ULASAN | Dua dekad lalu, politik Malaysia digegarkan dengan laungan Reformasi. Hari ini, muncul pula satu naratif baharu— Reset. Persoalannya, antara dua R itu, yang mana benar-benar berpijak pada realiti, dan yang mana sekadar retorik berulang?
Reformasi yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim lahir dalam suasana krisis politik penghujung 1990-an. Ia membawa mesej besar: menentang kezaliman, menuntut keadilan, dan menjanjikan perubahan sistem.
Mesej Reformasi memang menggiurkan ramai orang. Itulah kali pertama hagemoni BN benar-benar dicabar secara terbuka. Sebelum itu, pergeseran antara parti kerajaan dan pembangkang, tidak segah Reformasi.
Namun selepas lebih 20 tahun, sebahagian besar janji itu masih terbiar.
Pertama, Reformasi itu bukan tulen yang lahir dari fikrah Anwar. Jika Reformasi Indonesia 1997 tidak berlaku, maka laungan Reformasi oleh Anwar pasti payah dijual.
Tuduhan terhadap Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu tidak pernah diterjemahkan kepada pendakwaan yang jelas sehingga kini. Pada masa yang sama, reformasi institusi yang dijanjikan - seperti memperkukuh kebebasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memisahkan kuasa peguam negara - belum menjadi realiti sepenuhnya.
Banyak lagi janji reformasi yang tidak tertunai, malah berlaku sebaliknya.
Lebih mendasar, asas Reformasi itu sendiri terus diperdebatkan. Naratif penganiayaan politik menggunakan akta yang dikatakan drakonian, yang menjadi titik mula gerakan itu, kini dilihat kekal.
Misalnya Akta Hasutan. Ia tidak pernah mencapai kesepakatan menyeluruh untuk dihapus atau sekurang-kurangnya diganti dengan akta yang lebih manusiawi.
Bukan lagi salah atau benar
Selepas PRU ke-15, Malaysia memasuki fasa baru — politik tanpa dominasi. Tiada lagi satu kuasa yang benar-benar menguasai kerajaan. Yang wujud hanyalah keseimbangan rapuh antara gabungan, kompromi berterusan, dan ketidaktentuan arah.
Malah, kuasa politik Melayu semakin melemah kerana perebutan kuasa hingga sanggup bersekongkol dengan parti politik yang bertunjangkan idea liberal seperti PKR dan DAP.
Dalam keadaan inilah, idea Reset diketengahkan oleh Hamzah Zainudin muncul ketika dia menjadi ketua pembangkang. Inti pati reset diketengahkan dalam bentuk konsensus baru nasional.
Berbeza dengan Reformasi, Reset tidak lahir daripada konflik dan ego individu. Ia lahir daripada kegagalan sistem itu menghasilkan kestabilan.
Apabila keputusan pilihan raya tidak memberi mandat jelas, apabila parti-parti Melayu yang pernah dominan jadi terpecah, dan apabila kerajaan bergantung kepada kuasa yang rapuh, maka persoalannya bukan lagi tentang siapa yang benar, tetapi bagaimana sistem itu perlu diperbaiki.
Reset menjawab persoalan itu secara langsung.
Ia bukan mengulang naratif lama tetapi untuk membingkai kembali politik dengan realiti semasa. Ia tidak bergantung kepada satu tokoh atau satu kisah, tetapi kepada keperluan untuk menyusun semula struktur kuasa agar lebih stabil dan berfungsi.

Dalam erti kata lain, Reset lebih dekat dengan keadaan sebenar negara hari ini. Reset dalam bahasa paling mudah difahami ialah “Re-Set” - mengatur semula, menyusun semula.
Maka Reset dalam politik membawa makna yang sangat jelas iaitu menyusun, mengatur semua struktur negara kepada tempat, asas, sebab dan tujuan yang betul. Baik legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Jika Reformasi lahir daripada semangat melawan sistem, Reset muncul apabila sistem itu sendiri tidak lagi mampu bertahan seperti dahulu.
Dan dalam politik yang semakin kompleks, mungkin yang diperlukan bukan lagi semangat lama, tetapi keberanian untuk menetapkan semula arah.
MAHDZIR IBRAHIM ialah narator politik Melayu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
