang sepatutnya menjadi tulang belakang emosi akhirnya terasa longgar dan kurang memberi impak.
Watak Daniel yang dilakonkan Izzy Reef juga berdepan kesukaran untuk menyaingi kesan emosi yang pernah ditinggalkan Johan As’ari dalam versi telefilem.
Dalam Salam Dari Syurga (2020), hubungan Aman dan ibunya digarap dengan penuh kesungguhan, memperlihatkan pengorbanan seorang anak yang menjaga ibunya dengan sepenuh jiwa.
Pun begitu, melalui versi filem ini, hubungan kasih sayang antara Nor dan anaknya, Aman tidak benar-benar dirasai kerana kekurangan babak yang menonjolkan keakraban mereka. Hubungan ini hanya disentuh pada awal dan penghujung cerita, menyebabkan emosi yang sepatutnya menjadi nadi filem tidak sempat berakar di dalam jiwa penonton.
Walaupun Fauziah Nawi sekali lagi membuktikan kredibiliti dan kehebatannya sebagai pelakon berpengalaman — sekali gus menjadi antara teras penceritaan filem ini — namun lakonan cemerlangnya masih tidak cukup untuk mengangkat keseluruhan naratif.

Keupayaannya menghidupkan watak seorang ibu tidak boleh disangkal. Tetapi jika hanya satu watak benar-benar berfungsi sebagai pemacu emosi, keseimbangan penceritaan menjadi terganggu.
Azman Ahmad pula, yang kembali ke layar perak selepas lama menyepi, tampil dengan kehadiran sederhana dan lebih berfungsi sebagai pelengkap naratif berbanding pencetus emosi.
Keputusan memasukkan elemen aksi dan kejar-mengejar pada pertengahan serta penghujung filem turut menyebabkan perjalanan emosi seorang ‘mak’ terpinggir, sedangkan itulah inti sebenar di sebalik tajuk filem. Beberapa babak imbas kembali kehidupan lalu Daniel pula muncul secara tiba-tiba dan mengganggu alur cerita, menjadikan penceritaan kelihatan kurang kemas dan tidak seimbang.
Persoalan naratif juga timbul, khususnya berkaitan keputusan Aman yang memilih melarikan diri daripada pihak polis sedangkan dia sendiri yang menghubungi mereka, serta keengganannya bekerjasama sepenuhnya untuk menumpaskan ketua sindiket, Edy, walaupun nyawa ibunya berada dalam bahaya.
Keputusan-keputusan ini akhirnya membawa kepada kehilangan besar, termasuk kematian Daniel dan penangkapan ibunya. Namun, pengorbanan yang dipaparkan tidak benar-benar menyentuh jiwa penonton dan gagal memberi kesan emosi mendalam selepas tragedi pada penghujung cerita.
Secara keseluruhan, filem MAK #SalamDariSyurga hadir dengan niat murni dan tema besar, tetapi tersadung pada aspek pelaksanaan.
Ia bukan karya yang gagal sepenuhnya namun masih belum mencapai potensi sebenar, khususnya dari segi pembangunan watak, kekuatan dialog dan keseimbangan emosi. Air mata yang dijanjikan seolah-olah berada di hujung mata, tetapi tidak pernah benar-benar gugur.
PUTERI NORDAHLILAH AZMI wartawan pelatih di Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
